Sekitar 1831-1839, berlaku perebutan kuasa yang menjurus kepada satu perperangan saudara di antara tiga pihak yang ingin menguasai pentadbiran Terengganu Darul Iman. Peristiwa ini dikenali sebagai Perang Saudara Terengganu.
RENTETAN PERISTIWA
Peristiwa tersebut berlaku di antara Baginda Umar dengan Sultan Mansur Syah II dan Sultan Muhammad I. Perbalahan ini membawa kepada rundingan yang akhirnya telah membawa keputusan keluarga diraja istana bahawa Tengku Mansur dilantik menjadi Sultan Terengganu manakala Tengku Umar dilantik sebagai Yang Di Pertuan Besar.
Namun, peristiwa berkenaan tidak selesai, sikap kepahlawanan dan ditambah dengan pertelingkahan sedia ada telah membawa Terengganu ke perang saudara melibatkan pihak Tengku Umar dan Tengku Mansur.
Tengku Umar menggunakan Bukit Puteri sebagai kubu untuk menghalang serangan Tengku Mansur yang berkubu di Balik Bukit. Namun, akhirnya Tengku Umar mengalah dan meninggalkan Bukit Puteri. Kemudiannya Tengku Umar melarikan diri ke Besut, seterusnya ke Daik (Kecamatan Lingga, Kabupaten Lingga, Provinsi Kepulauan Riau, Indonesia).
Tengku Mansur terus berkuasa semula di tanah jajahan Terengganu dan memerintah takhta Negeri Terengganu dengan gelaran Sultan Mansur Shah II. Setelah kemangkatan Sultan Mansur Shah II, Sultan Muhammad I dilantik menjadi sultan menggantikan baginda.
Dalam masa yang sama, Tengku Umar kembali dari Daik dan menyerang Terengganu untuk merampas takhta kerajaan. Berlaku pertempuran besar di Bukit Puteri yang menjadi tempat persemayaman SUltan Muhammad I.
Akhirnya Sultan Muhammad I menyerah kalah dan berundur ke Dungun, Tengku Umar pula yang menguasai Bukit Puteri. Sultan Muhammad I tidak berputus asa dan meminta pertolongan dari Tengku Hitam dari Dungun. Akhirnya baginda bekerjasama dan cuba untuk menyerang Tengku Umar yang berkubu di Bukit Puteri. Malangnya cubaan berkenaan gagal.