Hulu Terengganu (Daerah)

Peta daerah Hulu Terengganu dengan pecahan mukim

Hulu Terengganu merupakan salah sebuah daerah di Terengganu. Daerah ini diuruskan oleh Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT).

LAMBANG DAERAH

Bendera Hulu Terengganu menggunakan warna jingga yang melambangkan pembangunan tanah dan prasarana teknologi maklumat.

Bendera daerah Hulu Terengganu

SEJARAH

Bandar Lama Kuala Berang

Hulu Terengganu mempunyai sejarah yang panjang dan menarik. Daerah ini muncul di dalam penulisan ‘Ling Wai- Tai Ta’ karangan Cau-Cu-Fei pada tahun 1178 dengan nama ‘Fo-Lo-An’. Wilayah ini digambarkan sebagai pusat perdagangan dengan dinaungi oleh kerajaan Sriwijaya.

Pada tahun 1303 Masihi bersamaan 702 Hijrah iaitu tarikh penulisan Batu Bersurat Terengganu merupakan satu era ketibaan Islam di Tanah Melayu. Kandungan prasasti berkenaan jelas menyatakan tentang hukum-hukum jenayah Islam dan satu pengisytiharan bertapaknya Islam di Tanah Melayu. Prasasti berkenaan merupakan prasasti bertulisan Jawi pertama di Alam Melayu.

Batu berkenaan telah dipercayai ditulis oleh Syeikh Muhammad Al-Baghdadi (Tok Keramat Batu Belah / Tok Ayah) dan beliau telah dimakamkan di puncak Bukit Belimbing, Seberang Jenagur. Terdapat juga beberapa tokoh yang menyambung jejak langkah beliau iaitu Tok Raja Ri yang dimakamkan di Kampung Kuala Por, Tok Bukit Paloh yang dimakamkan di Kampung Dusun, Tok Pauh (Syeikh Abdullah) yang dimakamkan di Kampung Temir serta beberapa pahlawan dan bangsawan seperti Tok Gajah (Imam Rasu bin Shahrum) yang dimakamkan di Kampung Pasir Nering dan Tun Indera di Kampung Kuala Menjing.

Hulu Terengganu diperintah oleh keturunan Syeikh Muhammad Al-Baghdadi sehingga kepada Syeikh Abdul Malek bin Abdullah (Tok Pulau Manis). Menurut cerita lisan, puteri beliau dikahwinkan dengan Tun Zainal Abidin dan menjadi titik tanda pengasasan Kesultanan Melayu Terengganu kini. Baginda bersemayam di Kota Batang Mahang di Hulu Terengganu sebelum berpindah ke Langgar, Pulau Manis, Cabang Tiga dan Bukit Keledang di Kuala Terengganu.

Hulu Terengganu kemudiannya diserahkan pentadbirannya kepada Tok Ku Paloh (Syed Abdul Rahmad bin Syed Muhammad Al-Idrus) oleh Sultan Zainal Abidin III yang menyatakan bahawa kawasan daripada Paloh sehingga ke hulu Sungai Terengganu adalah dibawah bidang kuasa Tok Ku Paloh.

Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud pada tahun 1989

Setelah British berjaya menguasai Terengganu, penduduk Hulu Terengganu yang dipimpin oleh ketua masyarakat tempatan dan dibantu oleh Haji Abdul Rahman Limbong (Tok Limbong) telah melancarkan pemberontakan menentang sistem percukaian British. Pemberontakan ini digelar sebagai Pemberontakan Tani dengan kemuncaknya adalah Perang Padang Kacung yang berlaku pada tahun 1928 di Padang Kacung, Kuala Telemong. 12 pemimpin tempatan telah gugur syahid dan Tok Limbong dibuang negeri ke Mekah.

Setelah merdeka, pelbagai pembangunan telah dirancang di Hulu Terengganu. Pembinaan Tasik Kenyir telah dirancang pada tahun 1972 dengan pembinaan bermula pada 1978. Empangan berkenaan telah siap pada tahun 1985 dan dirasmikan pada tahun 1987. Tasik ini mampu menyimpan 13.6 billon meter padu air dan menjana 100 MW tenaga elektrik. Empangan berkenaan dinamakan sebagai Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud.

Pada tahun 2010, rangka manusia prasejarah telah ditemui di Gua Bewah, Tasik Kenyir dan dianggarkan berusia 13, 400 tahun.

Hulu Terengganu menempatkan 1 Parlimen (Parlimen Hulu Terengganu) dan 3 Dewan Undangan Negeri – DUN (DUN Ajil, DUN Kuala Berang dan DUN Sekayu).

MUKIM

Terdapat sembilan mukim di Hulu Terengganu iaitu:

  1. Kuala Berang
  2. Hulu Berang
  3. Penghulu Diman
  4. Tanggul
  5. Kuala Telemong
  6. Hulu Telemong
  7. Tersat
  8. Jenagur
  9. Hulu Terengganu

Rujukan:

  1. Muzium Negeri Terengganu
  2. Laman Rasmi Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Terengganu
  3. Lawatan Ganutalgia: Temuramah penduduk.
  4. Institut Penyelidikan Kenyir, Universiti Malaysia Terengganu (UMT)