Sultan Umar (Baginda Umar – Marhum Baginda)

Setelah Sultan Umar berjaya memenangi Perang Saudara Terengganu, baginda menjadi pemerintah negeri Terengganu dan menjadi sultan Terengganu yang kesembilan dari 1839M hingga 1875M. Baginda digelar dengan Baginda Umar kerana memerintah negeri Terengganu melalui jalan peperangan.


TUBUH BADAN BAGINDA

Baginda dicatatkan mempunyai tubuh badan yang tinggi, gagah perkasa, biasanya memakai tanjak, dan menjadikan meriam kecil sepanjang enam kaki sebagai tongkat ketika berjalan. Ketika masih ke istana, baginda menyandarkan tongkat berkenaan di tangga istana.


MEMACU KEMAJUAN TERENGGANU

Pada 7 Zulhijjah 1281H bersamaan 3 Mei 1865, baginda mendirikan Istana Hijau di tapak Istana asal Sultan Mansur II. Baginda juga menaiktaraf Masjid Abidin dengan bangunan batu. Baginda juga membina jalanraya yang asasnya masih kekal sehingga ke hari ini. Balai istana dibuka sebagai mahkamah untuk mengadu, menjatuhkan hukuman dan melaksanakan perbicaraan.

Pada masa pemerintahan baginda, Terengganu dibahagikan kepada kepada beberapa daerah. Daerah-daerah berkenaan dianugerahkan kepada seorang Dato’ untuk diuruskan. Dato’ pula membahagikan daerah kepada beberapa bahagian, yang dikendalikan oleh Dato’ Muda, kampung di dalam bahagian berkenaan ditadbir oleh ketua kampung. Apabila ketua-ketua daerah ini mati, baginda menggantikannya dengan beberapa penghulu.

Baginda sendiri berjalan keluar untuk meneliti keadaan rakyat dan setiap jumaat, baginda memeriksa setiap segenap negeri dengan mengeluarkan sedekah kepada orang fakir dan miskin.


MENGASASKAN WAKAF MARHUM BAGINDA

Baginda menawarkan tanah wakaf kepada pengajar agama yang datang ke Terengganu dan dikenali sebagai Wakaf Baginda Umar untuk menggalakkan penuntut ilmu agama dan pengajar agama ke Terengganu.


MEMBANTU PERANG SAUDARA PAHANG

Baginda membantu Wan Ahmad menentang Wan Mutahir pada tahun 1857M. Temenggung Abu Bakar Johor membantah tindakan ini malah datang ke Terengganu untuk merayu kepada baginda, namun tidak dihiraukan baginda. Pada Julai 1862, Gabenor British Singapura menghantar surat bantahan kepada baginda kerana membantu Wan Ahmad tetapi tidak diendahkan oleh baginda. Wan Ahmad berjaya mengalahkan Wan Mutahir pada Jun 1863.


SULTAN MAHMUD LINGGA MEMINTA BANTUAN

Dalam tempoh pemerintahan Baginda Sultan Umar, Sultan Mahmud Lingga (anak saudara baginda) telah dipecat oleh Belanda telah balik dari Siam dan mendapat bantuan daripada negara berkenaan telah meminta pertolongan dari Terengganu. Kedatangan Sultan Mahmud Lingga kerana meminta bantuan agar dapat mendapat balik tahta kerajaan kerana Belanda telah melantik Raja Haji Abdullah menjadi Yang Dipertuan Muda dan Tengku Sulaiman putera Almarhum Sultan Abdul Rahman menjadi Yang Dipertuan Besar. Tetapi baginda enggan mencampuri urusan berkenaan.


KUALA TERENGGANU DISERANG (PERANG RESIDEN)

Pada 11 dan 12 November 1862, Kuala Terengganu diserang kerana keengganan baginda menyerahkan Encik Wan Ahmad dan Sultan Mahmud Lingga.


PEPERANGAN BESUT

Pada 23 Syawal 1292H bersamaan 22 November 1875, peperangan tercetus di antara Baginda Sultan Umar dan Tengku Ali, kerana keengganan beliau untuk tunduk kepada Terengganu dan bersepakat dengan Kelantan. Peperangan berakhir setelah Tengku Ali melarikan diri ke Kelantan dan meninggal dunia di sana.


PERINTIS PERKEMBANGAN PERAHU BESAR TERENGGANU

Sekitar tahun 1850-an, kapal Perancis telah karam di Pulau Kapas dan mereka diselamatkan oleh penduduk tempatan, antaranya dua bersaudara Perancis. Mereka kemudiannya memeluk Islam dan merekabentuk Perahu Besar Terengganu dan mendapat sumbangan serta galakan baginda sendiri.


MENJATUHKAN HUKUMAN BUNUH TERHADAP WANGKANG CINA

Sebuah wangkang Cina Hailam, bernama Kim Eng Seng telah berlayar di antara Singapura dan Terengganu. Beberapa anak kapal telah ditangkap dan dijatuhkan hukuman bunuh kerana didapati bersalah terlibat di dalam satu rompakan. Utusan Singapura Thomas Church datang ke Terengganu untuk menyiasat kejadian berkenaan dan menyatakan tidak puas hati kerana berpendapat bukti-bukti yang dikemukakan tidak kukuh. Ia cuba mengemukakan wang gantirugi tetapi baginda tetap meneruskan hukuman berkenaan. Singapura ada menghantar surat bantahan tetapi pentadbiran baginda mengabaikan surat berkenaan.


CATATAN MUNSYI ABDULLAH

Semasa singgah ke Terengganu, pengarang Munsyi Abdullah menyatakan bahawa di Terengganu terdapat larangan ketika melalui Kampung Raja (Kota Raja) tidak boleh berpayung, memakai kasut serta memakai pakaian kuning dan kain kasa. Tanah di negeri Terengganu adalah tanah pasir dengan tanah liat di bukit-bukit. Keadaan bukit-bukit dipenuhi oleh pohon dan dusun buah-buahan.

Pasar di Terengganu bermula pada waktu petang, dipenuhi oleh wanita-wanita yang berniaga. Rata-ratanya lelaki turun ke laut menjadi nelayan, ada juga yang tidak melakukan apa-apa kerja melainkan mempamerkan senjata yang dimiliki. Terdapat banyak pohon limau dengan pelbagai jenis. Lembu, kambing dan biri-biri dijual dengan murah, tetapi rakyat tidak suka makan daging melainkan ikan, sayur, dan perkasam yang busuk-busuk baunya. Duit yang digunakan tertulis di dalamnya kalimah “Malikul Adil” dipakai satu ringgit.

Barangan dagangan Terengganu pada zaman pemerintahan Sultan Umar adalah:

  1. Emas
  2. Timah
  3. Kopi
  4. Kain Sutera (seluar sutera, baju dan tali pinggang serta saputangan)
  5. Keris, pedang dan tombak.
  6. Gula
  7. Nyiur (Kelapa)
  8. Minyak Sapi
  9. Rotan
  10. Damar

Penduduk Terengganu mempunyai kefahaman Al-Quran dan Bahasa Arab yang tinggi, dinyatakan juga mengenai kehairanan kerana ketiadaan orang Arab yang berdakwah di negeri Terengganu.


KEMATIAN DUA TOKOH AGAMA

Dalam tempoh pentadbiran baginda, dua tokoh agama negeri telah meninggal dunia.

  1. Tuan Syeikh Abdul Kadir Bin Wan Abdul Rahim (Syeikh Abdul Kadir Bukit Bayas), Kuala Terengganu (1864, ada pendapat menyatakan 1853)
  2. Tuan Guru Haji Hassan Bin Tuan Ishak (Tuan Guru Haji Hassan Gedong), Kampung Raja Besut (11 Jamadilawal 1240 bersamaan 6 Julai 1873)


KEMANGKATAN BAGINDA

Baginda mempunyai beberapa orang isteri, antaranya Tengku Hitam binti Abdul Kadir, tetapi tidak dikurniakan putera. Pada 1874M, baginda melantik anak saudara baginda Tengku Ahmad (putera Tengku Mahmud) untuk mentadbir negeri Terengganu pada tahun 1875M. Gabenor Sir William Jervois menyatakan bahawa baginda sudah tua, berusia 69 tahun pada ketika itu. Pada 17 Rabiulawal 1292H bersamaan 23 April 1875M baginda mangkat dan dimakamkan di Dalam Kubah Masjid Abidin. Menteri baginda adalah Dato’ Seri Nara Wangsa Encik Muhammad.


GAMBAR

 

 

 

 


Rujukan:

  1. Sejarah Darul Iman