Ratib Hawar

Ratib Hawar merupakan satu majlis yang diadakan apabila negeri diserang wabak penyakit, biasanya taun. Menurut cerita lisan, apabila negeri diserang sesuatu penyakit atau wabak, penduduk Terengganu akan mengadakan perarakan pada waktu malam hari, biasanya bermula selepas waktu solat Isyak sehingga ke awal subuh. Penduduk akan berzikir dan memuji Allah Taala sambil berarak sekeliling kampung.


TUJUAN

Wabak penyakit dianggap sebagai kemurkaan Allah Taala kepada penduduk negeri. Apabila penduduk negeri ditimpa wabak penyakit, ini menandakan bahawa penduduk negeri lalai dari mengingati Allah Taala. Maka, sebagai tanda memohon keampunan dari Allah Taala, penduduk akan mengadakan ratib hawar dan mengelilingi kampung dan keseluruhan bandar Kuala Terengganu, memasuki celah lorong dan jalan-jalan untuk berzikir mengingati Allah sepanjang tempoh wabak berkenaan.

Penduduk akan memberikan wang sebagai tanda penghargaan dan wang berkenaan akan dikumpulkan untuk majlis kesyukuran setelah tamatnya wabak penyakit berkenaan. Majlis berkenaan tidak mempunyai nama terpeinci, cuma dirujuk sebagai Majlis Kesyukuran Tamat Wabak, akan diadakan di tanah lapang atau di padang, kadangkala diadakan kawasan lapang di atas tanah perkuburan dan majlis jamuan menggunakan wang derma penduduk akan diadakan.