Rodat Terengganu

Rodat merupakan satu budaya yang menonjol di Terengganu. Ketika ini, mungkin rodat telah menjadi satu istilah asing, tetapi sebenarnya rodat merupakan warisan unik Terengganu yang tiada yang mirip dengannya pada wilayah-wilayah yang berjiran dengannya.

Sehingga kini, tiada kajian yang dapat menyimpulkan dari mana asal-usul rodat dan bagaimana budaya ini menjadi satu rupa tampak kebudayaan Terengganu. Menurut catatan Buletin Warisan pada tahun 1979 menyebut bahawa budaya ini berasal dari Sambas dan Pontianak di Kalimantan apabila mereka datang ke Terengganu pada abad ke 19 untuk membeli perkakasan, songket dan budu. Mereka telah berkumpul sambil berlagu rodat dengan iringan tar rodat sehingga lewat malam. Penduduk Terengganu telah menyaksikan persembahan berkenaan dan mempelajarinya sebelum berkembang di dalam Terengganu apabila penduduk daripada Besut, Dungun dan Kemaman juga mengembangkan di wilayah masing-masing.

Latihan rodat, pelenggok di sebelah kiri dan pengadi di sebelah kanan.

Rodat yang berkembang di Sambas berasal daripada Tanah Arab. Ini disokong dengan perkataan rodat itu sendiri yang memberi makna berulang alik, bersahut sahutan, bersatu kembali atau juga diungkap di dalam Bahasa Arab di mana isinya dipetik daripada kitab yang diberi nama Hadrah. Ini selari dengan hikmah penyampaian rodat yang biasanya memuji Allah dan RasulNya serta menyampaikan sejarah Islam.

Rodat berkembang pesat di kawasan Kuala Terengganu iaitu di kawasan Darat. Kawasan di sekitar Kampung Pasir Panjang dan Kampung Gong Tok Nasek merupakan kawasan perkembangan rodat sebelum berjaya menarik minat seluruh pelusuk rakyat Terengganu apabila dipersembahkan di majlis seperti Maulidur Rasul, Ulangtahun Keputeraan Sultan bahkan berkembang sehingga majlis rakyat seperti perkahwinan, berkhatan, main pantai dan kenduri kendara.

Setelah mendapat minat meluas, rodat mula berkembang di beberapa kawasan sekitarnya iaitu Kampung Surau Panjang, Kampung Beladau Kepong, Kampung Paya Resak dan kawasan sekitarnya. Namun kini, hanya beberapa kumpulan sahaja yang tinggal dan masih menjalankan kegiatan berkenaan. Selebihnya telah berkubur tanpa diwariskan kepada golongan muda.

Persembahan rodat di pentas.

Pada mulanya, nyanyian rodat merupakan nyanyian syair puji pujian kepada agama dengan Bahasa Arab. Nyanyian ini melibatkan pengadi iaitu mereka yang bermain tar rodat serta pelenggok dan iaitu mereka yang menari. Nyanyian rodat disambut dan bersahutan antara mereka.

Kemudiannya, pantun-pantun mula diperkenalkan pada tahun 1940, bersama-sama dengan penglibatan wanita yang dikenali sebagai mak inang ke dalam rodat. Sebelum itu, rodat hanya melibatkan lelaki sahaja. Keadaan berbalas pantun kadangkala melibatkan pelenggok dan pengadi sahaja. Manakala, ada juga yang melibatkan mak inang dan pelenggok sahaja dalam berbalas pantun, bergantung kepada keadaan.

Namun kini, mak inang tidak lagi wujud dalam persembahan rodat, mengembalikan bentuk asal persembahannya. Kebanyakan pendapat mengatakan bahawa tidak elok melagukan lagu rodat yang mengandungi puji-pujian kepada Allah dan RasulNya sedangkan mak inang tidak menutup aurat, dan bercampur antara lelaki dan wanita.

Sehingga kini, usaha memelihara pantun rodat bersama keseniannya dilakukan dengan gigih, dalam usaha menyemarakkan rodat sebagai warisan budaya istimewa Terengganu. Ini membuktikan bangsa Terengganu tidak pernah melupakan tuhannya, walaupun ketika asyik berhibur.


Rujukan:

  1. Muzium Negeri Terengganu (Foto).
  2. Rodat: Budaya Tradisi Yang Berevolusi, Muhammad Irfan Nyia Abdullah, Sakinah Abu Bakar dan Tasnim Mohd Annuar.
  3. Siri Mengenal Budaya 1/2003: Rodat.