Daerah di Terengganu

Pentadbiran di Terengganu adalah sama seperti negeri-negeri Melayu yang lain adalah berasaskan pecahan daerah dan mukim. Setiap daerah ditadbir oleh Pegawai Daerah dan badan bertanggungjawab adalah Pejabat Daerah dan Tanah bagi setiap daerah yang berada di bawah Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu.

Pejabat Daerah dan Tanah dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Pejabat Daerah dan Pejabat Tanah. Kedua-duanya mempunyai fungsi dan tugas sendiri iaitu:

  1. Pejabat Daerah
    • Urusan perihal Kerakyatan Negeri Terengganu.
    • Urusan bantuan rakyat.
    • Urusan elaun jawatan ketua masyarakat (Elaun JKKK dan gotong royong).
    • Pengumpulan maklumat asas kampung dan masyarakat.
    • Perakuan dan Sokongan Lesen Menduduki Sementara.
    • Sokongan dan perakuan dokumen rakyat dan pemastautin.
  2. Pejabat Tanah
    • Urusan pendaftaran, pengesahan dan pengurusan hal ehwal tanah dan pemilikan tanah.
    • Menyiasat aduan orang ramai.
    • Membuat laporan tanah.

Setiap mukim pula ditadbir oleh Penghulu mukim di mukim masing-masing. Kesemua kampung berada di bawah pentadbiran mukim dan mukim pula ditadbir oleh Pejabat Daerah dan Tanah.

PERSEMPADANAN DAERAH DI TERENGGANU

Sejarah daerah di Terengganu dapatlah dijejaki pada permulaan Kesultanan Melayu Terengganu itu sendiri. Semasa zaman tradisi Kesultanan Melayu Terengganu, negeri ditadbir melalui penguasa yang dilantik untuk mengurus hal ehwal berkaitan di sungai masing-masing. Muara sungai utama yang didiami penduduk dan lembangan serta cabang sungai di hulunya berada di bawah penguasa yang dilantik oleh Sultan Terengganu.

Setelah campur tangan British pada tahun 1910, sistem pentadbiran mula dipengaruhi oleh British. Pada tahun 1921, sistem pembahagian daerah mula diperkenalkan dengan pemecahan wilayah dan daerah di Terengganu kepada beberapa daerah.

Pada tahun 1921, pentadbiran Terengganu memecahkan negeri Terengganu kepada sembilan daerah iaitu:

  1. Kuala Terengganu
  2. Hulu Terengganu
  3. Setiu
  4. Besut
  5. Marang
  6. Dungun
  7. Paka
  8. Kertih
  9. Kemasik

Namun, akibat daripada kesukaran dan ketidakseimbangan pentadbiran, daerah di Terengganu disusun semula. Ini dilakukan untuk proses pentadbiran kerajaan yang lebih cekap dan mudah. Pada tahun 1923, persempadanan daerah dirombak semula iaitu:

  1. Kuala Terengganu
  2. Hulu Terengganu
  3. Besut
  4. Marang
  5. Dungun
  6. Paka
  7. Kertih
  8. Kemasik
  9. Kemaman

Tahun ini menyaksikan daerah Setiu dihapuskan dan digabungkan dengan Besut, manakala sebahagian besar daerah Kemasik dipecahkan dan diwujudkan baharu menjadi daerah Kemaman.

Perkembangan masyarakat dan kemasukan teknologi baharu dalam pengangkutan serta pembinaan jaringan jalanraya oleh British telah menyebabkan persempadanan daerah di Terengganu disemak sekali lagi. Kali ini menyaksikan rombakan yang menjadikan daerah di Terengganu menjadi sepuluh daerah pada tahun 1935 iaitu:

  1. Kuala Terengganu
  2. Hulu Terengganu
  3. Marang
  4. Merang
  5. Besut
  6. Setiu
  7. Dungun
  8. Paka
  9. Kemasik
  10. Kemaman.

Namun, persempadanan daerah berkenaan tidak bertahan lama apabila pada tahun yang sama, Pesuruhjaya Tanah dan Galian Negeri Terengganu telah menganjurkan satu persidangan untuk meneliti keberkesanan pentadbiran daerah dan hasil daripada persidangan berkenaan, satu persempadanan baru daerah di negeri Terengganu telah dipersetujui. Persidangan berkenaan dikenali sebagai ‘Christmas Conference’ dan hasil daripada persidangan berkenaan adalah:

  1. Daerah Kemaman dan Kemasik dicantumkan dan dikenali sebagai Daerah Kemaman.
  2. Daerah Dungun dan Paka dicantumkan dan dikenali sebagai Daerah Dungun.
  3. Daerah Merang dan Kuala Terengganu dicantumkan dan dikenali sebagai Daerah Kuala Terengganu.
  4. Daerah Besut dan Setiu dicantumkan dan membentuk Daerah Besut.

Hasilnya, enam buah daerah terbentuk iaitu:

  1. Kuala Terengganu
  2. Hulu Terengganu
  3. Marang
  4. Dungun
  5. Kemaman
  6. Besut

Sistem persempadanan ini kekal dilaksanakan sehingga merdeka dan terus dipakai sehingga 1985. Pada 1 Januari 1980, Kerajaan Negeri Terengganu telah mengemukakan permohonan Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Tenaga Manusia, Jabatan Perdana Menteri (MAMPU) untuk membuat laporan terhadap keberkesanan persempadanan negeri Terengganu. Hasilnya, pada 1 Januari 1985, Kerajaan Negeri Terengganu telah mengumumkan pembentukan daerah Setiu dan persempadanan semula daerah Kuala Terengganu dan Marang. Hasil kajian berkenaan adalah:

  1. Daerah Setiu dibentuk dengan penyerahan sebahagian mukim di Besut dan Mukim Merang di Kuala Terengganu untuk membentuk daerah baharu.
  2. Mukim Alor Limbat dan Mukim Bukit Payong diserahkan kepada Daerah Marang.

Persempadanan baharu ini menjadikan Terengganu mempunyai tujuh daerah iaitu:

  1. Kuala Terengganu
  2. Hulu Terengganu
  3. Marang
  4. Dungun
  5. Kemaman
  6. Setiu
  7. Besut

Persempadanan ini kekal sehingga 18 September 2014 apabila Perdana Menteri Malaysia Dato Seri Najib bin Tun Abdul Razak mengisytiharkan penubuhan daerah baru iaitu Kuala Nerus yang merupakan pecahan 65% keluasan tanah Daerah Kuala Terengganu. Ciri persempadanan baharu berkenaan ialah:

  1. Sempadan pinggir utara dan barat Sungai Nerus sehingga pertemuan dengan Sungai Terengganu serta pinggir utara Sungai Terengganu daripada pertemuan Sungai Nerus sehingga ke Laut China Selatan akan menjadi daerah baharu.
  2. Mukim Belara dipecahkan kepada dua dengan bahagian utara dan barat Sungai Nerus menjadi sebahagian daripada daerah baharu.
  3. Nama pecahan mukim baharu yang merupakan sebahagian daripada Mukim Belara ditukar nama kepada Mukim Pakoh.

Pada akhir tahun 2014 hingga kini, Terengganu kini mempunyai lapan daerah iaitu:

  1. Kuala Terengganu
  2. Kuala Nerus
  3. Hulu Terengganu
  4. Marang
  5. Dungun
  6. Kemaman
  7. Setiu
  8. Besut


Rujukan:

  1. Muzium Negeri Terengganu
  2. Arkib Negara Malaysia
  3. Pejabat Daerah dan Tanah Setiu
  4. Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu
  5. Pejabat Daerah dan Tanah Marang
  6. Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus