Tanah Bencah Setiu

Tanah Bencah Setiu merupakan satu kawasan yang telah diwartakan sebagai Taman Negeri Terengganu pertama dari kawasan Tanah Bencah. Kawasan ini merangkumi keluasan kira-kira 23, 000 hektar keluasan daratan dan 880 hektar badan air.

 

EKOSISTEM

Kawasan ini merupakan kawasan tadahan air bagi beberapa lembangan sistem sungai di daerah Setiu. Kawasan tadahan ini mengalami kelembapan sebanyak 90 peratus tanpa mengira keadaan musim. Kawasan ini mengalami dua jenis musim iaitu musin hujan daripada November hingga Februari dan juga musim kering dari Mac hingga September.

Kawasan Tanah Bencah Setiu yang kritikal dan rapuh telah dikenalpasti yang mana merangkumi kawasan daripada Kampung Penarik sehingga ke utara, merangkumi Sungai Setiu, Sungai Sempit, Kampung Saujana, Kampung Fikri, Kuala Sungai Setiu dan kawasan lagun, sehingga ke kawasan Gong Batu dan sempadan Besut. Kawasan ini telah diwartakan dalam Pelan Pembangunan Tanah Bencah Setiu dan diwartakan, dilindungi serta dikawal. Manakala, kawasan tanah bencah yang lebih luas merangkumi kawasan dari Batu Rakit di Kuala Nerus sehingga ke Tembila di Besut.

Keunkan tanah bencah ini adalah kerana ianya merangkumi pantai, laut, fluks lumpur, lagun, muara, sungai, pulau, hutan gelam dan hutan paya bakau. Lagun Setiu yang menjadi sebahagian daripada komponen utama tanah bencah ini juga  merupakan lagun yang terpanjang di Semenanjung Malaysia dengan 22km panjang.

 

TAMAN NEGERI TERENGGANU

Taman Negeri Tanah Bencah Setiu telah diwartakan sebagai Taman Negeri Terengganu pada Ogos 2018 yang mana merangkumi kawasan seluas 432.4 hektar bagi fasa pertama yang merangkumi Lagun Setiu manakala fasa kedua akan merangkumi kawasan seluas 1088.32 hektar yang merangkumi kawasan Tasik Berombak. Pengisytiharan ini dilakukan bersama-sama dengan pengisytiharan Taman Negeri Lawit-Cenana.


Rujukan:

  1. Setiu: More Than a Wetland – Jamilah Mohd Salim, Faridah Mohamad dan Rohani Shahrudin.
  2. Buletin JPBD Terengganu 2016.
  3. Pemodelan Perubahan Tanah Bencah di Lembangan Sungai Setiu, Terengganu Menggunakan Logistik Regresi dan Aplikasi Sistem Maklumat Geografi (GIS) – Lindah Roziani Binti Jamru, Zullyadini A. Rahaman, & Wan Ruslan Ismail. Kumpulan Kajian HidroGeomorfologi (HGRG), Bahagian Geografi, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia.
  4. Terengganu isytihar Taman Negeri Lawit-Cenana dan Setiu Wetland – Kosmo! Online.