Pasar Besar Tanjung

Pasar Besar Tanjung merupakan satu pasar lama yang dirobohkan pada awal 1970-an. Pasar ini dahulunya merupakan pasar yang terbesar di Kuala Terengganu. Pasar ini dirobohkan dan digantikan dengan Taman Selera Tanjung setelah Pasar Besar Kedai Payang siap dibina. Pasar ini merupakan pasar tradisi, dengan hanya satu bangunan berbumbung. Manakala peniaga lain membuka gerai sendiri dan berniaga dari gigi air Pantai Teluk sehingga ke bangunan pasar.


SEJARAH

Pasar Besar Tanjung merupakan pasar yang disebut dalam perlayaran Munsyi Abdullah ke Kuala Terengganu. Kawasan sekitar Pasar Besar Tanjung dikelilingi oleh deretan kedai, yang digelar Kedai Tanjung. Jalan yang merintangi kawasan berkenaan, daripada Ladang sehingga ke Pasar Kedai Payang dikenali sebagai Jalan Kedai Tanjung. Kini jalan berkenaan dinamakan sebagai Jalan Sultan Zainal Abidin.


FUNGSI DAN KEDUDUKAN

Pasar Besar Tanjung menyediakan perkhidmatan dan kemudahan kepada penduduk Kuala Terengganu keseluruhannya. Pasar ini diapit oleh Kampung Haji Mat Kerinchi (kini ditandai oleh Surau Haji Mat Kerinchi), Kampung Petani dan Kampung Tanjung Jati. Pasar ini menjadi pusat transit perdagangan dari laut dan darat dan merupakan kompleks perdagangan dan perniagaan berpusat tradisional. Kebanyakan peniaga di Pasar Besar Kedai Payang merupakan peniaga di pasar ini. Bangunan Pasar Besar Kedai Payang dibina bagi menampung peniaga pasar ini dan pondok-pondok kecil juga dibuka di hadapan Pasar Besar Kedai Payang pada awal pembukaannya, sama seperti di Pasar Besar Tanjung.

Kini, Pasar Besar Tanjung hanya ditanda oleh Bangunan Kompleks Taman Selera Tanjung milik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.


GAMBAR

 

 

 

 


Sumber:

  1. Temuramah peniaga: Pemilik Kedai No 77, Jalan Sultan Zainal Abidin.