Kampung Nesan Empat

Kampung Nesan Empat terletak di bandaraya Kuala Terengganu bersebelahan dengan Kampung Kolam, Kampung Ladang Titian dan Kampung Tanjung Surau Besar. Kampung ini menempatkan sebuah perkuburan dengan dua pasang batu nisan lama yang menjadi asal usul nama nama kampung berkenaan.

Kawasan ini kini ditandai dengan binaan pagar batu yang mengelilingi kubur yang menempatkan dua pasang nesan berkenaan. Terdapat maklumat dipamerkan di pagar kubur berkenaan sebagai maklumat kepada orang awam yang melalui kawasan berkenaan.


SEJARAH

Semasa zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin I (1708 – 1733), baginda mempunyai seorang putera bernama Ku Embong (Tengku Embong). Ku Embong menuntut ilmu persilatan dengan seorang guru bernama Lebai Derasah. Pada suatu hari, berlaku pergaduhan di antara Lebai Derasah dengan isteri beliau sehingga menyebabkan isterinya melarikan diri ke rumah Ku Embong.

Apabila Lebai Derasah mengetahui dan melihat perbuatan isterinya, beliau merasa marah dan kecewa dengan perbuatan Ku Embong itu. Akhirnya, pada suatu malam, ketika Ku Embong turun ke rumah untuk mandi, Lebai Derasah telah menyerang Ku Embong dan menikamnya sehingga mati.

Perbuatan ini diketahui penduduk, dan keesokan harinya, Lebai Derasah dan isterinya ditangkap oleh penduduk. Mereka berdua dibawa menghadap Sultan, dan dijatuhi hukuman diheret songsang di sekeliling bandar sehingga mati. Kedua-dua mereka dikebumikan di tempat yang tidak jauh daripada Pantai Teluk. Kedua-dua kubur mereka merupakan punca kepada penamaan kawasan berkenaan sebagai Nesan Empat.


GAMBAR

 

 

 

 


Rujukan:

  1. Lawatan Tapak Ganutalgia
  2. Sejarah Darul Iman (MISBAHA)