Sultan Ahmad Shah I (Marhum Parit)

Sultan Ahmad Shah I merupakan sultan Terengganu yang keempat, memerintah dari tahun 1808M – 1830M. Baginda merupakan putera Sultan Zainal Abidin II. Terdapat perselisihan pendapat mengenai tarikh perlantikan baginda. Ada yang mengatakan pada 1808M (1223H), ada pula berpendapat pada tahun 1812M (1227H).


KISAH HIDUP

Sebelum pertabalan baginda, semasa menjadi Raja Muda, baginda pernah merajuk dengan Sultan Zainal Abidin II dengan menyusup masuk ke kapal Sultan Muhammad Keratun yang berlayar ke Terengganu. Ketika berlayar, terdapat seorang Jawa yang demam terketar-ketar lalu ditertawakan oleh penghuni kapal berkenaan, kerana merasa malu, beliau telah mengamuk dan semua orang di atas kapal melarikan diri. Baginda (Tengku Ahmad ketika itu) mendengar bunyi orang bergaduh semasa baginda sedang menghisap candu, terus mencapai keris dan naik ke atas dek kapal. Jawa berkenaan cuba menikam baginda, tetapi dielak dan baginda menikam di belakang dadanya lalu mati.

Baginda kembali ke bawah kapal dan penghuni kapal merebut anggota badan Jawa itu dan dipersembahkan kepada Raja Daik dengan dakwaan bahawa merekalah yang membunuh Jawa berkenaan. Raja Daik kurang percaya dengan dakwaan itu, dan menyuruh pengikut baginda menyiasat. Pengikut Raja Daik membawa berita bahawa mereka menemui seorang lelaki yang tidak dikenali sedang menghisap candu. Raja Daik bertitah supaya dibawa keris lelaki berkenaan. Apabila dicabut keris itu, terlihatlah kesan darah dan Raja Daik pun mengetahui bahawa Tengku Ahmad yang membunuh Jawa berkenaan.

Baginda Raja Daik meminta Serang bertanya nama lelaki berkenaan dan dari mana. Tengku Ahmad pun menjawab “Ini anak Raja Terengganu hendak mengiring raja ke Daik”. Apabila Serang menyampaikan berita berkenaan, Raja Daik pun mengetahui keadaan sebenar dan disuruh menyediakan tempat peraduan seperti yang sepatutnya kepada anak raja.

Tidak lama kemudian, Tengku Ahmad berkahwin dengan Raja Bulang (dikenali di Terengganu dengan nama Tengku Puteri) dan baginda menghadiahkan Kemaman sebagai mas kahwin kepada Raja Bulang. Tengku Ahmad kembali ke Terengganu bersama isteri baginda dan anak saudara isterinya iaitu Tengku Wook dan Tengku Ngah. Mereka berdua kemudiannya diarah mencari bijih di Kemaman oleh Tengku Puteri.

Setelah baginda menjadi sultan, baginda menghadapi pemberontakan daripada Lebai Saris (Lebai Saras) yang melarikan diri dari Patani dan akhirnya menumpang di Kemaman. Setelah menetap di Kemaman, beliau memberontak dan akhirnya dipatahkan oleh Sultan Ahmad I.

Baginda mempunyai tiga isteri. Isteri yang pertama melahirkan Tengku Daud (Sultan Daud). Dengan isteri yang kedua, baginda memperolehi Tengku Kalsom (Tengku Besar Perempuan) menjadi isteri Tengku Besar Muhammad Lingga, Tengku Mahmud dan Tengku Cik (Perempuan). Isteri yang ketiga adalah anak penguasa menora Patani dari keturunan Cina yang datang membuat persembahan di Terengganu yang memeluk islam dengan nama Cik Hajar yang bergelar Cik Puan Besar.


KEMANGKATAN

Baginda mangkat pada 13 Muharram 1246H (4 Julai 1830M) dan digelar dengan gelaran Marhum Parit kerana pernah menggali parit di sekeliling kota raja dan Paya Bunga bagi menghalang serangan musuh. Menteri baginda yang diketahui setakat ini adalah Dato’ Seri Nara Wangsa (Encik Musa). Pemerintahan Terengganu digantikan pula dengan saudara baginda seibu sebapa iaitu Tengku Abdul Rahman.


PENGARUH TERENGGANU DI ZAMAN BAGINDA

Semasa baginda memerintah, Kapten Burney pernah berunding dengan Bangkok termasuklah mengenai status negeri Terengganu dan Kelantan serta hubungannya dengan Siam. Kapten Burney tidak bersetuju dengan pandangan Siam bahawa Terengganu merupakan negeri naungannya. Beliau berpendapat Bunga Emas merupakan hubungan persahabatan sahaja antara Siam dan Terengganu.

Kapten Burney juga memaklumkan baginda mengenai perhubungan Siam dan British serta pandangan British ketika itu terhadap Terengganu

 


Rujukan:

  1. Sejarah Darul Iman, MISBAHA