Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin merupakan Sultan Terengganu ke-17. Baginda telah diputerakan pada 22 Januari 1962 bersamaan 15 Syaaban 1381 di Kuala Terengganu.
PENDIDIKAN
Baginda menerima pendidikan awal di SK Sultan Sulaiman dan SMK Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu. Seterusnya, baginda telah melanjutkan pelajaran di Geelongs Grammar, Victoria, Australia dari tahun 1980 hingga 1981.
Pada tahun 1988, baginda telah menggenggam Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Hubungan Antarabangsa setelah menyambung pelajaran di London menerusi US International University-Europe.
KURSUS KETENTERAAN
Baginda telah menyertai Kursus Bakal Tentera di Kem Sebatang Karah, Port Dickson pada 18 Mei 1981 selama tiga bulan. Seterusnya, baginda mengikuti kursus tentera PRE SMC (E) 33 di Army School of Languages serta kursus SMC 33 di Royal Military Academy, Sandhurst, England pada tahun 1983. Baginda telah ditauliahkan pangkat Leftenan Kehormat di Kor Kalvari Diraja pada 1 Mac 1984.
MEMANGKU JAWATAN SULTAN
Baginda telah dilantik dan dimasyhurkan sebagai Yang Dipertuan Muda Terengganu pada usia 17 tahun, dan baginda dilantik menjadi Pemangku Raja pada 20 Jun 1986 dan kali kedua pada 21 Oktober hingga 8 November 1990.
PENGALAMAN BERSAMA RAKYAT
Baginda telah berkhidmat sebagai Penolong Pemungut Hasil Tanah pada 15 November 1981. Pengalaman berkenaan digunakan baginda untuk menyambung pelajaran di luar negara. Baginda kemudiannya dilantik sebagai Pegawai Tadbir Negeri pada 11 Julai 1988 hingga 10 Julai 1989 dan ditempatkan di Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu. Selepas itu, baginda dipertanggungjawabkan sebagai Penolong Pentadbir Tanah Daerah selama dua tahun dari 11 Julai 1989 hingga 10 Julai 1991.
Setelah itu, baginda telah dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dari 1 Jun 1992 hingga 31 Disember 1995.
PERKAHWINAN
Baginda telah diijabkabulkan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah di Istana Maziah, Kuala Terengganu pada 28 Mac 1996. Baginda telah dikurniakan dua puteri dan dua putera iaitu:
- YAM Tengku Nadhirah Zahrah
- DYTM Tengku Muhammad Ismail
- DYTM Tengku Muhammad Mua’az
- YAM Tengku Fatimatuz Zahra’
PEMASYHURAN SULTAN TERENGGANU
Baginda dimasyhurkan sebagai Sultan Terengganu pada 15 Mei 1998M bersamaan 18 Muharram 1419H. Tidak sampai setahun, baginda telah dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertuan Agong pada 26 April 1999.
INISIATIF
Baginda telah mengambil inisiatif mewujudkan Yayasan Diraja Sultan Mizan pada ulangtahun keputeraan ke-43 baginda tanggal 19 Julai 2005. Yayasan ini membantu baginda menyumbang kepada peningkatan taraf sosioekonomi dan kerja-kerja amal.
MINAT DAN KECENDERUNGAN
Baginda amat gemar beriadah dan bersukan. Baginda dilantik menjadi penaung kepada Persatuan Perkasa Alam, yang terlibat dengan sukan bola sepak. Sejak remaja baginda berminat dengan pelbagai sukan antaranya golf, taekwando, scuba diving dan menunggang kuda.
Minat baginda kepada menunggang kuda telah merintis kepada pembinaan Terengganu Equestrian Resort (TER) di Kuala Ibai. Kemudahan ini memberi peluang kepada rakyat untuk sama-sama menceburi sukan berkenaan. Baginda juga menubuhkan Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) yang merintis kepada pembinaan kompleks International Endurance Park di Lembah Bidong.
GAMBAR
Rujukan
- Buku Pertabalan DYMM Sultan Mizan
- Laman Web KDYMM Sultan Terengganu