Syeikh Abdul Kadir Bin Abdul Rahim (Syeikh Abdul Kadir Bukit Bayas)

Nama penuh beliau adalah Syeikh Abdul Kadir Bin Abdul Rahim, dikenali sebagai Syeikh Abdul Kadir Bukit Bayas.Tarikh kelahiran beliau tidak diketahui, tetapi beliau datang ke Terengganu pada awal 1800M bersama orang-orang Patani yang berhijrah.


PENDIDIKAN AWAL

Syeikh Abdul Kadir Bukit Bayas mendapat pendidikan asas di pondok pengajian di Patani. Beliau merupakan datuk saudara kepada Syeikh Daud Bin Abdullah Al-Fatani tetapi dari segi umur, beliau lebih muda. Beliau juga didakwa pernah berguru dengan Syeikh Daud sendiri. Ketika di Mekah, beliau berguru dengan beberapa orang guru, antaranya:

  1. Syeikh Muhammad Shalih Bin Abdur Rahman Pauh Bok Al-Fatani
  2. Syeikh Muhammad Zain Bin Faqih Jalaludin Aceh
  3. Syeikh Muhammad Shalih Bin Ibrahim
  4. Mufti Syafie
  5. Syeikh Ahmad Al-Marzuqi


MULA BERDAKWAH

Setelah tamat pengajian di Mekah, beliau kembali ke Nusantara dan ke Pulau Duyong Kecil, Kuala Terengganu kerana tempat berkenaan mempunyai ahli keluarganya yang lebih ramai daripada Patani sendiri. Di Pulau Duyong Kecil, beliau memulakan kegiatan dakwahnya. Beliau merancang untuk membuka pondok di Patani dengan dibantu beberapa orang Tuan Guru di sana.

Namun niat beliau terhalang setelah tiba di Patani kerana tercetus perang Kedah-Patani terhadap pencerobohan bangsa Siam. Perang ini melibatkan ramai tokoh agama termasuklah beliau sendiri. Kemudian, beliau kembali ke Terengganu pada 1830M dan mula mengajar di Paya Bunga dan Duyong. Selepas itu, beliau mendirikan masjid di Bukit Bayas, Kuala Terengganu dan mendapat gelaran Syeikh Abdul Kadir Bukit Bayas. Pondok beliau di Bukit Bayas dibina dari model pondok-pondok di Patani.


MENINGGAL DUNIA

Tidak banyak yang diketahui daripada hidup beliau, namun beliau meninggal dunia pada tahun 1864M di Kampung Paya Bunga. Ada yang berpendapat beliau meninggal dunia di Bukit Bayas.


SUMBANGAN

Beliau mempelopori pendidikan berasaskan pondok yang mantap di Terengganu. Beliau juga merupakan guru kepada ramai tokoh Terengganu yang terkemuka. Antaranya:

  1. Haji Wan Abdullah Bin Wan Mohamad Amin (Tok Syeikh Duyong)
  2. Syed Muhammad Bin Zainal Abidin (Tok Ku Tuan Besar)
  3. Baginda Sultan Umar.

Kitab karangan beliau yang terkenal adalah Al-Targhib wat Tarhib Li Al-Bai’i wa Asy-Syira yang siap ditulis pada waktu duha hari isnin 2 Rabiulawal 1234H. Kandungan kitab ini memberi panduan mengenai perniagaan serta kupasan Al-Quran dan Hadis mengenai larangan memakan riba.

Beliau juga menjadi mufti semasa zaman pemerintahan baginda Sultan Umar. Baginda walaupun tidak tahu membaca dan menulis, tetapi baginda sangat berminat dengan Islam. Dengan bantuan Syeikh Abdul Kadir, Terengganu menjadi aman dan makmur sehingga mendapat gelaran Darussalam.

Syeikh Abdul Kadir juga membantu masyarakat dengan melatih orang ramai dalam silat gayung.


KETURUNAN

Antara keturunan beliau yang menjadi pembesar di Terengganu adalah anak beliau Wan Muhammad Saleh (Tok Kaya Pahlawan atau Datuk Sangsura Pahlawan) serta cucu beliau Wan Abdul Hamid bin Wan Muhammad Sa’id Bin Syeikh Abdul Kadir yang juga dilantik sebagai Datuk Sangsura Pahlawan.

Anak beliau berjumlah 21 orang iaitu:

  1. Wan Abdur Rahim
  2. Wan Muhammad Amin
  3. Wan Muhammad Sa’id
  4. Wan Muhammad Saleh
  5. Wan Jamilah
  6. Wan Maimunah
  7. Wan Putih
  8. Wan Hitam
  9. Wan Khatijah
  10. Wan Maryam
  11. Wan Abdullah
  12. Wan Halimah
  13. Wan Salamah
  14. Wan Abu Bakar
  15. Wan Ahmad
  16. Wan Kaltsum
  17. Wan Abdur Rahman
  18. Wan Aminah
  19. Wan Man
  20. Wan Salimah
  21. Wan Muda

 


Rujukan:

  1. Tokoh Ulama Negeri Terengganu: Biografi, Pemikiran dan Sumbangan. Dr Engku Ahmad Zaki Bin Engku Alwi