Kampung Ladang Tok Pelam

Kampung Ladang Tok Pelam terletak berhampiran dengan Bulatan Ladang, di barat Masjid Al-Muktafi Billah Shah Ladang. Kampung ini dahulunya menempatkan pusat pembuatan tembaga tradisional Melayu Terengganu. Kampung ini telah wujud sekitar 1800. Kampung ini dirobohkan pada tahun 2011 setelah pengambilalihan tanah wakaf dilakukan yang menyaksikan tanah ini bertukar milik kepada Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu. Kini kampung ini menjadi tapak pembinaan Pangsapuri Ladang Tok Pelam setinggi 32 tingkat yang menjadi bangunan tertinggi di Kuala Terengganu sejurus selepas ianya mencapai ketinggian akhir ketika itu. Penduduk asal kampung ini diberikan rumah di Pangsapuri Ladang Gemilang.

Kampung ini mencetus kontroversi disebabkan penentangan oleh penduduk asal yang mahukan kampung berkenaan dikekalkan sebagai warisan Melayu Terengganu.


SEJARAH

Kampung ini mendapat namanya setelah dibuka oleh Tok Pelam iaitu Syeikh Abdullah bin Abdul Aziz dari Hadratulmaut, Yaman. Beliau menjadikan kawasan kampung ini sebagai tempat beliau memencilkan diri dan akhirnya menjadi tempat beliau dimakamkan. Tanah Perkuburan Ladang Tok Pelam menempatkan makam beliau di tengah-tengah perkuburan dengan bangunan yang dikenali sebagai ‘ka’boh’.

Kampung ini pernah terkenal dengan pembuatan nasi dagang yang dianggap paling lazat di Terengganu suatu ketika dahulu. Pembuatan makanan seperti sata dan pulut lepa (pulut panggang) juga dikenali di sini. Pada tahun 1981, Masjid Al-Muktafi Billah Shah dibina di sebahagian tanah wakaf kampung ini. Kampung ini bersempadan dengan Klinik Kesihatan Kuala Terengganu (hospital lama) dan juga dengan Kampung Ladang Sihat.


BUDAYA

Pada hari raya, diadakan adat berziarah. Tabung Tok Pelam dibuka dan diadakan jamuan besar-besaran kepada waris yang hadir ke tanah perkuburan pada hari raya untuk menziarahi dan membersihkan perkuburan. Panji kebesaran Islam, iaitu bendera yang tertulis ayat-ayat suci Al-Quran juga dikibarkan di tiang bendera di tengah tanah perkuburan sebagai tanda keraian kemenangan hari raya. Kini, budaya berkenaan terganggu gugat memandangkan tiada lagi kampung yang wujud untuk mengekalkan budaya berkenaan.


GAMBAR

 

 

 

 


Rujukan:

  1. Lawatan Tapak Ganutalgia
  2. Temuramah penduduk asal: En Ismail bin Awang