Sultan Mansur I merupakan Sultan Terengganu yang kedua, memerintah di antara 1733 hingga 1794 Masihi. Baginda merupakan putera kepada Sultan Zainal Abidin I. Bonda baginda merupakan puteri kepada Syeikh Abdul Malik Bin Abdullah (Tok Ku Pulau Manis). Nama baginda sebelum menaiki takhta adalah Ku Tana Mansur.
KEPUTERAAN
Baginda diputerakan pada tahun 1138H (1725M) tetapi ada pendapat mengatakan baginda diputerakan dalam tahun 1723M. Baginda merupakan putera kepada Sultan Zainal Abidin I yang beristerikan perempuan di Kampung Langgar. Pendapat tempatan mengatakan bahawa perempuan berkenaan merupakan puteri kepada Syeikh Abdul Malik. Baginda merupakan putera bongsu Sultan Zainal Abidin I. Menurut sejarah lisan, ketika baginda dilahirkan di dunia, Syeikh Abdul Malik sendiri yang mengazankan dan mengiqamahkan baginda.
Syeikh Abdul Malik sendiri meramalkan baginda akan menjadi pemerintah di antara saudaranya empat beradik, dan akan membasmi perompak dan lanun di laut serta namanya menjadi masyhur.
NAIK TAKHTA
Baginda semenjak kecil menunjukkan beberapa sifat luar biasa kewibawaan dan keistimewaan kebolehannya, sehingga ada cerita merujuk beliau kebal dan tidak dimakan senjata. Apabila Sultan Zainal Abidin I mangkat, ketiga-tiga putera yang sulung bersepakat dan sebulat suara menolak takhta ayahanda mereka dan menyerahkan kepada Ku Tana Mansur.
Oleh itu, baginda dikenali sebagai Tun Dalam atau Tun Kechik, digelar pula sebagai Yang Dipertuan Raja Kechik. Oleh kerana baginda masih kecil, pemerintahan negeri Terengganu dijalankan sementara oleh Tun Husin Bendahara, saudara sepupunya. Ada pendapat juga menyatakan Ku Tana Wangsa juga menjalankan pemerintahan negeri Terengganu.
PERKAHWINAN DAN PERTABALAN
Pada tahun 1739M, semasa baginda berada di Riau, baginda telah mengahwini Raja Bakul, yang merupakan puteri Yamtuan Muda Daeng Chelak. Tidak berapa lama kemudian baginda mengahwini Raja Bulang puteri Sultan Sulaiman. Sebelum itu, pada tahun 1735M Sultan Sulaiman berada di Kuala Terengganu dan dilangsungkan perkahwinan anak saudara baginda Tun Abdul Majid dengan Tun Enah, anak Bendahara Tun Hussain Terengganu.
Semasa Sultan Sulaiman berangkat pulang ke Riau pada akhir 1735M, Sultan Mansur I juga mengikuti baginda ke Riau, kemudiannya pada 1740M baginda berangkat ke Muar juga diiringi oleh Sultan Mansur I. Pada tahun itu juga Sultan Mansur I dan Sultan Sulaiman berangkat ke Terengganu bersama putera Sultan Sulaiman iaitu Raja Ibrahim, Tun Sulong Muda, Tun Abdul Majid (anak saudara), Tun Pasang, Tun Hassan Indera Bungsu dan beberapa orang pembesar. Kepulangan baginda dan Sultan Sulaiman ke Terengganu adalah untuk majlis pertabalan baginda. Tujuh minggu kemudian, Long Pandak dari Kelantan tiba diiringi pembesar Kelantan, untuk menghadap Sultan Sulaiman dan baginda dianugerahkan dengan gelaran Dato’ Seri Maharaja.
Setelah lima bulan Sultan Sulaiman di Terengganu, baginda berangkat pulang ke Riau diiringi oleh Sultan Mansur I, Bendahara Tun Hussain dan beberapa orang pembesar. Sultan Mansur I telah berangkat pulang ke Terengganu setelah berada di Riau selama dua tahun, dan sekali lagi ke sana dalam tahun 1764M
PERANAN BAGINDA
Baginda terlibat terus dengan beberapa pergolakan terutamanya di Riau, kerana mertua baginda Sultan Sulaiman merupakan pemerintah Kerajaan Johor-Riau-Lingga, antaranya:
- Pergolakan Riau.
- Mengetuai Orang Melayu Riau.
- Menyerang Raja Alam.
- Kempen Anti-Bugis Riau.
- Pergolakan Pasca Kemangkatan Sultan Sulaiman.
- Krisis Pentadbiran 1740M.
- Mengendalikan Ancaman Saiyed Ali.
- Mengetuai Kempen Melanggar Kelantan.
- Menabalkan Yang Dipertuan Kelantan.
- Bermuafakat dengan Long Jaafar dan Long Yunus.
- Mengetuai Kempen Melanggar Pujok.
- Krisis Belanda – Terengganu.
- Memulakan Istiadat Bunga Emas Siam.
Baginda terlibat aktif dan secara langsung di dalam pergolakan politik membabitkan Orang Melayu di Riau-Lingga, Kelantan serta permusuhan Belanda. Tindakan baginda ini memasyhurkan Terengganu Darul Iman sebagai sebuah kerajaan Melayu yang kuat serta berdiplomasi terutamanya dengan konflik melibatkan orang Melayu di luar Terengganu Darul Iman.
PERKAHWINAN PUTERI BAGINDA
Apabila Raja Ismail, putera Sultan Mahmud (Raja Bulang Siak) menghantar utusan meminang puteri Sultan Mansur I, baginda terus menerima pinangan itu tanpa bertangguh. Lalu, Raja Ismail terus datang ke Kuala Terengganu dengan saudaranya Raja Abdullah, Raja Musa, Raja Daud (Raja Abdul Rahman) bersama beberapa orang saudara perempuan dan angkatan perang kerana perkahwinan ini. Diadakan perarakan pengantin diraja untuk majlis perkahwinan di istana.
Namun, konflik telah direkodkan antara kerabat diraja Terengganu dan perarakan apabila beberapa putera Terengganu menutup pintu gerbang istana sambil berteriak dari dalam meminta orang Siak menebusnya dengan wang yang banyak sebelum dibenarkan masuk ke dalam. Raja Ismail marah dengan kejadian ini, Raja Abdullah pula membawa pedang dangan mengugut sekiranya pintu gerbang tidak dibuka, beliau akan memanjat dan melompat ke dalam istana dan mengamuk.
Sultan Mansur I yang mengetahui kejadian ini segera menitahkan supaya kerabat diraja membuka kembali pintu gerbang istana dan menyambut kedatangan Raja Ismail. Setelah itu, istiadat perkahwinan dilangsungkan. Kejadian ini dianggarkan berlaku di antara tahun 1762M dan 1763M.
MENDIRIKAN ISTANA
Setelah Terengganu bertambah maju dan tenteram dari ancaman lanun, perompak dan penjenayah di dalam negeri, baginda Sultan Mansur I bercadang mendirikan sebuah istana yang besarnya lima ruang. Baginda bertitah supaya Raja Muda Kelantan hadir ke Terengganu dan baginda menugaskan beliau supaya mencari kayu-kayan dan perkakasan istana. Raja Muda Kelantan berangkat dengan orangnya seramai seribu (1,000) orang ke Sungai Nerus untuk mencari kayu-kayan. Setelah semua kayu-kayan diperolehi, Raja Muda Kelantan memohon untuk kembali ke Kelantan kerana bimbangkan pentadbiran negeri berkenaan.
KEMANGKATAN
Selepas tiga bulan perlantikan Yang Dipertuan Kelantan, Sultan Mansur I pun jatuh gering. Dalam pada itu, baginda menjemput Yang Dipertuan Kelantan supaya berangkat ke Terengganu. Setelah Yang Dipertuan Kelantan berangkat, apabila tiba di Batu Rakit, baginda mendengar tembakan meriam dari Kuala Terengganu, mengisytiharkan kemangkatan Sultan Mansur I. Baginda telah mangkat pada tanggal malam jumaat 14 Jamadilakhir 1208H bersamaan 14 Julai 1794M ketika baginda berusia 69 tahun. Keesokan harinya, setelah dijalankan istiadat bersiram dan solat jenazah, baginda dimakamkan di dalam Makam Diraja Masjid Abidin, Kuala Terengganu dengan gelaran Marhum Janggut. Makam baginda dibina oleh puteranya dan dapurnya dibina daripada kacapuri sebelum digantikan dengan batu marmar kini.
Rujukan:
- MISBAHA, Sejarah Darul Iman.