Lagenda Batu Penyu

Lagenda Batu Penyu merupakan penceritaan yang berkait dengan Batu Penyu yang terletak di Bukit Che Hawa, Rantau Abang, Dungun.

LAGENDA BATU PENYU

Batu Penyu

Batu Penyu sebelum kerja-kerja pemuliharaan dan pengindahan dilakukan.

Menurut lagenda tempatan, terdapat sepasang penyu jantan dan betina yang menyusuri pesisir perairan Terengganu, setelah bertanya kepada ikan buntal, ikan berkenaan memaklumkan bahawa mereka telah tiba di pesisir Pantai Rantau Abang dan terdapat taman yang indah di puncak bukit di daratan pantai berkenaan. Ikan buntal menyatakan bahawa mereka beruntung dapat naik ke darat untuk melihat sendiri keindahan taman berkenaan.

Kerana teruja, mereka naik ke pantai dan ditegur oleh ketam. Setelah memaklumkan bahawa mereka ingin ke taman berkenaan, ketam berkenaan memberi amaran supaya jangan meminum air di taman berkenaan kerana bimbang akan sumpahan yang wujud di sana.

Penyu betina bimbang dengan keselamatan mereka dan ingin membatalkan perjalanan berkenaan, tetapi penyu jantan tetap teruja untuk melihat taman berkenaan. Ditambah pula, penyu jantan tidak mempercayai tentang sumpahan berkenaan. Mereka berpisah dan penyu betina menunggu kepulangan penyu jantan di tepi pantai.

Setelah berjalan menaiki bukit berkenaan, penyu jantan tiba akhirnya di taman berkenaan. Setelah bersiar-siar, penyu jantan merasa dahaga dan mengabaikan amaran ketam untuk meminum air di taman itu. Setelah selesai minum, langit mulai gelap, hujan turun dan kilat sambar menyambar. Penyu jantan merasa pening dan anggota tubuhnya mulai kaku dan tidak dapat bergerak sehinggalah semua anggotanya menjadi batu.

Berita itu disampaikan oleh burung camar kepada penyu betina yang melihat wujudnya batu berbentuk penyu di tepi kolam taman berkenaan. Dengan perasaan sedih dan kecewa, penyu betina beredar dari Pantai Rantau Abang. Sejak itu, keturunan penyu mulai mendarat ke Pantai Rantau Abang untuk bertelur dan mengingati kisah leluhurnya yang disumpah menjadi batu. Ketika bertelur, penyu akan menangis kerana mengenangkan nasib leluhur mereka.


Rujukan:

  1. Muzium Negeri Terengganu
  2. Facebook: Rakan Sejarah Dungun: Lagenda Batu Penyu, 17 Mac 2015