Sultan Daud merupakan sultan Terengganu yang keenam, memerintah pada tahun 1831M. Baginda menggantikan ayahanda baginda, Sultan Ahmad Shah I. Baginda ditabalkan pada 1 Januari 1831M (17 Rejab 1246M).
PERTABALAN
Setelah Sultan Abdul Rahman mangkat, pembesar-pembesar negeri berbincang untuk melantik pengganti baginda. Ada pihak yang suka kepada Tengku Daud, putera Sultan Ahmad Shah I. Ada juga yang suka kepada Tengku Mansor (saudara Sultan Abdul Rahman). Keadaan ini berlanjutan sehinggalah pengurusan jenazah Sultan Abdul Rahman tergendala. Maka Tengku Puteri (Raja Bulang), isteri Sultan Ahmad Shah I menjemput Dato’ Nara Wangsa (Encik Musa) menghadap dan bertitah kepadanya: “Apakah ikhtiar? Hendak dimakamkan Al-Marhum masih belum boleh dilangsungkan?”.
Dato’ Nara Wangsa menyembah, “Pada hemat patik, kebawah Duli eloklah memanggil adinda Tengku Mansor kemari serta dibuka jenazah Al-Marhum supaya ditengoknya, apabila terpandang jenazah Al-Marhum harus lembut hatinya”.
Kemudian Tengku Puteri bertitah supaya dipersilakan Tengku Mansor datang serta dibukakan jenazah Al-Marhum lalu bertitah, “Adik Mansor! Abang rajakan Tengku Daud kemudian adik Mansorlah yang memerintah negeri Terengganu ini dan Tengku Umar jadi Raja Muda”. Lalu Tengku Mansor menjawab, “Ku!”.
Tengku Mansor pun kembali ke rumah dan melihat adakah Tengku Daud dan Tengku Umar menjunjung duli. Tengku Umar, setelah menjunjung duli pun kembali ke rumahnya di Balik Bukit, Kuala Terengganu. Namun, Tengku Daud tidak diketahui sama ada menjunjung duli atau tidak. Selepas itu, jenazah Al-Marhum Sultan Abdul Rahman selamat dimakamkan berhampiran Sultan Ahmad Shah I.
Esok harinya, Sultan Daud serta seorang pengiring berangkat ke rumah Tengku Mansur. Ketika itu Tengku Mansur sedang bersantap lalu dipelawa kepada Sultan Daud untuk bersantap sekali. Kemudian, Sultan Daud kembali ke istana.
KEMANGKATAN
Sultan Daud memerintah selama sebulan sahaja dan mangkat pada 16 Syaaban 1246 (31 Januari 1831). Baginda dikenali sebagai Marhum Kampung Daik dan dimakamkan di Makam Diraja Syeikh Ibrahim
PUTERA PUTERI
- Sultan Muhammad I
- Tengku Ngah
- Tengku Musa
- Tengku Maimunah
- Tengku Mariam