Dalam pemerintahan Sultan Zainal Abidin II, Terengganu telah bertindak melanggar Kelantan buat kali kedua selepas Kempen Melanggar Kelantan yang berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Mansur I sekitar tahun 1771M.
PUNCA
Punca konflik adalah disebabkan oleh Long (Ahmad) Muhammad anak kepada Long Yunus. Pihak-pihak berkenaan tidak bersetuju dengan perkahwinan Tengku Cik Muda yang merupakan putera baginda dengan puteri Yang Dipertuan Kelantan yang bernama Tengku Sulong. Ini ditambah dengan rasa tidak puas hati anak-anak Long Yunus di atas perlantikan Tengku Muhammad Yang Dipertuan Kelantan. Pergaduhan berkenaan berlanjutan selama dua puluh tujuh hari. Akhirnya Long Muhammad nmelarikan diri ke hulu. Dipetik daripada kisah berkenaan adalah:
Selepas mangkat Sultan Mansur lebih kurang lapan tahun, maka Sultan Zainal Abidin II telah meminang Tengku Sulong puteri Yang Dipertuan Kelantan bagi menjadi isteri puteranya Tengku Cik Muda
Yang Dipertuan Kelantan pun bersiap sedia kerana istiadat perkahwinan diraja itu hanya tinggal rumah dapur yang belum didirikan lagi. Yang demikian Yang Dipertuan pun menyuruh anak-anak Long Yunus supaya merombak rumah di dalam kota. Tetapi dari pagi hingga ke tengahari mereka tidaklah datang dan menyempurnakan titah itu. Kemudian titah Yang Dipertuan supaya Long Muhammad sendiri pergi melihat apakah aral gendalanya.
Long Muhammad pun pergilah melihat apakah yang terjadi, tiba-tiba didapatinya mereka masih duduk berteduh di bawah pohon kayu. Kata Long Muhammad “Apahal Yang Dipetuan suruh rombak rumah, mari duduk berdiam-diam?”. Jawab seorang dari mereka “Mari dahulu KU”.
Long Muhammad pun menghampiri mereka, kata Long Zainal, “Bagaimana fikiran abang, orang Terengganu datang ini pada pendapat abang, gemukkah atau kurus? Kerana yang mari itu Tengku Cik Muda, dan dibawanya Long Midin dan Long Daud, perkara bapanya terpulanglah kira bicara kepada abang, yang lain-lain tidaklah bagaimana sangat dikhuatirkan”.
Kata Long Muhammad: “Apakah yang ada pada hamba sesuatu?” Sahut mereka “Yang lain pun tiada juga, asalkan kita mahu sahaja”.
Long Muhammad berkata: “Jikalau begitu mana-mana bicara ramailah”. Setelah itu masing-masing pun berikhtiarlah mengadakan alat senjata ala kadarnya serta ubat-ubat bedil.
Rentetan daripada petikan di atas Long Muhammad menghadap Yang Dipertuan memberikan alasan bahawa mereka yang ditugaskan merombak rumah itu tidak dapat melaksanakan kerja kerana tidak sihat. Selang beberapa hari, angkatan Terengganu dengan kelengkapan perkahwinan tiba ke Kelantan dan Yang Dipertuan Kelantan memaklumkan kepada Yang Dipertuan Besar Terengganu mengenai perihal rumah berkenaan.
Yang Dipertuan Terengganu memerintahkan Syed Akil, Bendahara Abdul Malik, Dato’ Mata-mata dan Encik Saleh supaya memanggil Long Muhammad menghadap tetapi diberi alasan tidak sihat. Utusan berkenaan menyembah balik kepada Yang Dipertuan Besar Terengganu dan baginda berfikir supaya kerja kahwin ini lebih baik dilakukan di Terengganu.
Long Muhammad mengumpulkan putera Kelantan dan tentera di antara empat hingga lima ratus orang dan datang menghadap Yang Dipertuan Besar. Yang Dipertuan Besar langsung tidak menghidangkan kopi kepada Long Muhammad. Tidak lama kemudian setelah Long Muhammad kembali, kedengaran bunyi bedil di sebelah Pulau Sabar. Yang Dipertuan Besar Terengganu menitahkan supaya mudik dan mengambil semua perempuan Terengganu di Kelantan. Esoknya, kelihatan kubu-kubu di sepanjang sungai.
Beberapa serangan kecil berlaku kepada perahu Terengganu yang memuatkan perempuan Terengganu yang ingin dibawa balik. Ketika perahu memuatkan putera Yang Dipertuan Besar Terengganu, datang peluru bedil melintasi perahu berkenaan dan gemparlah keadaan ketika itu. Yang Dipertuan Besar Terengganu ketika itu menitahkan supaya angkatan Terengganu berundur kerana kedatangan asal angkatan adalah untuk berkahwin dan tidak membawa sebarang senjata. Titah baginda ketika itu “Kita datang ini bukanlah hendak berperang, sekarang sudah tiada sesuatu biacara pun, baiklah kita balik kembali dahulu”.
ANGKATAN PERANG TERENGGANU
Tahun berikutnya, angkatan Terengganu berlayar melalui jalan laut membawa peluru dan kelengkapan lainnya. Panglima yang terlibat adalah:
- Engku Muda
- Tuan Cik Kepong
- Tuan Jamal Maras
- Tuan Sulaiman
- Tuan Mahmud
- Encik Long
Manakala, panglima yang melalui jalan darat adalah:
- Encik Udin Serada
- Penghulu Bahar Serada
- Penghulu Diman
- Pak Sulong Dolah
- Penghulu Sofi Pertang
Angkatan Terengganu berhenti di Besut kerana perahu Encik Yim Losong dan beberapa orangnya sakit. Panglima Perang Encik Abdullah pula ke Patani berjumpa dengan Dato Long Ismail, menawarkan gabungan untuk bersatu dengan angkatan Terengganu. Bagaimanapun, setelah sampai Encik Yim Losong kepada Yang Dipertuan Besar Terengganu, beliau berkata “Adakah hendak melanggar negeri, bergantung kepada pertolongan orang?”. Baginda yang murka terus berangkat bersama perahu baginda yang bergelar “Bujang Seribu” ke Kelantan dan berhenti ke pulau bernama Pulau Ketitir di Sungai Pinang.
Angkatan Terengganu yang menyerang melalui darat terlebih dahulu berjaya menawan Kubu Semarak selama dua puluh hari. Kemudian, Kubu Limau Nipis, Kubu Kenandeh, Keluang Taras sebelum akhirnya tiba di Sungai Kelantan. Pertempuran yang hebat telah berlaku. Selepas beberapa hari, Long Muhammad menyerah kalah dan berjanji supaya tidak bertelingkah lagi.
Encik Udin pula telah mengganggu anak raja perempuan Kelantan dan menyebabkan perkelahian dengan anak raja lelaki Kelantan kerana Encik Udin ingin mengambil anak raja perempuan itu. Pertempuran melibatkan Encik Udin ini telah membunuh Encik Udin sendiri dengan pengikutnya lebih kurang enam puluh orang. Angkatan Terengganu pula menjarah harta benda, merampas kerbau lembu dan barangan berharga dan membakar rumah-rumah di Kenali, Jak Kecil dan Jak Besar serta Balai Kampung Raja.
Yang Dipertuan Besar Terengganu berangkat balik, meninggalkan puteranya Tengku Muhammad, Tengku Andak dan beberapa pembesar serta hamba sahaya bersama-sama menanti Long Ismail untuk menyerang saki baki orang Long Muhammad. Tidak lama kemudian, Long Ismail tiba di Kelantan dengan bersama orang Terengganu, menyerang kubu di Pasir Mas.
Tidak lama selepas serangan itu, datanglah orang Long Muhammad dengan beberapa ribu orang Cina dari Pulai, membantunya dan menggempur orang Patani dan orang Terengganu. Akhirnya orang Patani dan Terengganu berundur. Yang Dipertuan Kelantan serta Tengku Andak juga melarikan diri ke Terengganu sehingga mangkat. Setahun kemudian, angkatan Terengganu hendak menyerang Kelantan lagi tetapi setelah tiba di Besut terdengar berita Yang Dipertuan Besar Terengganu gering dan serangan berkenaan dibatalkan.
Akhirnya Long Muhammad berjaya menaiki takhta Kerajaan Kelantan pada kira-kira 1800M dengan gelaran Sultan Muhammad I. Setelah tamat konflik ini, ekonomi dan politik Terengganu bertambah stabil dan Yang Dipertuan Besar Terengganu menyambung kembali kerja perkahwinan putera baginda Tengku Cik Muda dengan Tengku Sulong.
Rujukan:
- Sejarah Darul Iman, MISBAHA