Masjid Kampung Tuan

Masjid Kampung Tuan dari pandangan kiri kiblat

Masjid Kampung Tuan merupakan masjid lama yang terletak di Kampung Tuan / Kampung Enjin Gergaji di tebing Sungai Limbong, bersebelahan pusat bandar Cukai, Kemaman. Masjid ini dibina pada tahun 1830 oleh guru agama yang berasal daripada Pattani iaitu Syed Abdul Rahman Bin Abdul Samad yang tiba di Terengganu akibat tekanan dan ancaman peperangan dengan Siam.

Budaya pengimarahan masjid ini diteruskan oleh anak beliau iaitu Syed Abdul Samad bin Syed Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Tuan Wok. Masjid ini juga dikenali sebagai Masjid Tuan Wok di kalangan masyarakat. Beliau juga berulang alik daripada Kemaman ke Kuantan dan mengajar di Beserah. Tuan Wok kemudiannya meninggal dunia dan dimakamkan di Beserah

 

STRUKTUR MASJID.

Mihrab Masjid Kampung Tuan

Masjid ini berukuran tepat 9.14 meter untuk panjang dan lebarnya. Sumber kayu kayan untuk pembinaan masjid ini telah diambil daripada sebatang pohon cengal yang ditebang daripada hutan berhampiran. Mihrabnya juga ditebuk daripada teras cengal untuk membentuk lengkungan mihrab yang cantik.

Mimbar Masjid Kampung Tuan

Bumbungnya menggunakan atap senggora yang diperbuat daripada tanah liat dan bentuk bumbungnya merupakan bentuk limas bungkus dengan 4 tingkat. Di puncaknya, terdapat buah butung yang diperbuat daripada tembaga. Buah butung berkenaan sepatutnya diletakkan di Masjid Gresik di Pattani namun akibat konflik, ia dibawa ke Kemaman. Terdapat 12 tiang pula disambungkan menggunakan pasak dan tanpa paku.

Masjid ini telah mengalami kerja pemeliharaan oleh Jabatan Warisan Negara pada tahun 2006 untuk menyelamatkan strukturnya daripada terus rosak. Beberapa tambahan dan penggantian juga dilakukan oleh jemaah masjid dalam usaha untuk menambahbaik kemudahan dan strukturnya.

 

LAGENDA SETEMPAT.

Pandangan Masjid Kampung Tuan dari jalan utama

Menurut temuramah setempat, masjid ini merupakan masjid kembar kepada Masjid Kampung Lama Beserah. Tuan Wok merupakan guru agama dan berulang-alik dari Cukai ke Beserah untuk mengajar agama. Pengikut beliau juga berulang alik mengikut guru mereka dan dalam perjalanan, banyak kejadian yang meragut nyawa pengikutnya di laut. Namun mereka tidak berputus asa dan masih mengikut guru mereka. Bila ditanya oleh kenalan mereka sama ada mahu mengikut guru mereka, mereka mengiyakan dan mengatakan mereka berserah kepada Allah atas takdir mereka. Daripada perkataan berserah berkenaan maka diberi nama tempat tujuan mereka itu sebagai Kampung Beserah.

Buah butung di masjid berkenaan juga mempunyai lagenda tersendiri. Tuan Wok pernah mengucapkan bahawa sekiranya buah butung itu patah dan jatuh ke tanah, ia memberi petanda bahawa hari kiamat sudah hampir tiba.

Masjid ini pernah menjadi tempat persinggahan Munsyi Abdullah dalam kembaranya ke Terengganu.


Rujukan:

  1. Muzium Negeri Terengganu
  2. Utusan Malaysia, 12 September 2009
  3. Kembara Amal Banjir PUNCA 2013
  4. Lawatan Ganutalgia, 6 Ogos 2017
  5. Sutori: Kampung Beserah (https://www.sutori.com/story/kampung-beserah)

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/gombgnet/public_html/ganupedia.com/wp-includes/functions.php on line 5109