Wan Salmah Wan Sulaiman

Seniwati Wan Salmah binti Wan Sulaiman

Seniwati Wan Salmah binti Wan Sulaiman atau lebih mesra dikenali sebagai Mami merupakan penggiat seni yang termahsyur di Terengganu. Beliau bergerak aktif sebagai penari Gamelan, penyanyi, pelakon, dan puisi. Beliau merupakan penyanyi asal lagu tradisional Terengganu iaitu Ulik Mayang.

Beliau dilahirkan pada 16 September 1944 di Kampung Tiong, Kuala Terengganu. Beliau terlibat dengan kegiatan seni semenjak di sekolah rendah lagi semasa belajar di Sekolah Rendah Bukit Jambul, Kuala Terengganu. Beliau diberi tunjuk ajar oleh Cikgu Aziz dan mengembangkan penglibatan seni beliau di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman. Ketika ini, beliau mengajar rakan-rakan untuk melakukan persembahan di keraian sekolah.

Selepas itu, beliau menyertai Kelab Belia Darul Ehsan dan penglibatan beliau menjadi lebih aktif. Beliau pernah terlibat dengan drama televisyen dan radio. Beliau merupakan salah satu penggerak SUKTRA ketika penubuhannya pada tahun 1974.

Beliau membawa tarian Gamelan Melayu ke peringkat antarabangsa dengan membuat persembahan di Frankfurt, Milan, Amsterdan dan Zurich. Beliau juga pernah mewakili Malaysia ke Festival Seni Asean Kali ke-9 di Hong Kong pada tahun 1984 dan menyertai Promosi Penggalakan Pelancongan ke Negara Eropah pada tahun 1988.

Antara pencapaian beliau dalam bidang seni adalah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Terengganu pada 1972, dikurniakan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) juga pada tahun yang sama, dikurniakan Pingat Pangkuan Negara pada tahun 1979, dikurniakan Anugerah Khidmat Cemerlang Negeri Terengganu pada tahun 1987, Anugerah Khas Juri Tokoh Budaya Terengganu pada tahun 1991, Ahli Mahkota Terengganu pada 1992 dan Tokoh Seni Budaya Terengganu pada tahun 2016.


Rujukan:

  1. Temuramah Wan Salmah binti Wan Sulaiman, 4 September 2018