Bandaraya Kuala Terengganu

Sempadan pengaruh perbandaran Kuala Terengganu

Pemandangan Bandaraya Kuala Terengganu dari laut. (Sumber: kumat di Skyscrapercity – Kuala Terengganu)

Bandaraya Kuala Terengganu merupakan ibu negeri dan bandar diraja bagi negeri Terengganu Darul Iman. Bandar ini menempatkan kompleks kerajaan dan pentadbiran bagi negeri Terengganu. Asas kepada pembangunan bandar ini menganjur dari bahagian bandar lama Kuala Terengganu, daripada Kedai Binjai (Hotel Seri Malaysia kini) sehingga ke Ladang Sihat (di Bulatan Ladang). Namun, bahagian yang tinggal hanyalah Kampung Cina, serta kawasan segitiga warisan iaitu Istana Maziah, Masjid Abidin (Masjid Negeri) dan Pasar Besar Kedai Payang.

Bandaraya Kuala Terengganu merangkumi dua daerah iaitu Daerah Kuala Terengganu di bahagian selatan dan Daerah Kuala Nerus di bahagian utara. Kuala Terengganu merupakan bandar ke-20 terbesar di Malaysia.

Pinggir utara pengaruh bandar ini adalah di Batu Rakit manakala pinggir selatan bandar ini adalah di Cendering dan Padang Midin.

 

ETIMOLOGI

Kuala Terengganu merujuk kepada pertemuan antara Sungai Terengganu dengan Laut China Selatan. Nama Kuala Terengganu digunakan untuk merujuk kepada kawasan Bandaraya Kuala Terengganu dan sekitarnya serta daerahnya yang merangkumi kawasan selatan perbandarannya.

 

PENDUDUK, ISIRUMAH DAN PECAHAN ETNIK

Menurut Data Asas Negeri Terengganu pada tahun 2012, penduduk di Bandaraya Kuala Terengganu (Daerah Kuala Terengganu dan Daerah Kuala Nerus) terdiri daripada:

Lelaki: 173, 734 orang.
Perempuan: 174, 539 orang.
Isi rumah: 72, 406.
Kediaman: 82, 714 buah.

Daripada jumlah berkenaan, mengikut pecahan etnik:

Melayu: 328, 935 orang.
Bumiputera Lain: 661 orang.
Cina: 12, 015 orang.
India: 885 orang.
Lain-lain: 295 orang.

Jumlah kepadatan penduduk pada tahun 2012 ialah 574 orang bagi setiap kilometer persegi.

 

PENGURUSAN PEMBANDARAN

Jalan Kedai Hilir, berhadapan Pasar Besar Kedai Payang pada tahun 1920.

Kuala Terengganu wujud sebagai pusat pentadbiran dan perdagangan setelah Kesultanan Melayu Terengganu tertubuh dengan Sultan Zainal Abidin I ditabalkan. Setelah bersemayam di Kota Batang Mahang, Kuala Berang, baginda berpindah ke Kampung Langgar, seterusnya ke Kota Pulau Manis sebelum ke Chabang Tiga. Akhirnya baginda bersemayam di kawasan Kota Lama di Bukit Keledang dan menjadikan Kuala Terengganu sebagai pusat pentadbiran baginda. Pengikut baginda daripada Pattani, Thailand menetap di Kampung Petani dan berkembang, menjadikan Kuala Terengganu sebagai satu bandar yang penting dalam perdagangan Nusantara.

Pada pemerintahan Baginda Omar, baginda membina jalanraya daripada Istana Maziah ke Kuala Ibai (6 km daripada pusat bandar). Pembandaran Kuala Terengganu telah berkembang dan sehingga zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin III, terdapat meriam disusun daripada Tanjung Surau Pasir sehingga ke Kuala Ibai, dalam usaha memperkukuhkan pertahanan dan penduduk. Sehingga tahun 1900, Kuala Terengganu didakwa sebagai bandar terbesar di Pantai Timur dengan perdagangan tekstil dan tembaga sebagai aset utama.

Sehingga tahun 1970-an, Pejabat Jemaah Bandaran di Rumah Tiang Kembar, Jalan Tok Lam menjadi badan pengurusan perbandaran. Kemudiannya peranan berkenaan digantikan dengan penubuhan Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT). Pada 1 Januari 2008, Kuala Terengganu telah diisytiharkan sebagai bandaraya dengan gelaran Bandaraya Warisan Pesisir Air. Pengisytiharan itu dilakukan di Istana Maziah oleh DYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Sebelum 1986, Bukit Payong dan Alor Limbat merupakan sebahagian daripada daerah Kuala Terengganu. Kemudiannya kawasan ini diserahkan kepada pentadbiran daerah Marang. Pada 18 September 2014, Kuala Nerus diisytiharkan sebagai daerah baharu di Terengganu. Walau bagaimanapun, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) masih menjadi pihak berkuasa tempatan bagi kedua-dua daerah.

 

PERANCANGAN BANDAR

Secara amnya, pembangunan bandar di Kuala Terengganu adalah organik dengan perkembangan pusat setempat yang bercantum dan membentuk kawasan tepubina bandar yang bersambungan. Namun disebalik pembangunan organik, terdapat juga pembangunan terancang berskala besar yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan.

Pembangunan terancang berskala besar yang telah dilaksanakan oleh pihak berkuasa adalah:

  1. Bandar Baru Pulau Kambing.
  2. Kawasan Perindustrian Gong Badak.
  3. Kawasan Perindustrian Cendering.
  4. Kompleks Kerajaan Bukit Besar.

Pembangunan masa hadapan yang dirancang untuk dilaksanakan adalah:

  1. Bandar Al-Wathiqu Billah
  2. Bandar Baru Perkasa Alam.
  3. Bandar Baru Bukit Besar.
  4. Pusat Bandaraya Kuala Terengganu (Muara Utara dan Muara Selatan).

 

MUKABUMI

Bandaraya Kuala Terengganu terdiri daripada dataran pantai rendah yang merangkumi kawasan muara Sungai Terengganu dan bertemu di Laut China Selatan. Struktur tanah di kawasan ini merupakan timbunan pasir pantai yang menganjur selari dengan garisan laut. Telukan kecil dan dataran pantai juga wujud di beberapa tempat.

Bentuk mukabumi Bandaraya Kuala Terengganu adalah landai di timur dan beralun di barat dan menghala ke utara. Terdapat anak tanjung di muara utara Sungai Terengganu namun telah ditebusguna bersama-sama garisan pantai selatan muara Sungai Terengganu untuk pembangunan.

Muara Sungai Terengganu juga memiliki beberapa buah pulau antaranya Pulau Duyong, Pulau Wan Man dan Pulau Sekati yang membentuk muara yang lebar dan teluk yang terlindung daripada arus laut.

TEMPAT MENARIK

Antara tempat menarik di Kuala Terengganu adalah:

  1. Kota Lama Duyong
  2. Perkampungan Keris
  3. Perkampungan Keropok Lekor Losong
  4. Pulau Warisan
  5. Bukit Puteri
  6. Istana Maziah
  7. Masjid Abidin
  8. Pasar Besar Kedai Payang
  9. Kampung Cina
  10. Bulatan Ladang (Bulatan Batu Bersurat)
  11. Pantai Batu Buruk
  12. Teluk Ibai
  13. Pantai Pandak
  14. Bukit Pak Apil (Bukit Panorama)
  15. Taman Tamadun Islam
  16. Kompleks Muzium Negeri Terengganu
  17. Pantai Teluk Ketapang
  18. Dataran Shahbandar
  19. Taman Rekreasi Balik Bukit
  20. Pasar Batu Enam
  21. Pasar Pagi Manir
  22. Masjid Al-Muktafi Billah Shah
  23. Masjid Tengku Tengah Zaharah
  24. Masjid Sultan Ismail
  25. Masjid Kubang Ikan
  26. Gerai Kuih Gong Kapas

 

KEMUDAHAN PENGANGKUTAN

Antara kemudahan yang tersedia di Kuala Terengganu adalah:

  1. Stesen Bas MBKT
  2. Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud
  3. Jeti Pelancongan Kuala Terengganu
  4. Stesen Teksi Kuala Terengganu

 

JARINGAN JALANRAYA

Jambatan Sultan Mahmud, 1998

Kuala Terengganu dihubungkan dengan wilayah lain di dalam Semenanjung Malaysia melalui jaringan jalanraya:

  1. Jalanraya Persekutuan FT 3: Kuantan dan Kota Bharu
  2. Jalanraya Persekutuan FT 14 dan Jalan Negeri T9: Kuala Berang
  3. Jalanraya Persekutuan FT 3685: Kota Bharu (Melalui Jalan Pantai)
  4. Lebuhraya E8 (Lebuhraya Pantai Timur).
  5. Jalanraya Negeri T4 (Jambatan Sultan Mahmud).

Save

Save