Bunga Emas

Bunga Emas merupakan satu tanda hubungan di antara Siam dan Terengganu. Istiadat ini bermula daripada zaman pemerintahan Sultan Mansur I dan menjadi satu budaya di kalangan masyarat Terengganu. Namun, Bunga Emas disalaherti daripada Siam yang menganggap bahawa ia adalah ufti dan menyatakan Terengganu merupakan jajahan takluknya. Hal ini dijawab dengan pintar oleh Sultan Zainal Abidin III yang menyatakan sekiranya Terengganu berada di bawah naungan Siam, nyatakan dimana dan siapakah wakil Siam di Terengganu. Hujah ini membuatkan British terpaksa membuat perjanjian baru dengan Terengganu dan perjanjian asal British dan Siam tidak terpakai di Terengganu semasa usaha British untuk masuk campur di dalam pentadbiran Terengganu pada awal 1900M.


RENTETAN

Bunga Perak

Lebih kurang 1765M bersamaan 1179H, Sultan Mansur I berangkat ke Kelantan dan bermain menyusuri pantai di barat Terengganu dengan diiringi berpuluh-puluh perahu yang cukup dengan senjata perperangan. Baginda terserempak dengan angkatan tentera Raja Siam yang sedang dalam perjalanan untuk menyerang Ligor. Raja Siam meminta bantuan baginda untuk membantunya menyerang Ligor. Raja Ligor yang mengetahui hal ini, menyedari harapannya untuk menang dalam perperangan berkenaan amatlah tipis memandangkan Angkatan Melayu Terengganu membantu Raja Siam menyerang negerinya.

Tidak lama kemudian setelah berlakunya serangan akhirnya Raja Ligor tunduk ke bawah kekuasaan Siam. Terdapat banyak harta rampasan perang yang diperolehi oleh Raja Siam dan beliau menghadiahkan kepada Sultan Mansur pelbagai barangan yang dimuatkan ke dalam 20 buah perahu. Sultan Mansur I kembali ke Terengganu dan berbincang dengan pembesar mengenai apakah balasan yang sesuai kepada Raja Siam. Semasa itu, Terengganu merupakan negeri yang kaya dengan emas dan timah serta saranan daripada peniaga India bernama Nasruddin supaya dibuat sepohon kayu daripada emas dan sepohon kayu daripada timah yang tingginya lebih kurang 5 kaki dan rantingnya berukuran satu depa panjang. Ini kerana, hadiah lain mungkin tidak kekal, tetapi Bunga Emas setelah dipersembahkan kepada Raja Siam mungkin akan disimpan di candi atau wat dan sentiasa dijaga kerana keunikannya.

Bunga Emas

Pendapat ini dipersetujui oleh Sultan Mansur I dan baginda mengarahkan supaya diperbuat dan dihantar ke Siam setiap tiga tahun sekali bermula pada 1781M. Dengan demikian, Bunga Emas bukanlah satu tanda Terengganu dibawah jajahan Siam tetapi merupakan satu tanda persahabatan di antara dua kerajaan berdaulat.

Menurut cerita lisan, tukang emas yang dipilih semuanya merupakan orang Melayu Terengganu.


ADAT MENGHANTAR BUNGA EMAS

  1. Ditempa di dalam Kota Sultan.
  2. Diarak mengelilingi bandar Kuala Terengganu.
  3. Dimasukkan ke dalam peti bersama-sama rotan sega dan kajang.
  4. Dihantar oleh dua pembesar oleh perahu layar Terengganu.
  5. Singgah di Senggora dan diperiksa oleh Ketua Jajahan.
  6. Berlepas ke Bangkok sambil diiringi dua jurubahasa Senggora.
  7. Mempersembahkan Bunga Emas kepada Raja Siam secara terus.
  8. Hadiah lain diberikan kepada orang besar Siam.


ADAT BALASAN BUNGA EMAS

  1. Raja Siam menyediakan hadiah dengan nilai yang sama dengan Bunga Emas kepada Terengganu.
  2. Dimuatkan di dalam perahu dikenali sebagai Sekoci Siam bersama-sama garam.
  3. Diiringi oleh surat muhibbah kepada Sultan Terengganu.
  4. Tiba di Kuala Terengganu, warkah dan bahan persembahan dibawa naik ke rumah Datuk Penghulu Balai.
  5. Diarak dengan adat ke dalam istana.


KRISIS

Pada tahun 1787M, Sultan Mansur I mengutuskan surat kepada Kapten Light di Pulau Pinang membayangkan bahawa Raja Siam meminta baginda ke Bangkok untuk mengiktiraf kekuasaan Siam dan menyatakan bahawa Terengganu di bawah naungannya. Namun, baginda enggan menyebabkan Siam mengugut untuk menyerang Terengganu tetapi tiada apa-apa yang berlaku. Menurut cerita lisan, Syeikh Ibrahim dan Syeikh Abdul Aziz (Tok Pelam) membantu Sultan Mansur dengan keramat mereka untuk menghalang serangan Siam di dalam kisah Keramat Tentera Pasir.


PENGHANTARAN TERAKHIR

Bunga Emas dihantar kali terakhir semasa zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidn III pada tahun 1909M semasa zaman Sultan Zainal Abidin III.


 

Rujukan:

  1. Sejarah Darul Iman, MISBAHA
  2. Temuramah Lisan pengunjung Makam Tok Pelam, Kuala Terengganu