Kempen Melanggar Kelantan

Rentetan peristiwa Kempen Melanggar Kelantan bermula seawal 1740M, dan angkatan tentera Terengganu berlepas dari Kuala Terengganu pada 18 Rabiulawal 1185H bersamaan 1 Julai 1771.

Semasa Long Pandak Kelantan datang ke Terengganu pada tahun 1740M, Beliau telah dikurniakan gelaran Dato’ Seri Maharaja oleh Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah Riau dan menjadi pemerintah yang berkuasa di Kelantan. Selain beliau, ada juga pemerintah lain yang berkuasa bernama Long Bahar atau Long Besar yang dilantik menjadi Sultan di Jembal kira-kira pada tahun 1720M (1133H) dan meninggal dunia pada tahun 1733M. Beliau diganti oleh ayahanda Long Yunus iaitu Long Nik atau Long Sulaiman tetapi pemerintahannya tidak lama kerana berbangkit pergaduhan. Beliau dibunuh oleh menantunya Long Deraman Raja Legeh pada tahun yang sama.

Long Yunus melarikan diri ke Terengganu dan mendiami di Bukit Datu, seterusnya berpindah ke Kampung Bukit Losong. Oleh kerana mengenangkan jasa Long Yunus sebagai pendamai antara Ku Tana Wangsa dan Bendahara Husin Bukit Puteri dalam Krisis Pemerintahan Terengganu 1740M, baginda Sultan Mansur I menjadikannya menantu, dikahwinkan dengan puteri baginda Tuan Jumat. Long Yunus mengadu kepada baginda mengenai hal ehwal Kelantan dan memohon bantuan.

Sedang perbincangan mengenai hal berkenaan, Ku Tana Wangsa dikhabarkan telah meninggal dunia, meninggalkan empat putera iaitu Tun Tahir Temenggung, Engku Muda, Tun Jamal dan Tun Sulaiman. Long Yunus mengulangi semula permintaannya untuk mendapatkan bantuan Tun Tahir Temenggung.


PERSETUJUAN MELANGGAR KELANTAN

Setelah kesemua putera Ku Tana Wangsa bersetuju, Tun Tahir Temenggung menghadap Sultan Mansur I dan memohon kebenaran untuk melanggar Kelantan. Setelah dipersetujui, berangkatlah pasukan seramai 100 buah perahu dan pasukan berjalan kaki mengikut jalan darat seramai 300 orang bersama Long Yunus.

Sultan Mansur I sendiri dikatakan berangkat mengikut jalan lauit dengan dibantu Raja Ismail, putera Sultan Mahmud. Angkatan ini berlepas daripada Kuala Terengganu pada 18 Rabiulawal 1185H bersamaan 1 Julai 1771 dan singgah di Pulau Perhentian selama empat puluh hari kerana laut bergelora dan tiba Musim Tutup Kuala. Temenggung pun menghadap Sultan Mansur I menyembah supaya baginda kembali ke Kuala Terengganu dan beliau menanggung segala hal ehwal Kelantan. Baginda bertitah dengan gembira “Inilah sebenarnya anakku”.


GERAKAN KEMPEN PERTAMA

Tun Tahir Temenggung pun meneruskan kempen ke Kelantan. Sampainya di Kelantan beliau melihat banyak kubu didirikan di sepanjang garis pantai Kelantan. Engku Muda dan Tuk Limbat ditugaskan untuk menyusup ke pantai pada waktu malam dan memujuk ketua kubu-kubu berkenaan dengan hadiah kain dan baju serta diperingatkan supaya jangan melawan angkatan di laut kerana angkatan itu kepunyaan Yang Dipertuan Besar yang memiliki Kelantan sedangkan Long Pandak sekadar wakil Long Deraman. Pujukan itu telah diterima oleh ketua kubu-kubu.

Angkatan Terengganu berterusan mudik, masuk ke kuala dan berlaku perperangan. Oleh kerana asakan kuat pasukan Terengganu, Kelantan berjaya ditawan dengan harta rampasan yang banyak. Long Pandak pula melarikan diri ke Legeh dan Long Yunus memerintah Kelantan.


GERAKAN KEMPEN KEDUA

Setelah angkatan tentera Terengganu pulang, datang Long Deraman bersama kelengkapan perang menyerang kembali Kelantan serta merampas pemerintahan dari Long Yunus. Long Yunus melarikan diri kerana tidak dapat bertahan. Setelah Long Deraman berkuasa, beliau berkata “Adakah mengambil negeri di belakang mata? Ini bukan laki-laki”. Setelah ucapan itu sampai ke pengetahuan Sultan Mansur I, baginda murka dan dititah sekalian panglima, orang besar, saudara-saudaranya, dan diperintah supaya melengkapkan tentera.

Saiz tentera Terengganu pada gerakan kedua ini dikatakan sebanyak 40 buah perahu, ada juga yang mendakwa 80 buah perahu manakala tentera berjalan kaki seramai tidak kurang 3000 orang dan Temenggung diperintahkan menghantar surat makluman serangan kepada Long Deraman.

Apabila surat sampai dan Long Deraman mengetahui bahawa angkatan Terengganu menuju Kelantan, beliau turut melengkapkan tentera untuk menyerang Terengganu dan memerintahkan supaya surat dihantar ke Terengganu memaklumkan bahawa beliau ingin merampas Terengganu juga.

Berlayarlah Sultan Mansur I ke Kelantan, dan dalam perjalanan baginda, gemparlah penduduk sekitar Penarik mengatakan bahawa beribu-ribu tentera berjalan kaki datang di sebelah barat. Sultan Mansur I bimbang sekiranya tentera berkenaan adalah tentera Long Deraman yang datang menyerang Terengganu.

Baginda menitahkan Wan muhammad Setiu supaya turun dan menemui angkatan tentera berkenaan. Setelah tiba di darat, beliau bertanya kepada angkatan tentera dan mereka mengesahkan bahawa angkatan berkenaan adalah angkatan Long Deraman. Wan Muhammad Setiu sendiri meminta untuk bertemu dengan Long Deraman. Setelah dipersetujui, Wan Muhammad Setiu cuba meredakan keadaan dengan bercakap secara muhibah dan diplomasi, dalam usaha untuk meredakan ketegangan ini. Akhirnya, usaha Wan Muhammad Setiu berjaya apabila Long Deraman sendiri meminta untuk menghadap Sultan Mansur I di laut.

Setelah Long Deraman naik ke perahu, Sultan Mansur I menerima kedatangan dengan gembira, kerana pendamaian dan proses diplomasi akhirnya berjaya. Baginda Sultan Mansur I sendiri menghadiahkan baju yang dipakai baginda ketika itu kepada Long Deraman. Long Deraman menerimanya dengan amat gembira dan terus memakainya. Lalu Long Deraman menghadap sembah dengan katanya “Selagi ada umur patik, patik mohon jadi gembala di Kelantan dan patik sangatlah berbesar hati kiranya Yang Dipertuan dapat berangkat dan beralih angin di sana”. Long Deraman dan Sultan Mansur I terus berangkat ke Kelantan beserta angkatan Terengganu menaiki perahu baginda.

Baginda berada di Kelantan selama 40 hari dan berkahwin dengan Nang Senik anak Long di Pulau Melor, dengan beroleh putera yang bernama Tengku Muhammad. Apabila baginda ingin pulang ke Terengganu, baginda mencadangkan supaya Long Yunus dilantik sebagai Raja Muda. Pemintaan ini dipersetujui oleh Long Deraman.


GERAKAN KEMPEN KETIGA

Setelah itu, Long Deraman pula pulang ke Legeh dan Long Yunus kembali memerintah Kelantan. Tidak beberapa lama, Long Deraman meninggal dunia, kerana terkena taji ayam sabungnya. Ada pula berpendapat kerana luka di dalam perperangan dengan Long Yunus. Long Pandak pula ke Legeh menggantikan Long Deraman dan meninggalkan Long Yunus di Kelantan.

Tidak lama selepas itu, timbul satu fitnah ke atas Long Yunus dan fitnah itu sampai ke Terengganu. Sultan Mansur I memanggil balik Long Yunus serta dititahkan supaya menetap sementara di Kampung Balik Bukit. Kemudian beliau berpindah ke Kampung Beladau, dan Kelantan diperintah oleh Long Pandak.

Long Pandak pula membuat angkara tidak mahu menurut perintah dari Terengganu berkenaan hal Long Yunus. Oleh itu sekali lagi Terengganu menyerang Kelantan dengan angkatan empat puluh buah perahu dan mengalahkan Long Pandak. Long Yunus kembali memerintah Kelantan dan ditabal menjadi raja di Kota Kubang Labu.

Long Yunus kemudian menghadap Sultan Mansur I dan memohon supaya putera baginda menjadi raja Kelantan. Dengan pilihan Long Yunus sendiri dibawanya Tengku Muhammad ke Kelantan dan dikahwinkan dengan anaknya Che Ku Wan Teh. Keadaan ini merupakan punca kepada tercetusnya Konflik Terengganu – Kelantan semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin II.


Rujukan

  1. Sejarah Darul Iman, MISBAHA