Kuala Nerus (Daerah)

Peta Daerah Kuala Nerus dengan pecahan mukim

Kuala Nerus merupakan salah sebuah daripada lapan daerah di Terengganu. Daerah ini dan daerah Kuala Terengganu ditadbir oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu – Bandaraya Warisan Pesisir Air.

Daerah Kuala Nerus kini ditadbir di pejabat sementara di Dataran Rimba, Jalan Tengku Mohamad, Kuala Nerus. Projek pembangunan bersepadu pusat pentadbiran daerah ini sedang dalam pembinaan yang dikenali sebagai Bandar Al-Wathiqu Billah. Bandar ini akan dibangunkan di kawasan Kampung Baruh Tok Jiring, Kuala Nerus.

LAMBANG DAERAH

Daerah Kuala Nerus menggunakan warna merah jambu sebagai lambang perlambangan pembangunan daerah yang seimbang ditunjangi asas keilmuan untuk melahirkan generasi yang sejahtera.

Bendera Kuala Nerus

SEJARAH

Kuala Nerus merupakan daerah terbaharu di Terengganu dan daerah ini telah diisytiharkan pada 18 September 2014 oleh YAB Dato’ Seri Najib Bin Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia semasa lawatan beliau ke majlis perasmian Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin.

Kuala Nerus sebagai satu wilayah baharu telah lengkap dengan pelbagai kemudahan dan pusat tumpuan masyarakat. Daerah ini menempatkan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Terbuka Malaysia cawangan Terengganu (OUM-Terengganu) serta Institut Teknologi Petronas (InsTeP).

Kuala Nerus menjadi pusat perhubungan Terengganu kerana di daerah ini terletaknya Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan menjadi susur keluar terakhir bagi Lebuhraya Pantai Timur fasa 2 (LPT2) iaitu di Susur Keluar Kuala Terengganu di Kampung Gemuruh.

Keluasan daerah ini adalah 39,752.13 Hektar dan mempunyai lebih kurang 200,000 orang penduduk. Ketika pemecahan daerah dilakukan, sebahagian daripada mukim Belara dipecahkan dan dinamakan semula sebagai mukim Pakoh.

Daerah ini menempatkan 1 Parlimen (Parlimen Kuala Nerus) dan 4 Dewan Undangan Negeri – DUN (DUN Bukit Tunggal, DUN Seberang Takir, DUN Tepoh dan DUN Teluk Pasu) dengan sebahagian Parlimen Setiu dan DUN Batu Rakit berada di kawasan daerah ini.

MUKIM

Terdapat empat mukim di dalam daerah ini iaitu:

  1. Kuala Nerus
  2. Batu Rakit
  3. Pakoh
  4. Pulau Redang

Rujukan:

  1. Muzium Negeri Terengganu
  2. Laman Rasmi Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Nerus

Save