Semasa Sultan Mansur I meninggalkan Terengganu kerana berkahwin di Riau, pemerintahan negeri Terengganu Darul Iman telah dipangku oleh Bendahara Bukit Puteri (Bendahara Husin) dan Orang Kaya Padang. Selesai perkahwinan, saudara baginda Ku Tana Wangsa kembali ke Terengganu dan beliau hendak memegang kuasa sama seperti dahulu namun dihalang oleh Bendahara dan Orang Kaya. Setelah diketahui oleh Sultan Mansur I maka baginda pun berangkat kembali ke Terengganu bersama-sama Sultan Sulaiman Riau.
PENYELESAIAN KRISIS
Apabila Ku Tana Wangsa mendapat khabar kekandanya Sultan Mansur I berada di Laut Dungun, beliau meminta perlindungan daripada Long Yunus yang ketika itu berada di Kuala Terengganu untuk berdamai dengan Bendahara Husin. Dengan kebijaksanaan Long Yunus, kedua-duanya dapat berdamai dan bermuafakat untuk menyambut ketibaan Sultan Mansur I dan Sultan Sulaiman Riau. Sultan Sulaiman Riau bersemayam di Kuala Terengganu lebih dari sebulan dan kemudiannya kembali ke Riau.
PEMBUNUHAN ORANG KAYA PADANG
Kisah ini diceritakan, Setelah kembalinya Sultan Sulaiman ke Riau, Sultan Mansur I bersama-sama Ku Tana Bungsu berangkat menaiki gajah ke kampung Orang Kaya Padang. Tatkala sampai ke kampung itu, baginda bertitah supaya Orang Kaya Padang bahawa baginda hendak minum air kelapa manis. Orang Kaya terus mencari sebiji kelapa manis yang paling terkenal dan diparas serta dipersembahkan kepada baginda yang berada di atas gajah.
Ku Tana Bungsu mengambil buah berkenaan dari Orang Kaya Padang. Tidak semena-mena Sultan Mansur I terus melompat dari gajah dan menikam Orang Kaya Padang menggunakan keris panjang. Gempar seluruh kampung berkenaan dengan berita Sultan Mansur I membunuh Orang Kaya Padang. Motif pembunuhan ini tidak dapat diketahui.
Rujukan:
- Sejarah Darul Iman, MISBAHA