Kampung Paloh

Kampung Paloh merupakan satu kampung yang terletak di tebing Sungai Terengganu. Kampung ini terletak kira-kira 10 km daripada Pusat Bandaraya Kuala Terengganu dan merupakan kampung yang penting dalam pensejarahan Terengganu kerana ia merupakan kampung halaman Tok Ku Paloh atau Syed Abdul Rahman Bin Syed Muhammad Al-Idrus.


ASAL USUL

Terdapat satu pecahan sungai kecil dari Sungai Terengganu yang bermula daripada Kuala Bekah, merentasi Paloh Sungai Kiat dan seterusnya berakhir barat daya Bukit Losong. Sungai kecil ini digelar sebagai paluh oleh masyarakat Terengganu kerana ia lebih besar daripada alur dan parit tetapi tidak sebesar anak sungai. Paluh ini juga agak dalam kerana ia menjadi tempat penduduk tempatan membasuh perahu besar dan menjalankan kegiatan sungai. Hujung paluh ini terlindung daripada alur besar Sungai Terengganu oleh pulau kecil yang digelar sebagai Pulau Paloh.


PUSAT PENTADBIRAN HULU LEMBANGAN SUNGAI TERENGGANU

Semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III, baginda menganugerahkan kawasan lembangan sungai Terengganu daripada pertemuan Sungai Nerus dan Sungai Terengganu (Kuala Nerus) sehingga ke Hulu Kerbat dan Sempadan Kelantan kepada Tok Ku Paloh (Syed Abdul Rahman Bin Syed Muhammad Al-Idrus) untuk menjadi pentadbir wilayah berkenaan. Tok Ku Paloh yang menguruskan kawasan ini seterusnya memajukan kawasan serta menjamin keselamatan dengan menubuhkan pasukan Budak Raja yang berfungsi sebagai polis untuk meronda dan mencegah jenayah, serta menjadikan rumah dan masjid beliau sebagai tempat perbicaraan.

Ada juga pendapat mengatakan Lembangan Sungai Nerus sehingga ke Chabang Tiga juga turut diletakkan di bawah pengawasan Tok Ku Paloh. Manakala, di Kampung Paloh juga dibina balai untuk menerima dan berbincang mengenai masalah masyarakat dan menerima aduan di sebelah rumah Tok Ku Paloh. Rumah wap juga pernah dibina di Kampung Paloh.

Kampung Paloh menjadi pusat pentadbiran bagi wilayah Lembangan Sungai Terengganu dan Hulu Terengganu sehinggalah Tok Ku Paloh meninggal dunia.


GAMBAR

 

 

 

 


Rujukan:

1. Tujuh Wali Melayu, Abdul Ghani Said.
2. Sungai Paloh Banyak Simpan Sejarahnya, Azhar Su. Berita Darul Iman Julai – Ogos 1993