Kampung Nasi Dingin


Masjid Kampung Nasi Dingin.

Kampung Nasi Dingin merupakan sebuah kampung tradisional Melayu yang terletak di Hulu Terengganu. Kampung ini terletak 12 kilometer dari Kuala Berang dan 32 kilometer dari Kuala Terengganu. Kampung ini dihubungkan dengan jalanraya T9 yang menghubungkan Pekan Manir dan Pekan Tajin.

 

ASAL USUL.

Kampung ini mendapat namanya daripada kejadian yang menimpa seorang pedagang yang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kuala Berang untuk berdagang barang makanan seperti budu dan ikan masin. Setibanya di tebing timur Sungai Terengganu di kawasan berpasir yang dikenali sebagai Teluk Pasir Som, beliau telah berasa lapar dan ingin menjamu selera. Beliau menanak nasi dan menyediakan lauk pauk di tebing pasir berkenaan dan menjamu selera.

Papan tanda Kampung Nasi Dingin.

Bagaimanapun, nasi yang ditanak hanya habis separuh dan dibuang di tebing pasir berkenaan. Keesokan harinya, beliau bertolak ke Kuala Berang untuk meneruskan perjalanan. Setelah bergerak sejauh sepuluh depa dari tempat beliau bermalam, beliau terdengar suara tangisan. Beliau mula kembali ke tempat beliau berhenti dan mencari tangisan itu. Kemudiannya beliau bergerak menghilir untuk mencari tangisan itu tetapi tidak menemukan punca tangisan itu.

Beliau kemudiannya terlihat nasi yang dibuangnya itu. Nasi yang dingin itu kemudiannya diambil oleh beliau dan dibawa bersama dalam perjalannya. Setelah itu, tiada lagi kedengaran bunyi tangisan yang didengarinya sebelum ini.

Bertitik-tolak daripada kejadian itu, kawasan berkenaan dikenali sebagai Nasi Dingin dan apabila perkampungan baharu dibuka di tebing barat setentang dengan lokasi berkenaan, nama Nasi Dingin diabadikan pada nama kampung itu.

 

DEMOGRAFI

Menurut banci yang dilakukan oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan (JKK) Kampung Nasi Dingin, kampung ini menempatkan sejumlah 375 penduduk (bancian 2016) dengan keluasan kira-kira 500 ekar. Kampung ini menempatkan 93 buah kediaman. Kesemua penduduk kampung ini terdiri daripada bangsa Melayu dengan 160 orang lelaki dan 215 orang perempuan.

 

KEMUDAHAN

Kemudahan yang disediakan di kampung ini adalah:

  1. Dewan Orang Ramai.
  2. Balairaya.
  3. Masjid.
  4. Jeti.
  5. Perpustakaan.
  6. Kemudahan rekreasi.

Rujukan:

Selamah binti Ali, No 4, Kampung Nasi Dingin.

Zawiah binti Mat Zin, Perpustakaan Desa Kampung Nasi Dingin.


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/gombgnet/public_html/ganupedia.com/wp-includes/functions.php on line 5109