Sultan Zainal Abidin I

Sultan Zainal Abidin I merupakan pengasas dan sultan pertama kepada Kesultanan Melayu Terengganu yang wujud sehingga ke hari ini. Susur galur baginda sampai kepada Bendahara Melaka yang pertama iaitu Tun Perpateh Besar Bendahara Seri Wak Raja (bapa saudara Sultan Muhammad Shah). Baginda merupakan putera Tun Habib Abdul Majid Bendahara Seri Maharaja. Baginda memerintah dari 1726 hingga 1733.


KELAHIRAN

Baginda dilahirkan kira-kira tahun 1677 Masehi. Tidak dapat dipastikan di mana dan tarikh tepat baginda dilahirkan. Manakala perlantikan baginda juga mempunyai beberapa versi yang berbeza.


KELANTIKAN

Menurut Tuhfat An-Nafis, selepas perperangan di Riau antara Upu Daeng Merewah, Yang Dipertua Muda Riau yang pertama dengan Raja Kechik, baginda datang ke Terengganu untuk melantik Tun Zainal Abidin menjadi sultan. Manakala, menurut sumber Pattani, Tun Zainal Abidin dilantik oleh Nang Chayang Raja Pattani. Menurut sumber tempatan, Tun Zainal Abidin dilantik oleh Syeikh Abdul Malik (Tok Ku Pulau Manis) pemerintah Kota Temir.


PERPINDAHAN KOTA

Setelah ditabalkan, baginda berkota di Kota Batang Mahang, Tanjung Baru, Kuala Berang. Kemudiannya baginda berpindah ke Langgar. Selepas itu baginda berpindah ke Pulau Manis. Seterusnya ke Chabang Tiga dan akhirnya ke Bukit Keledang, Kuala Terengganu.


ISTERI DAN PUTERA PUTERI BAGINDA

Isteri-isteri Sultan Zainal Abidin I berjumlah enam orang, namun baginda memperisterikan mereka tidak lebih dari empat pada satu-satu masa. Isteri-isteri baginda adalah:

  1. Johor: Beristerikan seorang perempuan Muar, beroleh seorang putera dan puteri.
  2. Pattani: Beristerikan sepupu Nang Chayang. Makamnya di Bukit Keledang.
  3. Kelantan: Beristerikan seorang wanita Kelantan.
  4. Tanjung Baru, Kuala Berang: Beristerikan seorang wanita tempatan.
  5. Pulau Manis, Kuala Terengganu: Beristerikan anak perempuan Tok Ku Pulau Manis
  6. Beristerikan Cik Puan Besar, anak / cucu Wan Ismail Datu.

Putera puteri baginda yang sah adalah:

  1. Ku Tana (Tanang) Wangsa
  2. Ku Tana (Tanang) Ali
  3. Ku Tana (Tanang) Ismail
  4. Ku Tana (Tanang) Mansur – Sultan Mansur I
  5. Ku Embong
  6. Tuan Raja Senik
  7. Tuan Kut (Yaakub)
  8. Tengku Maha Diwi
  9. Tuan Abu Shuib (Tuan Abu Said)

Antara orang besar yang dilantik pada zaman pemerintahan baginda adalah:

  1. Menteri Besar: Tun Buan, anak orang kaya Seri Wangsa. Makamnya di Bukit Keledang
  2. Kadi Besar: Wan Imam Mahmud (murid Tok Ku Pulau Manis), anak Tok Fakih Wan Hassan Bin Tok Fakih Wan Ali


KEMANGKATAN

Menurut Tuhfat An-Nafis, baginda mangkat pada malam ahad 21 Ramadhan 1146 bersamaan 25 Februari 1733.