Ganupedia merupakan satu laman yang menerbitkan rencana mengenai sudut budaya, tempat, sejarah dan tokoh di Terengganu atau yang berkaitan dengan Terengganu. Ganupedia merupakan satu penyedia maklumat tuntas tentang cabang ilmu berkaitan dengan Terengganu.
Ganupedia dirancang penubuhannya pada pertengahan tahun 1434 Hijrah bersamaan awal tahun 2013 Masihi dengan ilham untuk membangunkan satu laman yang bertindak sebagai satu pelantar yang mengumpulkan segala maklumat mengenai Terengganu. Pelantar berkenaan bukan sahaja mampu memaparkan maklumat malahan mampu untuk memberikan bantuan kepada pencari maklumat melalui fungsi dan peranan yang berdayacipta.
Ganupedia kemudiannya mula dibangunkan pada Muharram 1435 Hijrah bersamaan November 2013 Masihi dengan antaramuka yang ringkas. Pembangunan ini diumumkan di halaman Ganutalgia dengan kerja-kerja awal disokong oleh We Are Grafy. Namun, pembangunannya tertunda akibat daripada masalah berkaitan pengaturcaraan.
Setelah beberapa kali tertunda kerana masalah kepakaran dalam pembangunan pelantar, pembinaan Ganupedia mulai pantas pada 7 Safar 1436 Hijrah bersamaan 30 November 2014 Masihi. Ganutalgia mulai melancarkan kempen mengumpulkan maklumat untuk mencipta rencana-rencana perintis yang akan dipaparkan. Rencana daripada halaman Ganutalgia juga menjadi sumber kepada rencana perintis di Ganupedia. Ketika ini, Ganupedia dirancang untuk dilancarkan pada Rabiulawal 1436 Hijrah bersamaan Januari 2015.
Tetapi, rancangan Allah Taala lebih berkuasa atas segalanya. Ganupedia tidak dapat dilancarkan pada waktu yang dirancang dan hanya dapat dilancarkan dengan sempurna pada hari Isnin, 22 Jamadilawal 1436 Hijrah bersamaan 24 Mac 2015. Pada masa pelancarannya, Ganupedia memuatkan 65 rencana dengan 40 rencana lengkap dan 25 rencana tunas.
Ganupedia mengalami beberapa naiktaraf antaranya perubahan antaramuka yang dilakukan pada 15 Syawal 1436 Hijrah bersamaan 10 Ogos 2015. Pada 9 Zulkaedah 1436 Hijrah bersamaan 24 Ogos 2015 Masihi, Ganupedia menerima sebanyak 7,694 paparan dan mengandungi 87 rencana.
Pada 8 Safar 1437 Hijrah bersamaan 20 November 2015 Masihi, Ganupedia ditutup untuk membuat perubahan keseluruhan daripada antaramuka yang dibangunkan sendiri kepada antaramuka templat. Ini untuk menambahbaik pengalaman gelintar dan menyenangkan capaian pengguna. Proses ini berakhir pada 22 Rabiulakhir 1437 Hijrah bersamaan 1 Februari 2016 Masihi apabila laman ini dilancarkan semula.
Pada 13 Zulkaedah 1438 Hijrah bersamaan 6 Ogos 2017 Masihi, satu lagi perubahan rupa tampak jati diri Ganupedia dilakukan dengan pelancaran logo baharu yang lebih segar dan ceria. Ini untuk mengubah sudut pandang masyarakat bahawa sejarah dan pensejarahan adalah suatu perkara yang indah dan menarik. Diharapkan Ganupedia terus berkembang dan kekal ke akhir zaman.