Memorial Batu Bersurat

Memorial Batu Bersurat merupakan satu binaan tugu bagi memperingati tempat terjumpanya Batu Bersurat Piagam Terengganu pada tahun 1887 oleh penduduk Kampung Buluh, Kuala Berang.

Memorial ini terletak di atas sekeping tanah seluas 7 ekar di kawasan yang dikenali sebagai Tanah Batu, 45km daripada Bandaraya Kuala Terengganu.

PERANCANGAN

Memorial Batu Bersurat Terengganu sebelum penambahan struktur bumbung.

Perancangan awal memorial merangkumi pembinaan struktur memorial bersama-sama masjid dan perpustakaan. Tetapi, cadangan berkenaan telah ditolak oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu.

Pembangunan memorial ini bermula apabila Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) telah mengambil balik dan meratakan kawasan Tanah Batu. Berikutan perkembangan itu, Lembaga Muzium Negeri Terengganu dalam mesyuaratnya pada 4 Februari 1989 telah bersetuju untuk menerima satu cadangan pembangunan sebuat memorial berkaitan dengan Batu Bersurat Piagam Terengganu.

Cadangan ini kemudiannya telah dibawa ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu kali ke-10/1989 pada 24 April 1989 oleh Setiausaha Kerajaan Terengganu yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Terengganu iaitu Dato’ Setia Wangsa.

Dua konsep telah diketengahkan pada ketika itu iaitu ‘Homogenous Tile dan Seni Taman’ dengan kos RM55,000.00 dan ‘Granite dan Seni Taman’ dengan kos RM296,800.00. Majlis bersetuju dengan cadangan kedua dengan peruntukannya diambil daripada Jabatan Kerja Raya Negeri Terengganu.

PEMBINAAN

Memorial Batu Bersurat mula dibina pada September 1989 dan telah siap pada 20 Mei 1991. Manakala pengindahan seni taman pula telah siap pada akhir 1991.

STRUKTUR

Memorial Batu Bersurat kini.

Memorial ini dibina dengan bentuk segi empat sama dengan ukuran 11,400cm x 11,400com. Setiap segi mempunyai sembilan anak tangga yang berukuran 150cm tinggi pada setiap anak tangga berkenaan. Anak tangga ini diperbuat daripada ‘Homogenous Tile’ dan terdapat peruntukan tiga ruangan untuk digunakan sebagai pameran sejarah Batu Bersurat yang mana setiap satunya berukuran 3,200cm x 450cm dan juga satu ruang untuk diletakkan plak perasmian.

Tulisan yang dipaparkan diukir di atas batu granit dan bahagian atas ruangan dibina kisi-kisi daripada konkrit. Bahagian datar tapak asas memorial ini juga terdapat tapak untuk memaparkan tulisan terjemahan Batu Bersurat berukuran 1,200cm tinggi dan mempunyai empat muka. Ruangan ini juga diukir pada batu granit berwarna hitam.

Di atas puncak tapak kedua juga diletakkan replika Batu Bersurat.

TUJUAN

Memorial Batu Bersurat ini dibina dengan tujuan untuk mengingatkan masyarakat tentang kedatangan islam dan memberi peluang kepada masyarakat mengenal dengan lebih dekat kawasan Batu Bersurat ditemui. Ini dilakukan untuk menimbulkan minat kepada ahli masyarakat tentang sejarah Batu Bersurat untuk meneruskan pendidikan dan penyelidikan sejarah di Terengganu.


Rujukan:

Lembaga Muzium Negeri Terengganu


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/gombgnet/public_html/ganupedia.com/wp-includes/functions.php on line 5109