Sultan Muhammad II

Sultan Muhammad II merupakan Sultan Terengganu ke-12. Baginda telah diputerakan pada pukul 7.00 malam Khamis 1 Ramadhan 1306H bersamaan 1 Mei 1889M di Kuala Terengganu sebagai putera sulung Sultan Zainal Abidin III dari bondanya Cik Kalsum Binti Haji Daud. Saudara seayahanda bonda baginda ialah Hajah Tengku Ngah Aisyah dan Hajah Tengku Nik Maimunah

Saudara-saudara seayahanda baginda pula adalah:

  1. Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah
  2. Sultan Ismail Nasiruddin Shah
  3. Tengku Jebah
  4. Tengku Wook Fatimah Tengku Teh
  5. Tengku Abdullah
  6. Tengku Besar Habsah
  7. Tengku Dalam Halimah (Tengku Nila Puri)
  8. Tengku Wook Abdullah (Tengku Kesuma Puri)
  9. Tengku Ahmad
  10. Tengku Besar Mahmud (Tengku Seri Utama Raja)

Semasa baginda dilahirkan, tembakan meriam 16 das telah diadakan. Pada 3 Ramadhan 1306H bersamaan 3 Mei 1889M telah diadakan istiadat membuang tembuni disambut juga dengan 16 das meriam. Ketika berusia 3 tahun, diadakan pula upacara istiadat berandam surai dengan disambut 16 das meriam. Ketika istiadat “Pijak Tanah”, dua pucuk meriam telah diusung ke perkuburan Tok Ku Tuan Besar (Syed Muhammad Zainal Abidin Al-Idrus) ayahanda Engku Syed Paloh (Syed Abdul Rahman atau Tok Ku Paloh) di Chabang Tiga, Kuala Terengganu.


MENJADI YANG DIPERTUAN MUDA

Baginda amat disayangi oleh Sultan Zainal Abidin III dan dipanggil dengan panggilan manja “Awang”. Ketika usia baginda 6 tahun, baginda dilantik oleh ayahandanya menjadi Yang Dipertuan Muda dan sebelum itu dikurniakan gelaran Tengku Kechik Muda. Sebelum itu, Yang Dipertuan Muda adalah Tengku Abbas ibni Yang Dipertuan Muda Tengku Mahmud ayahanda saudara Sultan Zainal Abidin III yang mangkat pada 7 November 1889. Ada pula yang berpendapat baginda menjadi Yang Dipertuan Muda semasa berumur 14 tahun.

Semasa menjadi Yang Dipertuan Muda, baginda dikurniakan kuasa mutlak oleh ayahandanya sebelum dilantik menjadi sultan. Oleh itu, baginda menerima pelbagai surat rayuan, terutamanya dari kaum Cina Terengganu.

Baginda telah menerima pelbagai rayuan, antaranya:

  1. Hutang Lim Chu Tong
  2. Rayuan Bee Seem
  3. Othman Bin Idris mengenai pajakan telur Pulau Redang
  4. Pajak cukai pinang Mek Kim Hwa dan Cik Tonf anak-beranak
  5. Jual beli dusun nyiur di Pulau Ketam oleh Cik Abdullah bin Daud
  6. Bayar hutang piutang Haji Ali Bin Ahmad dengan Tuan Syed Abu Bakar Bin Syed Zin di Beladau
  7. Rayuan Encik Salim Bin Jumat tentang urusan batu sempadan.
  8. Pajakan tanah Kuala Paka, dan pergaduhan.
  9. Petikaian tanah wakaf dengan penduduk Hailam dan Hokkien.
  10. Pajak menjual minyak tanah kawasan Sungai Dungun antara Tengku Ngah bin Tengku Abdul Rahman dengan
  11. Kim Seng anak Cek Been
  12. Pembahagian harta sedekah anak Megat Mamat Losong kepada anak perempuan.
  13. Surat Syed Abu Bakar Al-Idrus mengenai bantahan harta di mahkamah.


DILANTIK MENJADI SULTAN

Apabila Sultan Zainal Abidin III mangkat, baginda dilantik menjadi sultan dalam satu istiadat dan pengisytiharan di Istana Maziah pukul 5.30 petang 25 November 1918 bersamaan 21 Safar 1337. Watikah dibaca oleh Naib Menteri Besar Haji Ngah Muhammad Bin Yusuf (Dato Seri Amar Diraja) di hadapan jenazah baginda Sultan Zainal Abidin III, walaupun pada mulanya baginda enggan menjadi sultan dan menolaknya.

Watikah berkenaan berbunyi:

“Bahawa sesungguhnya kita sekalian Al Halli Wal Aqdi dengan lidah dan hati yang ikhlas menjadikan Yang Dipertuan Muda ini Raya Yang Dipertuan Besar Al Sultan pada memerintah Negeri Terengganu dan sekalian daerah takluknya ganti tempat pemerintahan Seri Paduka ayahandanya Yang Dipertuan Besar Al Sultan Zainal Abidin yang mangkat ini.

Di dalam Negeri Terengganu pada hari Isnin 21 Safar 1337. Bahawa sesungguhnya kita sekalian yang menandatangani di bawah ini Al Halli Wal Aqdi iaitu:

Tengku Muda Sulaiman, Tengku Ngah Umar, Tengku Embong Bin Musa, Tengku Mahmud Bentara, Tengku Panglima Besar, Tengku Abu Bakar, Tengku Chik Ahmad, Dato’ Nara Wangsa Muhammad Ali, Al Haji Ngah Muhammad, Al Haji Wan Muhammad Saleh Al Mufti, Tuan Kecik Syed Abdul Kadir Al Idrus, Tengku Embong Al Syed Al Idrus, Al Haji Wan Sulaiman, Cik Nik Al Hakim, Cik Mat bin Abdul Rahim, Panglima Perang Yusof, Tengku Ali Haji Abdullah, Tengku Ali Mustaffa, Tengku Hitam Omar, Cik Da Umar, Cik Engku Abu Bakar Bin Long muafakat dan setuju mengikut Undang-undang Diri Kerajaan Negeri Terengganu yang diperbuat dalam tahun 1329 itu tetapkan dan pilihkan Yang Dipertuan Muda menjadikan Raja Yang Dipertuan Besar pada memerintah Negeri Terengganu dan sekalian daerah ganti tempat pemerintahan Negeri Terengganu dan sekalian daerah ganti tempat pemerintahan Seri Paduka ayahanda Yang Dipertuan Besar Al-Sultan Zainal Abidin yang mangkat ini.”


UNDANG-UNDANG MEMBERSIH HUTANG KEPALA

Baginda sempat melaksanakan undang-undang walaupun dengan pemerintahan baginda yang singkat. Baginda mengadakan Undang-undang Membersihkan Hutang Kepala Hamba Tanggung Kerja, Bil. 1 1337 dan dijalankan pada 1 JamadilAwal 1337 bersamaan 2 Februari 1919.

TURUN TAKHTA

Baginda memerintah selama satu tahun lima bulan dan dua puluh tujuh hari. Baginda turun takhta pada 21 Mei 1920 disebabkan tidak bersetuju dengan pentadbiran British.

Baginda terperangkap dengan janji British yang ditandatangani pada tahun 1919 yang memberi kuasa penuh kepada British melainkan pada adat dan aga sahaja. Baginda didesak oleh Gabenor British untuk menandatangani perjanjian. Akibatnya, baginda turun takhta pada 3 Ramadhan 1338 bersamaan 21 Mei 1920. Baginda digantikan oleh saudaranya Tengku Muda Sulaiman yang bergelar Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. British telah mengurangkan saraan hidup baginda sebelum turun takhta dari $10,000.00 kepada $4,000.00. Ini dicatatkan oleh Tengku Dalam di dalam syairnya.


WATIKAH MELETAK JAWATAN SULTAN

Watikah surat perletakan jawatan baginda bertulis:

“Di dalam Terengganu pada 2 Ramadhan 1338 bahawa sesungguhnya kita Sultan Muhammad Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin Kerajaan Terengganu mengaku dengan sebenarnya oleh kerana keuzuran diri kita sendiri tidak boleh mendiri atau menanggung perkerjaan hak kerajaan yang lazim di atas kita maka pada tarikh hari surat ini kita telah menarik diri dan lepas serta berhenti daripada menjadi raja dalam Kerajaan Terengganu Jajahan Takluknya. Kita persaksikan yang demikian itu kepada Jumaah Menteri Kerajaan Terengganu yang bertandatangan di bawah ini menurut sebagaimana syarat Undang-undang Tubuh Kerajaan di bawah fasal ke-15.

Maka oleh kerana sah dan nyata sekalian itu adalah dimeterikan mohor cap dan sain tandatangan kita sendiri di atas surai ini wa Allahu Khairu Syahidin.

Umar Bin Abdul Rahman
Ahmad Bin Abdul Rahman
Musa Bin Sulaiman
Muhammad Bin Yusuf”


KE TANAH SUCI MEKAH DAN MESIR

Semasa memerintah, baginda ke Mekah dan Mesir pada 1 JamadilAwal 1336 bersama 28 orang saudara baginda. Selepas turun takhta juga baginda ke Mekah sekali lagi dan menetap beberapa lama di sana.

Baginda merupakan seorang yang sentiasa serius dan hobi baginda adalah mendengar suara yang merdu.


KEMANGKATAN

Baginda mangkat pada 11.00 pagi hari Rabu 1 Ramadhan 1375 bersamaan 11 April 1956 di istananya di Gong Kapas, Kuala Terengganu dan dimakamkan di dalam kubah Masjid Abidin Kuala Terengganu. Al-Marhum baginda meninggalkan tiga orang isteri iaitu:

  1. Hajah Tengku Ngah Aishah binti Al-Marhum Sultan Abdul Rahman Riau.
  2. Hajah Maimunah Binti Embong
  3. Hajah Kalsum Binti Mohd Amin.

Al-Marhum lebih dikenali dengan panggilan Raja Darat.


GAMBAR

 

 

 

 


Rujukan:

  1. Sejarah Trengganu, Haji Buyong Adil
  2. Sejarah Darul Iman, MISBAHA