Kuala Terengganu (Daerah)

Peta daerah Kuala Terengganu dengan pecahan mukim.

Kuala Terengganu merupakan salah sebuah daripada lapan daerah di Terengganu. Daerah ini menempatkan ibu negeri Terengganu iaitu Bandaraya Kuala Terengganu. Daerah ini dan daerah Kuala Nerus ditadbir oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu – Bandaraya Warisan Pesisir Air.

Daerah Kuala Terengganu ditadbir melalui Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu yang terletak di Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu. Sebelum 1998, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu beroperasi di Jalan Sultan Ismail, Kuala Terengganu.

LAMBANG DAERAH

Sebagai daerah yang menempatkan ibu negeri dan bandar diraja Terengganu, warna rasmi bagi Kuala Terengganu adalah warna kuning yang melambangkan fungsinya di Terengganu.

Bendera Daerah Kuala Terengganu

SEJARAH

Bangunan lama Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu, 1998

Pentadbiran melalui struktur daerah diperkenalkan oleh British di Terengganu semasa zaman pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Jawatan Pegawai Daerah dipegang oleh British sehinggalah tahun 1955 apabila anak tempatan pertama iaitu Che Mohd Yusof Bin Haji Ahmad dilantik untuk memegang jawatan tersebut.

Setelah merdeka, daerah Kuala Terengganu merangkumi sebanyak 25 mukim iaitu Belara, Kuala Nerus, Batu Rakit, Pulau Redang, Pulau-pulau, Manir, Bukit Payong, Alor Limbat, Serada, Kepong, Gelugor Kedai, Atas Tol, Pengadang Buluh, Cendering, Kuala Ibai, Bukit Besar, Tok Jamal, Gelugor Raja, Rengas, Kubang Parit, Paloh, Losong, Cabang Tiga, Batu Buruk dan Bandar.

Namun pada 1 Januari 1985, dua mukim iaitu Bukit Payong dan Alor Limbat telah dipindahkan kepada daerah Marang. Manakala pada 18 September 2014, mukim Belara dipecahkan dimana bahagian mukim berkenaan yang terletak di selatan Sungai Terengganu diletakkan di bawah Kuala Terengganu dan selebihnya dinamakan semula sebagai mukim Pakoh dan diletakkan di bawah daerah baru iaitu Kuala Nerus bersama-sama dengan mukim Batu Rakit, Pulau Redang dan Kuala Nerus menjadikan Kuala Terengganu kini mentadbir 20 mukim.

Kompleks Seri Iman yang menempatkan Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Terengganu ketika siap dibina pada tahun 1998.

Daerah Kuala Terengganu kini mempunyai keluasan kira-kira 21,021.47 Hektar dengan anggaran 151, 000 orang penduduk. Daerah ini juga merangkumi 5 Dewan Undangan Negeri – DUN (DUN Bandar, DUN Batu Buruk, DUN Ladang, DUN Wakaf Mempelam dan DUN Manir) dan 1 Parlimen (Parlimen Kuala Terengganu) dengan sebahagian Parlimen Hulu Terengganu yang merangkumi mukim Manir dan Belara (DUN Manir).

MUKIM

Kuala Terengganu merangkumiĀ  20 mukim iaitu:

  1. Bandar
  2. Losong
  3. Paloh
  4. Cabang Tiga
  5. Kubang Parit
  6. Bukit Besar
  7. Batu Buruk
  8. Kuala Ibai
  9. Cendering
  10. Pengadang Buluh
  11. Atas Tol
  12. Gelugor Kedai
  13. Gelugor Raja
  14. Tok Jamal
  15. Kepong
  16. Rengas
  17. Serada
  18. Pulau-pulau
  19. Manir
  20. Belara

Rujukan:

  1. Muzium Negeri Terengganu.
  2. Laman Rasmi Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu.
  3. Laman Rasmi Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus.
  4. Laman Rasmi Pejabat Daerah dan Tanah Marang.

Save