Gamelan yang tersebar di seluruh kepulauan Nusantara pada hari ini tidaklah dapat dinafikan lagi bahawa kesenian tersebut berasal daripada Jawa. Bahkan perkataan “gamelan” itu sendiri berasal daripada Bahasa Jawa yang bermaksud dipukul dan “bergamel” itu bermaksud memainkan alat muzik yang dipukul.
Di Tanah Melayu pula, istilah gamelan sedikit berubah dengan makna memainkan alat muzik yang dipalu dan tidak termasuk alat musik yang digesek atau ditiup.
Gamelan berkembang di seluruh Nusantara pada zaman yang berbeza bahkan dengan istilah yang berbeza. Antara wilayah-wilayah yang mengembangkan gamelan adalah Madura, Sumatera Selatan, Tanah Melayu bahkan ke Selatan Filipina. Antara istilah yang dipakai adalah “gong @ gong gamelan” di Bali dan “tabuhan” di Selatan Sumatera.
SEJARAH GAMELAN TERENGGANU
Gamelan Terengganu bermula daripada Riau-Lingga dan masuk ke Terengganu melalui Johor dan Pahang. Sekitar 1800, gamelan dimainkan di Istana Pahang sebelum masuk ke Terengganu setelah puteri Sultan Pahang berkahwin dengan Sultan Terengganu iaitu Sultan Zainal Abidin III dan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah.
Sultan Zainal Abidin III juga diketahui beberapa kali meminjam nobat Diraja Riau-Lingga untuk kerja-kerja besar dan akhirnya pada 1917, Terengganu menerima alat nobat ahli-ahli pemain nobat dari Lingga dibawa untuk mengajar pemain nobat Terengganu (Sumber: Haji Mubin Sheppard).
Gamelan Terengganu secara pengaruhnya berasal terus dari Riau setelah Sultan Zainal Abidin III terpesona dengan persembahan gamelan semasa majlis perkahwinan baginda dengan Tengku Long, puteri Sultan Ahmad Pahang.
Setelah itu, Sultan Zainal Abidin III meminjam set gamelan bersama pemainnya kecuali para penarinya. Baginda tidak meminjam dari Pahang kerana renggangnya hubungan Terengganud dan Pahang kerana terputus jodoh dengan Tengku Long kira-kira pada tahun 1893. Hubungan baginda dengan Riau-Lingga juga bertambah baik dengan perkahwinan baginda dengan Tengku Puteri, anak Tengku Saiyid Riau pada tahun 1892. Pada tahun 1893, baginda mengahwinkan puteri baginda, Tengku Jebah dengan Tengku Cik Besar dan gamelan dimainkan bersama permainan lain dalam majlis yang berlangsung selama 40 hari 40 malam.
Pada tahun 1913, hubungan Terengganu dan Pahang pulih apabila Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (belum dimahkotakan ketika itu) mengahwini Tengku Ampuan Mariam. Ini membuka jalan memelihara gamelan yang hilang di Riau dan Pahang.
Pada tahun 1914, bonda Tengku Ampuan Mariam iaitu Cik Zubedah telah datang ke Terengganu untuk tinggal bersama puterinya setelah kemangkatan Sultan Ahmad Pahang. Kemudian, pada tahun 1915, set gamelan Cik Zubedah di Pahang dipinjamkan ke Terengganu untuk bermain dan menari gamelan.
Setelah Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah dimahkotakan pada 1920, Baginda dan Tengku Ampuan Mariam terus giat membangunkan kembali gamelan dengan membawa pemain dan penari Pahang yang sudah bersara dan melatih pemain dan penari Terengganu. Kumpulan itu sendiri diketuai dan dikelolakan oleh Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah dan Tengku Ampuan Mariam.
1936 menyaksikan sejarah baru apabila Terengganu berjaya memiliki set gamelan sendiri apabila Tengku Setia (seorang raja yang tinggal di Terengganu) mencari set gamelan yang dibawa dari Bali. Enchik Salleh, bekas pemain gamelan Pahang dibawa ke Terengganu untuk memerhati dan menegur kesilapan ahli-gamelan Terengganu.
Dalam tempoh berkenaan, sebanyak 95 lagu gamelan berjaya diciptakan, dengan 60 daripadanya diiringi dengan tarian. Sebahagian daripada ciptaan ini adalah lanjutan daripada gamelan Pahang tetapi yang lainnya dibangunkan dan diperkembangkan sendiri di Istana Terengganu.
Tengku Ampuan Mariam juga menulis manuskrip mengenai joget gamelan dan baginda Sultan Sulaiman Sendiri menulis lagi. Gamelan Terengganu berkembang apabila membuat persembahan di Kelantan, Singapura, Pulau Pinang dan Siam sehingga 1942 setelah Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah mangkat dan digantikan dengan Sultan Ali pada zaman pemerintahan Jepun.
Tengku Ampuan Mariam pula berpindah ke Istana Kolam dan membawa set gamelan bersama-sama dengan dua penari, salah seorang daripadanya adalah Cik Adnan Abdullah yang tinggal bersamanya. Set gamelan berkenaan telah dikembalikan kepada Pahang pada tahun 1973 setelah berlaku tawar-menawar dan keadaan yang tidak menyenangkan antara Kerajaan Pahang, Kerajaan Terengganu dan bekas pemain gamelan Terengganu.
Kini, set berkenaan boleh disaksikan di Muzium Pahang di Pekan dan dipamerkan sehingga kini.
PEMELIHARAAN
Terengganu melalui Kerajaan Negeri menumpukan usaha untuk memelihara kebudayaan Gamelan dengan memberi bantuan terhadap kegiatan pendidikan di peringkat sekolah. Kerajaan Negeri Terengganu juga memiliki kepakaran ahli gamelan melalui organisasi kebudayaan SUKTRA dan penubuhan Akademi Seni Terengganu.
SelainĀ itu juga terdapat beberapa gerakan kebudayaan masyarakat yang sentiasa membuat persembahan gamelan di dalam dan luar negeri Terengganu.
Rujukan:
- Sejarah Darul Iman, MISBAHA.
- Muzium Negeri Terengganu.
- Kerajaan Negeri Terengganu.
- Lambang Sari, Tari Gamelan Terengganu. Harun Mat Piah dan Siti Zainon Ismail.