Sultan Zainal Abidin III (Marhum Haji)

Sultan Zainal Abidin III merupakan Sultan Terengganu kesebelas yang memerintah Terengganu Darul Iman dan segala jajahan takluknya pada tahun 1881 hingga 1918. Baginda digelar “Sultan Regu Ulama” kerana keakraban baginda dengan ulama-ulama Terengganu ketika itu, khususnya Syeikhul Ulama Terengganu, Syed Abdul Rahman Bin Syed Muhammad Al-Idrus atau lebih dikenali sebagai Tok Ku Paloh.

Baginda diakui sebagai sultan yang alim dan bersifat kasih mesra terhadap sekelian rakyat jelata.


KEPUTERAAN

Baginda diputerakan pada 27 Zulkaedah 1281, bersamaan 23 April 1864. Ini tercatat pada loket peringatan kemangkatan baginda yang menyatakan tarikh baginda diputerakan. Bonda baginda adalah Tengku Kalsum, puteri Sultan Muhammad Lingga.


NAIK TAKHTA

Setelah ayahanda baginda, Sultan Ahmad II mangkat, baginda dilantik menjadi sultan pada 27 Muharram 1299 bersamaan 19 Disember 1880. Semasa itu, baginda berusia kira-kira 16 tahun. Baginda mendapat sokongan kuat daripada Menteri Besar ketika itu iaitu Engku Besar Paduka Diraja (Syed Abdullah Bin Syed Muhammad). Ini disebabkan walaupun baginda masih muda, ilmu pengetahuan dan kebolehan baginda meyakinkan keluarga diraja untuk menyerahkan takhta pemerintahan kepada baginda.

Tengku Abas (saudara baginda) yang mencuba untuk menjadi pemerintah, tidak berjaya dan dilantik sebagai Yang Dipertuan Muda Terengganu.


MAJLIS PERTABALAN

Majlis pertabalan diadakan pada bulan Jamadilawal. Pada 19 Jamadilawal 1299 bersamaan 7 April 1881, sebuah kapal tiba membawa Tengku Long, saudara baginda dari Riau dan keesokan harinya tiba sebuah kapal perang dari negeri Siam yang membawa utusan dari Raja Chulalongkorn (Raja Rama V). untuk menghadiri majlis pertabalan berkenaan. Ketibaan wakil itu disambut dengan satu istiadat selepas solat Jumaat 21 Jamadilawal 1299 bersamaan 23 April 1881.


AKHLAK DAN KECENDERUNGAN

Akhlak baginda digambarkan dengan jelas pada Syair Tawarikh Sultan Zainal Abidin Yang Ketiga yang dikarang oleh Tengku Dalam Kalthum Binti Tengku Khazaki. Antara petikan dari syair berkenaan adalah:

Tersangat kasih Yang Maha Mulia
Kepada segala hamba dan sahaya
Hatinya murah lagi bahagia
Tidak memandang harta dunia

Istimewa kepada segala fakirnya
Memohon anugerah atau sebagainya
Kembali tiada hampa tangannya
Melainkan peroleh segala hartanya

Manakala, di dalam buku Syair Tun Humpreys (Syair Tuan Humpreys) yang dikarang oleh Hajjah Wook Aishah Binti Haji Idris menyatakan pula:

Adapun nama Sultan Paduka
Zainal Abidin Yang Ketiga
Di dalam negeri jadi mastika
Merintah jajahan takluk belaka

Rajanya alim lagi jauhari
Kitab Quran lagi pelajari
Alimnya tidak lagi terperi
Termasyhurlah khabar ke sana ke mari

Salih dan Wara’ lagi pendita
Bijak laksana jangan dikata
Masyhurlah khabar di dalam warta
Di alam Melayu sekelian rata

Perangainya alim tangannya murah
Sekalian kasih memandang wajah
Cukup faham ilmu Aribah
Baginda nan gemar ilmu Falakiah

Baginda sangat cenderung kepada ilmu pengetahuan agama dan menunjukkan minat luar biasa terhadap ilmu pengetahuan. Beginda mempunyai ramai guru, antaranya:

  1. Habib Umar Al-Attas (Guru Bahasa Arab)
  2. Haji Wan Abdullah Bin Muhammad Amin (Tok Syeikh Duyong)
  3. Syed Abdul Rahman Bin Syed Muhammad (Tok Ku Paloh)
  4. Syed Zainal Abidin Bin Syed Muhammad
  5. Haji Zainal, Kampung Banggol
  6. Haji Wan Muhammad Bin Wan Ali, Kampung Gedung
  7. Haji Wan Abdul Latif Bin Abdullah, Losong
  8. Haji Musa, Atas Tol
  9. Haji Wan Muhammad Saleh Bin Wan Abdul Kadir, Bukit Bayas
  10. Syed Abdul Rahman Al-Haddad

Baginda juga pernah mengajar agama, terutamanya di Masjid Abidin. terdapat banyak kitab-kitab simpanan baginda. Ada yang sempat disimpan, ada pula yang diwakafkan oleh putera puteri baginda kepada khutub khanah, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.

Baginda menyambut dan memberi layanan kepada alim ulama yang datang ke Terengganu, menawarkan ruang di istana dan membuka istana untuk dijadikan tempat pengajian agama. Ini digambarkan oleh Ustaz Muhammad Saleh ketika menceritakan perihatl gurunya As-Syeikh Muhammad Saleh Bin Muhammad Taib, Syeikul Islam Perak Darul Ridzuan ketika melawat Terengganu pada 1890an. Gurunya menceritakan bahawa beliau diberikan ruang di Istana Mazian dan Sultan Terengganu tidak membenarkannya menginap di luar istana dan di jalanan setelah baginda mengetahui bahawa beliau adalah orang berilmu. Baginda menyediakan ruang bagi kitab di dalam istana dan menyuruh orang mencari kitab-kitab yang baru diketahuinya untuk dipelajari.

Baginda juga memperkenalkan undang-undang dan mempermudahkan pelbagai urusan. Negeri Terengganu ketika ini menyaksikan pertambahan perdagangan dan jumlah pedagang yang tiba di Kuala Terengganu bertambah. Alim ulama dan cendekiawan cenderung untuk berhijrah dan mengajar di Terengganu disebabkan kemudahan yang disediakan oleh Sultan Terengganu.


KRITIKAN

Pemerintahan baginda dikecam dan dikritik oleh sejarahawan orientalis dengan menggambarkan baginda sebagai orang alim yang mengasingkan diri dan membiarkan rakyat menderita. Tujuan mereka hanya untuk memburukkan keadaan negeri di kalangan orang luar dan menggalakkan British untuk campur tangan dan menjajah Terengganu. Antara pengkritik yang membuat catatan yang buruk mengenai pemerintahan baginda adalah:

  1. W. A Graham
  2. Hugh Clifford

Sejarahwan yang tidak berat sebelah seperti D. Vere Allen pula menyatakan tidak ada penindasan terhadap rakyat Terengganu bahkan Laporan Conlay, agen British pertama di Terengganu juga menegaskan perkara yang sama. Majlis Mesyuarat Negeri telah wujud sekian lama, sebelum kehadiran British, memberi bukti bahawa sistem pentadbiran Terengganu sudah sedia ada sempurna dan berkesan.


KEMANGKATAN

Baginda mangkat pada 21 Safar 1337 bersamaan 25 November 1918, pagi isnin. Pada malam isnin, baginda masih dalam keadaan sihat dan boleh bangun bersiar-siar di istana, memerhatikan rakyat yang menghadiri majlis ratib masuk ke dalam kota. Baginda sendiri mengurniakan sedekah kepada setiap pasukan ratib yang masuk ke dalam kota. Kira-kira jam 11 malam, baginda merasa sesak nafas. Pada jam 5 pagi, meriam ditembak, menandakan kemangkatan baginda. Peristiwa ini dicatatkan jelas dan diceritakan jelas oleh penduduk Kuala Terengganu


PENINGGALAN

Nama baginda diabadikan pada institusi dan tempat di Terengganu, sebagai tanda peringatan terhadap baginda. Antaranya:

  1. Jalan Sultan Zainal Abidin (dahulunya Jalan Kedai Tanjung).
  2. Universiti Sultan Zainal Abidin (dahulunya Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin – KUSZA).
  3. Sekolah Menengah Agama (atas dan bawah) Sultan Zainal Abidin.

Ganutalgia sendiri menjadikan lakaran wajah baginda sebagai lambang dalam usaha menghargai dan memperingati jasa baginda kepada keseluruhan Terengganu dan tanah jajahannya.


GAMBAR

 

 

 

 


Rujukan

  1. Sejarah Darul Iman, MISBAHA
  2. Temuramah Lisan: Tengku Mohd Redzuan Abidin Bin Tengku Sulaiman