Dalam masa pemerintahan Sultan Mansur I, kira-kira tahun 1788M, terdapat peristiwa melibatkan ancaman daripada Saiyed Ali Bin Othman yang merupakan cucu kepada Raja Alam Siak. Beliau telah menyerang kuala Senggora (Songkla, Thailand) dan mendapat banyak harta rampasan. Beliau kemudiannya menuju ke Kuala Terengganu.
TINDAKAN SULTAN MAHMUD LINGGI
Berita ini membuat Sultan Mansur I merasa gelisah. Baginda menyediakan kelengkapan 100 buah perahu, sekiranya Saiyed Ali menyerang Kuala Terengganu. Apabila angkatan tentera Saiyed Ali berada di sekitar Pulau Kapas, baginda memerintahkan angkatan tentera Terengganu mengepung musuh, tetapi Sultan Mahmud Linggi yang ketika itu kebetulan berada di Kuala Terengganu menghantar utusan, memanggil Saiyed Ali dan menyuruhnya menghadap Sultan Mansur I.
Pertempuran hampir tercetus apabila anak raja Terengganu menahan kaki Saiyed Ali ketika naik ke atas kapal Sultan Terengganu untuk mengadap. Sebagai balasan, setelah selesai mengadap, Saiyed Ali menekan kepala anak-anak raja Terengganu seolah-olah membilang ketika berjalan turun dari kapal.