Batu Bersurat Piagam Terengganu

Batu Bersurat Piagam Terengganu merupakan satu batu ukiran bertulisan paling tua dan menggunakan tulisan Jawi yang terawal di Malaysia. Prasasti ini membuktikan bahawa Islam telah tiba di Terengganu menjelang 1300 Masihi. Prasasti ini seberat 214.8kg.

Sidang mesyuarat Lembaga Penasihat Antarabangsa UNESCO di Barbados pada 13 Julai 2009 telah mengiktiraf bahawa Batu Bersurat Piagam Terengganu sebagai artifak bernilai tinggi dan mendapat pengiktirafan Warisan Dunia UNESCO. Permohonan pengiktirafan ini telah dibuat pada tahun 2008.

KANDUNGAN

Muka Pertama

Rasulullah dengan yang arwah santabi mereka
Asa pada Dewata Mulia Raya beri hamba meneguhkan Agama Islam.
Dengan benar bicara derma mereka bagi sekalian hamba Dewata Mulia Raya.
Di Benuaku ini penentu agama RasululLah sallalLahi wassalama raja.
Mandalika yang benar bicara sebelah Dewata Mulia Raya di dalam
Bumi penentuan itu fardhu pada sekalian Raja Manda
. Lika Islam menurut setitah Dewata Mulia Raya dengan benar.
Bicara berbajiki benua penentuan itu maka titah Seri Paduka.
Tuhan menduduki Tamra ini di Benua Terengganu adi pertama ada.
Jumaat di bulan Rajab di tahun saratan disasanakala.
Baginda Rasulullah telah lalu tujuh ratus tua.

Muka Kedua

Keluarga di Benua jauhkan
(Datang berikan. Keempat orang berpiutang.
Jangan mengambil … (a)mbil hilangkan emas.
Kelima derma barang orang … (mar)dika.
Jangan mengambil (tugas buat) temasnya
Jika ia ambil hilangkan emas. Keenam derma barang
Orang berbuat bala cara laki-laki perempuan satitah
Dewata Mulia Raya jika merdeka bujang palu.
Seratus ratun jika merdeka beristeri.
Atawa perempuan bersuami ditanam hinggakan
Pinggang dihambalang dengan batu matikan.
Jika inkar (bala cara) hambalang jika anak Mandalika …

Muka Ketiga

Bujang dandanya sepuluh tengah tiga jika ia …
Menteri Bujang dandanya tujuh tahil se(paha …
Tengah tiga, jika tetua bujang dandanya lima (tahil …
Tujuh tahil sepaha masuk bendara. Jika O(rang) …
Merdeka. Ketujuh derma barang perempuan hendak …
Tiada dapat bersuami, jika ia berbuat balabicara …

Muka Keempat

… tiada benar dendanya setahil sepaha kesembilan derma.
. … Seri Paduka Tuhan (Tuan) siapa tiada harta dendanya
… Ke sepuluh derma jika anakku atawa pemainku atawa cucuku atawa keluarga ku atawa anak.
… tamra ini segala isi tamra ini barang siapa tiada menurut tamra ini laknat Dewata Mulia Raya.
… di jadikan Dewata Mulia Raya bagi yang langgar acara tamra ini.

SEJARAH PENEMUAN

Gambaran pelukis mengenai penemuan Batu Bersurat Terengganu oleh Syed Husin Ghulam Al-Bukhari

Prasasti ini ditemui setelah banjir surut pada tahun 1887 di tebing Sungai Tara yang terhakis akibat banjir. Batu itu seterusnya dibawa ke Surau Tok Abdul Rashid (Surau Tok Ki Rashid) di Kampung Buluh, Kuala Berang dan dijadikan alas untuk membasuh kaki sebelum naik ke surau kerana bentuknya yang bersegi.

Batu ini terus kekal sebagai alas kaki surau sehinggalah seorang usahawan berketurunan Arab iaitu Syed Husin Ghulam Al Bukhari tiba di surau berkenaan dalam usaha untuk mencari bijih di sekitar Kuala Berang. Beliau berulang alik dari Kuala Terengganu ke Kuala Berang melalui sungai.

Pada tahun 1902 Masihi bersamaan 1320 Hijrah, beliau telah tiba di Sungai Tersat kira-kira jam 1.30 tengah hari. Tempat beliau berhenti tidak jauh daripada surau berkenaan dan ketika hendak melangkah naik ke surau berkenaan, beliau terpandang batu berkenaan yang mempunyai tulisan.

Selepas menunaikan solat Zohor, beliau terus menemui Penghulu Mukim iaitu Penghulu Ali bin Sulaiman dan bilal surau berkenaan. Menurut Penghulu Ali, batu berkenaan ditemui pada 1887 dan diusung oleh penduduk kampung ke surau berkenaan.

Kemudiannya, Syed Husin Ghulam Al-Bukhari meminta pertolongan daripada penghulu dan penduduk kampung untuk membersihkan batu berkenaan dan terlihatlah tulisan jawi terukir di baru berkenaan. Beliau terus meminta pertolongan penduduk kampung untuk memuatkan batu berkenaan ke dalam perahu untuk dibawa ke Kuala Terengganu.

Beliau mempersembahkan prasasti berkenaan kepada Sultan Zainal Abidin III namun tiada siapa yang dapat membaca tulisan berkenaan dan baginda memerintahkan supaya prasasti ini diletakkan di Bukit Puteri.

USAHA PENTERJEMAHAN

Pada Julai 1922, Penolong Penasihat British di Terengganu yang juga Ketua Bandaran, Mejar H.S. Peterson membawa prasasti ini ke Pejabat Bandaran Kuala Terengganu. Beliau juga mengarahkan tulisan di prasasti ini dikapurkan tetapi masih belum dapat difahami.

Salinan tulisan berkenaan juga dihantar ke Mekah untuk diterjemahkan tetapi maksud sebenar juga tidak diketahui. Beliau menjemput jurugambar dari Jepun iaitu N. Suzuki untuk merakamkan imej prasasti berkenaan dan dihantar ke Universiti Oxford di England.

Hasil kajian berkenaan, diputuskan bahawa kandungan prasasti ini merupakan satu pengisytiharan undang-undang Islam dan mereka menyatakan tarikh tulisan berkenaan adalah 702 Hijrah bersamaan 1303 Masihi.

PENJAGAAN

Prasasti ini berada di dalam jagaan penduduk Kampung Buluh, Kuala Berang daripada 1887 hingga 1902. Setelah itu, Batu Bersurat Piagam Terengganu ini telah disimpan di puncak Bukit Puteri daripada 1902 hingga 1923.

Pada 29 November 1923, J.L. Humpreys yang merupakan Penasihat British di Terengganu telah menulis surat kepada Naib Menteri Besar Terengganu iaitu Dato’ Seri Amar Diraja Encik Ngah Mohamad bin Yusof mencadangkan batu itu disimpan di Muzium Raffles. Alasan beliau adalah kerana Terengganu tidak mempunyai tempat sesuai untuk menyimpan batu berkenaan.

Cadangan itu kemudiannya telah dibincangkan dalam Mesyuarat Kerajaan Terengganu yang bersidang pada 2 Rejab 1342 bersamaan 10 Mei 1923. Hasil persidangan berkenaan, mesyuarat bersetuju prasasti berkenaan dipinjamkan ke Muzium Singapura.

Perkara ini dipersembahkan untuk perkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Titah baginda pada 7 Rejab 1342 bersamaan 15 Mei 1923 memperkenankan keputusan berkenaan.

Berikutan itu, prasasti ini dibawa ke Singapura dan kekal di sana dari 1923 hingga 1960. Ketika ini, kajian mengenai prasasti ini mulai rancak.

Pada tahun 1960 setelah Muzium Negara siap, prasasti ini dipinjamkan oleh Muzium Raffles ke Muzium Negara di Kuala Lumpur. Bagaimanapun, bentuk perjanjian pinjaman berkenaan tidak dapat dikesan buktinya.

TUNTUTAN PENJAGAAN

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Amar Diraja Tan Sri Wan Mokhtar bin Wan Ahmad memerhatikan Batu Bersurat Piagam Terengganu bersama Timbalan Ketua Setiausaha Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Encik Ismail Adam selepas Majlis Penyerahan Batu Bersurat di Wisma Darul Iman pada 6 Julai 1991

Pada September 1979, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu yang merupakan Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Terengganu iaitu Dato’ Wira Jaya telah mengetuai satu rombingan yang disertai oleh ahli Lembaga Muzium ke Singapura untuk membincangkan penyerahan balik prasasti ini kembali ke jagaan Terengganu. Ketika dalam perjalanan ke Singapura, rombongan ini telah singgah ke Kuala Lumpur untuk berunding perkara yang sama dengan pihak Muzium Negara.

Perbincangan ini menemui jalan buntu apabila Muzium Singapura mendakwa bahawa mereka merupakan pemilik kepada prasasti berkenaan.

Usaha ini berterusan sehinggalah pada 12 Februari 1987, apabila Kerajaan Negeri Terengganu telah menulis surat kepada Lembaga Muzium Negeri Terengganu meminta supaya digiatkan usaha pemulangan berkenaan. Sebab yang paling kukuh adalah kerana Terengganu sudah pun mempunyai muzium sendiri dan Batu Bersurat Piagam Terengganu akan menjadi pameran dan tarikan utama di Muzium Negeri Terengganu.

Berikutan ini, beberapa perbincangan telah diadakan oleh Lembaga Muzium Negeri Terengganu dan Jabatan Muzium. Hasil perbincangan berkenaan, kedua-dua pihak bersetuju merujuk perkara berkenaan kepada Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan.

Mesyuarat khas telah diadakan pada 2 Jun 1989 pada jam 11.00 pagi di Pejabat Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan yang terletak di tingkat 36, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Perbincangan ini diwakili oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Sabbaruddin bin Chik, Ketua Setiausaha Kementerian Tuan Haji Khalid bin Ismail dan Setiausaha Kementerian iaitu Haji Abdul Aziz bin Deraman daripada pihak Kerajaan Pusat. Pihak Jabatan Muzium diwakili oleh Ketua Pengarah iaitu Dato’ Shahrum Yub, Encik Adi bin Haji Taha dan Encik Mohd Radzi bin Haji Ahmad. Pihak Kerajaan Negeri Terengganu pula diwakili oleh Setiausaha Kerajaan Terengganu iaitu Dato’ Setia Wangsa, Dato’ Haji Abdul Rashid bin Ngah, Tuan Haji Mamat Ghazalee bin Abdul Rahman, Penasihat Undang-undang Negeri iaitu Encik Nik Hashim bin Abdul Rahman, Dato’ Setia Jasa dan Pengarah Muzium Negeri Terengganu, Encik Mohd Yusof bin Abdullah.

Dalam perbincangan berkenaan, Kerajaan Pusat mengakui pemilikan prasasti ini adalah Kerajaan Negeri Terengganu tetapi pihak Kerajaan Pusat keberatan untuk menyerahkan kembali kerana prasasti ini mempunyai nilai sejarah peringkat nasional dan sesuai ditempatkan di Muzium Negara. Nada yang sama diulang oleh Tuan Haji Aziz bin Deraman dalam surat beliau kepada Dato’ Setia Wangsa pada 9 Oktober 1989.

Dalam balasan surat berkenaan, Dato’ Setia Wangsa telah memaklumkan bahawa Tan Sri Sabbaruddin bin Ismail telah menghadap Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah pada 18 Julai 1989 untuk menyembah maklum bahawa Batu Bersurat Piagam Terengganu adalah terbukti milik Kerajaan Negeri Terengganu dan pihak kementerian bersedia memulangkannya sekiranya diingini oleh Kerajaan Negeri Terengganu.

Tuan Haji Khalid dalam maklum balas beliau dalam surat bertarikh 24 Mei 1991 menyatakan bahawa mesyuarat Jemaah Menteri pada 15 Mei 1991 menetapkan bahawa Batu Bersurat Piagam Terengganu adalah peninggalan sejarah milik Terengganu dan hendaklah dikembalikan.

Batu Bersurat Piagam Terengganu dikembalikan tanggal 6 Julai 1991 pada jam 9.30 pagi di Bilik Perjanjian Wisma Darul Iman. Perjanjian pengembalian ini ditandatangani oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Encik Ismail bin Adam dengan disaksikan oleh Pemangku Ketua Pengarah Jabatan Muzium iaitu Haji Mohamed Zulkifli bin Haji Abdul Aziz. Kerajaan Terengganu pula diwakili Pemangku Setiausaha Kerajaan Terengganu iaitu Dato’ Bentara Luar dengan disaksikan oleh Pengarah Muzium Negeri Terengganu iaitu Encik Mohd Yusof bin Abdullah.

USAHA PERINGATAN

Kerajaan Negeri Terengganu dalam usaha untuk memperingati Batu Bersurat Piagam Terengganu sebelum pemulangan prasasti ini telah mencadangkan pembinaan memorial di tapak penemuan prasasti berkenaan pada tahun 1989. Memorial ini dikenali sebagai Memorial Batu Bersurat yang terletak di tanah seluas 7 ekar di kawasan yang dikenali sebagai Tanah Batu di Kampung Buluh, Kuala Berang.

Pada tahun 2004, replika Batu Bersurat Piagam Terengganu telah dibina di Bulatan Ladang, Kuala Terengganu yang merupakan pertemuan antara Jalan Sultan Zainal Abidin, Jalan Sultan Ismail, Jalan Sultan Sulaiman dan Jalan Sultan Mahmud.

Beberapa rekabentuk tampak dan logo juga menggunakan bentuk Batu Bersurat Piagam Terengganu seperti pada logo Lembaga Muzium Negeri Terengganu.


Rujukan:

Lembaga Muzium Negeri Terengganu