Sultan Ahmad II (Marhum Baharu)

Setelah kemangkatan Sultan Umar, putera saudara baginda (putera Yang Dipertuan Muda Tengku Mahmud) telah dilantik menggantikannya bergelar Sultan Ahmad II. Sebelum itu baginda bergelar Tengku Besar Paduka Mahkota. Baginda dilantik kerana Sultan Umar tidak mempunyai putera. Usia baginda ketika itu adalah 40 tahun. Tidak banyak maklumat diketahui mengenai baginda. Baginda memerintah dari 1875 sehingga 1881.


KELUARGA

Baginda beristerikan Tengku Kalson, Puteri Sultan Muhammad Daik, yang kemudiannya bergelar Tengku Puan Besar Terengganu. Baginda mempunyai seorang putera iaitu Tengku Zainal Abidin (Sultan Zainal Abidin III) dan beberapa puteri iaitu Tengku Cik Puteri, Tengku Maimunah, Tengku Khadijah, Tengku Andak dan Tengku Zubaidah. Saudara baginda setakat yang diketahui adalah Tengku Abdul Rahim dan Tengku Abas. Saudara perempuannya adalah Tengku Chik Bukit.

Semasa baginda hendak dilantik menjadi Yamtuan Muda Terengganu, Tengku Ali pemerintah Besut enggan hadir walaupun dijemput khas oleh ayahandanya Sultan Umar. Ini menyebabkan Sultan Umar menyerang Besut dan Tengku Ali melarikan diri ke Kelantan dan meninggal dunia di sana.


PERKAHWINAN

Baginda Sultan Umar membawa rombongan 40 buah perahu ke Daik untuk meminang puteri Sultan Muhamad Daik, Tengku Kalsom. Selepas itu, rombongan Daik yang membawa puteri Sultan Muhammad Daik pula datang ke Terengganu diiringi pembesar dan kelengkapan perkahwinan DiRaja.

Temasya perkahwinan berlangsung selama 3 bulan dengan mas kahwin baginda Sultan Ahmad II adalah sekati emas. Belanja kahwin pula adalah sebanyak $1,000.00 serta diadakan panca persada tujuh tingkat. Menurut sejarah, inilah panca persada yang pertama di Terengganu.


KERAJAAN

Menteri Besar Terengganu pada masa baginda menaiki takhta adalah Syed Muhammad Zainal Abidin atau Syed Muhammad Zain Al-Idrus dengan gelaran Engku Syed Seri Perdana. Setelah beliau meninggal dunia pada tahun 1878, jawatan menteri besar disandang oleh anaknya Engku Syed Abdullah dengan gelaran Engku Besar Paduka Raja.

Baginda juga mengurniakan gelaran Dato’ Sangsura Pahlawan kepada Wan Muhammad Saleh Bin Haji Wan Abdul Kadir Bukit baas pada 28 Safar 1295 bersamaan 3 Mac 1878. Semasa zaman pemerintahan baginda Syed Muhammad Bin Zainal Abidin (Tok Ku Tuan Besar) yang bergelar Syeikhul Ulama dan Tuan Besar Paduka Indera telah meninggal dunia pada malam isnin 17 Muharram 1295 bersamaan 22 Januari 1878 dalam usia 83 tahun. Selain bergelar ulama, beliau digelar Bapa Kesusasteraan Terengganu kerana mengarang beberapa nazam dan buku agama.


KEMANGKATAN

Baginda memerintah selama lima tahun tujuh bulan dua puluh hari dan mangkat pada Ahad 27 Muharram 1299 bersamaan 18 Disember 1881, bergelar Marhum Baharu. Makam baginda di Masjid Abidin.

 


Rujukan:

  1. Sejarah Darul Iman (MISBAHA)