Mitos Raja Syamsul Alam dan Zainal Abidin

Kisah rakyat ini direkodkan oleh penduduk Kampung Paloh, Kuala Terengganu dengan tambahan maklumat daripada penduduk Kampung Jenagor, Hulu Terengganu dan Kampung Padang Saujana, Setiu.

Diceritakan semasa zaman Nabi Sulaiman AS, sebuah kerajaan telah terbina di Terengganu atau lebih tepatnya di Bukit Bintang, Setiu. Raja ini telah berkuasa di lembah Sungai Setiu pada zaman itu dan mempunyai rakyat yang ramai dan jajahan takluk yang luas.

Raja Syamsul Alam bersemayam di Bukit Bintang manakala permaisuri baginda bersemayam di Lembah Sungai Setiu. Tempat persemayaman permaisuri berkenaan ini diingati oleh penduduk setempat dan menjadi asal-usul nama Kampung Permaisuri.

Namun, Raja Syamsul Alam bukanlah raja yang adil. Akibat daripada campur tangan kaum Jin yang dikatakan menjadi penasihat kerajaan, Raja Syamsul Alam telah bertindak zalim menurut nafsu, menyesatkan orang ramai daripada agama yang dibawa Nabi Sulaiman dan sentiasa berbuat jahat.

Disebabkan oleh kerosakan yang dibawa oleh Raja Syamsul Alam yang mana telah dipandu oleh hasutan penasihat kerajaannya, Nabi Sulaiman telah mengutuskan seorang pahlawan perang yang bernama Zainal Abidin. Kelengkapan dan tentera perang telah dikumpulkan dan Zainal Abidin telah datang untuk menyerang kerajaan Raja Syamsul Alam daripada laut.

Raja Syamsul Alam telah bersedia untuk menerima ketumbukan tentera Nabi Sulaiman yang dipimpin oleh Zainal Abidin dan telah menempatkan tentera di hilir lembah yang berhadapan dengan Kuala Setiu untuk menghalang Zainal Abidin daripada menakluk ibu kota kerajaan Raja Syamsul Alam di Bukit Bintang.

Akibat daripada itu, berlakulah pertempuran yang sengit di tempat berkenaan. Akibat daripada ketumbukan tentera yang lebih besar dan lebih bersemangat daripada pihak Zainal Abidin, akhirnya Raja Syamsul Alam berjaya dikalahkan dan Bukit Bintang berjaya ditakluk. Manakala, tempat pertempuran itu hancur sejauh mata memandang dan dinamakan sebagai Padang Saujana.

Akhirnya, Bukit Bintang dibuka kembali dengan pemurnian agama Nabi Sulaiman di Kalangan penduduknya.

PERBEZAAN VERSI

Daripada penceritaan penduduk Kampung Jenagor di Hulu Terengganu dan Kampung Padang Saujana di Setiu, menyatakan bahawa keseluruhan Kerajaan Raja Syamsul Alam merupakan kerajaan makhluk halus (bunian).

Daripada penceritaan penduduk Kampung Paloh, Kuala Terengganu (Syed Abdillah Bin Tuan Sulong) menyatakan bahawa Raja Syamsul Alam merupakan manusia biasa, tetapi penasihat kerajaan berkenaan merupakan makhluk jin.


Rujukan:

  1. Syed Abdillah bin Tuan Sulong, Kampung Paloh Kuala Terengganu.
  2. Penduduk Kampung Jenagor, Hulu Terengganu.
  3. Penduduk Kampung Padang Saujana, Setiu