Peristiwa Terengganu mengetuai orang Melayu Riau berlaku antara 1735M sehingga 1746M semasa zaman pemerintahan Sultan Mansur I. Baginda terlibat secara terus di dalam Pergolakan Riau dan berusaha sedaya-upaya untuk mengurangkan kuasa orang Bugis di dalam pentadbiran kerajaan Johor-Riau-Lingga di bawah pemerintahan Sultan Sulaiman. Setelah Daeng Chelak meninggal dunia pada tahun 1745M, baginda menjadi ketua orang Melayu Riau dan berusaha untuk mengurangkan kuasa Bugis. Bendahara Pahang dan Temenggung Johor ketika itu menyokong baginda, namun usaha berkenaan gagal memandangkan kuasa Bugis di dalam pentadbiran masih kuat dan menerima bantuan dari bapa mertua baginda.
PERISTIWA SEMASA MENGETUAI ORANG MELAYU RIAU
Setelah Daeng Chelak meninggal dunia, Daeng Kemboja dilantik menjadi Yang DIpertuan Muda Ke-III, perlantikan itu berlaku di Selangor memandangkan Daeng Kemboja berada di sana, kemudiannya Daeng Kemboja datang ke Riau untuk disahkan perlantikan setelah tiga tahun kemudian.
Raja Buang (Sultan Mahmud Marhum Mempawa putera Raja Kechik Siak) diusir oleh adik saudara sepupu baginda bernama Raja Alam kira-kira pada tahun 1748M. Baginda datang ke Riau memohon pertolongan Sultan Sulaiman dan sultan bersetuju memberi pertolongan serta diserahkan kepada Daeng Kemboja, namun beliau enggan membantu. Peluang ini digunakan oleh Sultan Mansur I dan baginda terlibat terus dalam peristiwa Serangan terhadap Raja Alam.