4th Ogos 2017

Gerakan Ganutalgia

Latar Belakang

Suasana di Pasar Kedai Tanjung

Ganutalgia adalah satu gerakan kemasyarakatan yang digerakkan pada 8 Syaaban 1433 Hijrah bersamaan 28 Jun 2012 Masihi.  Gerakan ini bermatlamat untuk merekodkan, memelihara dan mencari kembali segala bentuk sejarah, budaya dan tradisi keilmuan yang membentuk pembangunan masyarakat Terengganu sebagai satu nusabangsa dalam Dunia Melayu.

Ganutalgia mendapat namanya daripada dua perkataan yang berlainan iaitu Terengganu dan Nostalgia. Pembinaan nama Ganutalgia diilhamkan daripada keadaan pemikiran dan kebudayaan rakyat bekas negara Yugoslavia iaitu Yugo-nostalgia. Pada awal penubuhannya, Ganutalgia bermatlamat hanya untuk menyingkap kenangan dan cara hidup Nusabangsa Terengganu namun setelah menyedari bahawa cara hidup Terengganu digarap dan dibentuk daripada tradisi keilmuan, maka Ganutalgia mula merekodkan sebanyak mungkin segala tinggalan ilmu dan cara fikir Nusabangsa Terengganu agar bentuk kebudayaan dan rupa diri asal dan asas bagi Terengganu kekal ke akhir zaman. Bagi Ganutalgia, pembentukan cara fikir dan jati diri Terengganu dibentuk oleh Islam dan perlu dikekalkan sebagai bukti bahawa Islam menyemarakkan ketamadunan sesuatu nusabangsa.

Penari Gamelan Istana Terengganu

Ganutalgia digerakkan secara persendirian dengan daya tenaga perseorangan. Terdapat juga usaha-usaha yang dilakukan secara berkumpulan, namun ahli pasukan Ganutalgia kerap bersilih ganti dengan kekangan kehendak lain yang lebih memerlukan. Ganutalgia terbuka kepada sesiapa yang berminat untuk menyertai dan bergerak bersama untuk kebaikan masyarakat secara keseluruhannya.

Ganutalgia pada mulanya bergerak melalui laman sosial Facebook, kini mempunyai blog, tapak halaman sesawang sendiri dan juga saluran YouTube. Ganutalgia juga bertekad untuk terus bergerak ke hadapan untuk memelihara sejarah dan melestarikan tamadun kerana bagi kami, segalanya Terengganu.

 

Lambang

Ganutalgia menggunakan wajah rupa baginda Sultan Terengganu kesebelas iaitu Al-Marhum Sultan Zainal Abidin III Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad II. Baginda juga dikenali dengan gelaran Marhum Haji. Baginda merupakan pemimpin Nusabangsa Terengganu yang berusaha sedaya-upaya untuk mempertahankan aqidah, jati diri dan maruah keseluruhan Bangsa Terengganu.

Antara jasa-jasa utama baginda kepada Terengganu dan seluruh isinya adalah:

  1. Bersepakat dengan ulama’. Baginda melibatkan ulama’ dalam hal-hal kesejahteraan nusa terutamanya dengan Syed Abdul Rahman bin Syed Muhammad Al-Attas atau lebih dikenali sebagai Tok Ku Paloh. Baginda membahasakan diri baginda sebagai ‘anakanda’ dan memanggil Tok Ku Paloh dengan panggilan ‘ayahanda’.
  2. Membuktikan kedaulatan Terengganu sebagai satu Kesultanan Islamiyyah Melayuwiyyah dengan menolak perjanjian British-Siam dan memberikan bukti bahawa Terengganu tidak pernah berada di bawah naungan Siam dan merupakan sebuah negara berdaulat.
  3. Merekodkan adat-istiadat dalam bentuk bertulis dan membentuk perlembagaan asas bagi Terengganu iaitu Itqan Al-Muluk Bitaqdil As-Suluk. Kesejahteraan adat bernegara dan berkerajaan digariskan dalam perlembagaan ini.
  4. Mengekang sebaiknya pengaruh budaya pembaratan dengan menghalang dan memperdaya British. Wakil British yang dilantik tidak banyak pengaruh dan tidak mampu untuk mengubah citra budaya Terengganu.
  5. Mendoakan dan mengarahkan ulama’ mendoakan kesejahteraan Terengganu sehingga akhir zaman setiap kali di bulan Ramadhan. Manakala, ratib dan selawat disemarakkan dan pasukan selawat dibenarkan masuk ke istana dan seluruh pelusuk negeri.

Tindakan baginda telah membentuk dan melindungi nilai Nusabangsa Terengganu yang diasaskan oleh Syeikh Muhammad Al-Baghdadi. Baginda juga meneruskan usaha untuk meningkatkan budaya keilmuan yang diasaskan oleh Baginda Umar.

Sebagai satu tanda penghargaan atas jasa baginda, Ganutalgia menggunakan wajah baginda sebagai tanda bangga dan lambang semangat Nusabangsa Terengganu.