Ulik Mayang

Ulik Mayang (Ejaan lain: Ulit Mayang, Ulek Mayang)  merupakan satu budaya persembahan masyarakat Terengganu yang terkenal dan dipersembahkan sebagai salah satu rupa budaya Terengganu pada hari ini.

 

ASAL USUL

Terdapat banyak versi asal usul Ulik Mayang diceritakan oleh penduduk setempat bahkan peminat lagu serta persembahan ini. Namun, terdapat juga versi yang berbeza diceritakan. Berikut merupakan sebahagian daripada versi berkenaan:

  1. Versi yang terkenal mengisahkan nelayan ke laut mencari ikan telah bertemu dengan ribut petir dan perahu yang dinaiki oleh mereka telah karam. Setelah terdampar di pantai, mereka mendapati bahawa salah seorang daripada mereka tidak sedarkan diri. Mengesyaki bahawa sesuatu yang tidak kena, mereka telah memanggil bomoh untuk memeriksa nelayan berkenaan. Bomoh terbabit menyatakan bahawa nelayan itu telah dipukau dan berada di dalam alam lain. Bomoh berkenaan memulakan upacara perubatan dengan menyeru setiap puteri sehinggalah puteri ketujuh yang dikatakan yang paling tua di kalangan mereka. Bomoh merayu supaya nelayan berkenaan dilepaskan dan akhirnya mentera berkenaan menjadi rangkap lagu Ulik Mayang.
  2. Versi yang diperolehi daripada cerita lisan penduduk di Kampung Ladang Tok Pelam menyatakan bahawa Ulik Mayang digunakan sebagai pengubatan penyakit. Mantera Ulik Mayang dipercayai berasal daripada penduduk di salah sebuah pulau di Terengganu. Dikatakan bahawa sebuah pulau telah ditimpa wabak penyakit misteri dan penduduk telah kebingungan mencari penawarnya. Sehinggalah ibu kepada seorang nelayan budiman telah dijangkiti penyakit berkenaan dan telah terlantar sakit. Nelayan berkenaan telah membawa diri menangisi nasib ibunya yang malang di tepi pantai. Tiba-tiba, seludang mayang pohon pinang yang menjadi tempat beliau bersandar tiba-tiba pecah dan mengeluarkan mayang yang kemudian gugur ke tanah. Daripada mayang berkenaan muncullah tujuh puteri jelita yang kemudiannya menawarkan diri untuk mengubati penyakit ibunya itu. Setelah diubati, ibu nelayan budiman berkenaan sembuh dan puteri-puteri berkenaan telah mengajarkan mentera berkenaan kepada nelayan berkenaan sekiranya beliau mahu mengubati penduduk kampung yang lain.

 

TUJUAN

Seperti ritual-ritual mistik Melayu yang lain, Ulik Mayang dikatakan digunakan untuk tujuan perubatan. Tetapi menurut cerita lisan, menjelang tahun 1950-an hingga akhir 1970-an, Ulik Mayang digunakan secara suka-suka untuk sebagai satu cabaran ‘kejantanan’ untuk melihat siapakah yang dapat menahan daripada dirasuk.

 

VERSI DAN PENYANYI ASAL

Versi komersial yang terkenal pada hari ini diubahsuai daripada versi mentera dan dimasukkan rentaknya oleh Allahyarham Mazlan Embong. Beliau telah menggubah kembali Ulik Mayang dan memperkenalkan semula dalam bentuk persembahan budaya yang lebih segar. Menurut temuramah Ganutalgia dengan Wan Salmah Wan Sulaiman, beliau telah merujuk kepada bomoh Ulik Mayang dan membuang semua unsur syirik dalam usaha untuk memurnikan kembali budaya Terengganu. Versi berkenaan telah dinyanyikan pertama kalinya oleh Wan Salmah Wan Sulaiman.

Menurut Wan Salmah lagi, persembahan drama nelayan ke laut dan jatuh sakit kemudiannya yang biasa mengiringi tarian Ulik Mayang merupakan tambahan yang dilakukan oleh Allahyarham Mazlan Embong yang mahukan satu persembahan yang mencerminkan kehidupan sehari-hari rakyat Terengganu yang rata-ratanya adalah nelayan pada ketika itu.

 

LIRIK

Berikut merupakan lirik lagu Ulik Mayang yang digunakan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Terengganu dalam album Dendang Rakyat Terengganu yang dikeluarkan pada tahun 2003:

 

Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Ulik mayang diulik,
Ulik dengan puterinya dua,

Puteri dua berbaju serong,
Puteri dua bersanggul sendeng,
Puteri dua bersubang gading,
Puteri dua berselendang kuning,

Umbuk mayang diumbuk,
Umbuk dengan jala jemala,
Nak ulik mayang diulik,
Ulik dengan puterinya empat,

Puteri empat berbaju serong,
Puteri empat bersanggul sendeng,
Puteri empat bersubang gading,
Puteri empat berselendang kuning,

Umbuk mayang diumbuk,
Umbuk dengan jala jemala,
Nak ulik mayang diulik,
Ulik dengan puterinya enam,

Umbuk mayang diumbuk,
Ulik mayang diulik,
Umbuk mayang diumbuk,
Ulik mayang diulik,

Puteri enam berbaju serong,
Puteri enam bersanggul sendeng,
Puteri enam bersubang gading,
Puteri enam berselendang kuning,

Umbuk mayang diumbuk,
Umbuk dengan jala jemala,
Nak ulik mayang diulik,
Ulik dengan puterinya tujuh,

Puteri tujuh berbaju serong,
Puteri tujuh bersanggul sendeng,
Puteri tujuh bersubang gading,
Puteri tujuh berselendang kuning,

Umbuk mayang diumbuk,
Umbuk dengan jala jemala,
Nak ulik mayang diulik,
Ulik dengan tuannya puteri,

Umbuk mayang diumbuk,
Umbuk dengan jala jemala,
Ulik mayang diulik,
Ulik dengan puteri jelita.


Rujukan:

  1. Ismail bin Haji Awang, Kampung Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu.
  2. Wan Salmah Wan Sulaiman, Tokoh Kebudayaan Terengganu.