Memukul Canang

Adat memukul canang dilakukan sehingga zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin III dan sebelum campurtangan British. Ia merupakan acara memasyhurkan sesuatu perkara besar kepada rakyat negeri, dengan cara memukul canang.

Canang adalah sebuah gong yang dikandar oleh dua orang pembawanya. Ia dibawa berjalan di mana-mana tempat awam dan tumpuan orang ramai, melalui lorong-lorong ke seluruh kampung-kampung dan pekan-pekan kecil diiringi oleh Tuk Pertanda dan jurukaka yang memikul sebatang tombak yang berjambul.

Maklumat dan pengisytiharan yang dicanang, ataupun perarakan orang salah yang diiringi acara ini, akan diketahui oleh penduduk dan membantu penyebaran perkhabaran itu ke seluruh negeri.

Antara seruan yang pernah direkodkan oleh Dato’ Setia Jasa – Dato’ Haji Muhammad Saleh Bin Haji Awang (MISBAHA) adalah:

Oh, encik-encik, tuan-tuan, orang baik, hamba orang. Adalah titah ke bawah Duli dari dalam (dari dalam istana) menyuruh sekalian laki-laki yang akil baligh supaya bersembahyang jumaat semua. Barang siapa yang didapati tidak sembahyang Jumaat pada waktu sembahyang maka akan menjadi salah kepada Ke Bawah Duli dan akan dihukum dengan di denda atau penjara (kemudiannya diiringi dengan paluan canang).

Khabar dan maklumat yang disampaikan akan disebarkan oleh orang awam sekembalinya ke kampung dan ke rumah masing-masing. Setelah campurtangan British, acara dan adat ini tidak lagi dijalankan oleh istana.


Rujukan:

  1. Sejarah Darul Iman, MISBAHA