Penjara Lama Kedai Tanjung


Penjara Lama Kedai Tanjung merupakan penjara lama yang wujud sehingga zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin III. Penjara ini terletak di tengah-tengah Kedai Tanjung, diantara Kampung Dalam Bata dan Kampung Aur. Penjara ini pernah dicatatkan oleh Hugh Clifford semasa melawat Terengganu pada tahun 1985.


KEADAAN PENJARA

Menurut kajian dan catatan yang dilakukan oleh Dato’ Setia Jasa (Dato’ Haji Muhammad Saleh Bin Haji Awang – MISBAHA), keterangan yang didapati ketika itu menyatakan bilangan banduan di dalam penjara tidak melebihi 50 orang. Kadar hukuman kesalahan tidak melebihi daripada setahun hukuman. Penjara ini berada di bawah bidang kuasa dan diketuai oleh seorang ketua yang dinamakan Tuk Pertanda dan dijaga oleh enam orang pengawalnya. Tuk Pertanda bertanggungjawab kepada Dato’ Panglima Dalam, yang seterusnya bertanggungjawab kepada Majlis Mesyuarat Negeri dan Sultan.

Orang-orang salah dibenarkan menukar pakaian dan mandi manda untuk menjaga kesihatan. Seorang tabib Melayu disediakan untuk menjaga kesihatan mereka. Ini bertentangan dengan catatan Hugh Clifford yang dipercayai mempunyai tujuan agar British mempercepatkan lagi penjajahan ke Terengganu ketika itu bagi mengubah sistem pentadbiran tradisi Melayu yang kononnya tidak bertamadun.


CATATAN HUGH CLIFFORD

Menurut catatan Hugh Clifford, penjara ini dibina dengan kayu setebal 3 inci, lebarnya 2 inci dan tingginya 10 kaki, dipasang rapat untuk membentuk tembok yang kukuh. Di dalam tembok ini terletak dua penjara yang dibuat dari batang kayu yang berat. kayu berkenaan direnggangkan 2 inci untuk udara dan cahaya. Penjara ini 6 inci dari tanah dan ukurannya 6 kaki panjang 2 kaki lebar dan 5 kaki tinggi. Terdapat 20 petak keseluruhannya.

Orang salah digambarkan dipenjara dan tidak dapat keluar melainkan dibayar dendanya ataupun meninggal dunia. Mereka tidak dibenarkan membersihkan diri dan berada dalam keadaan yang kotor dan berpenyakit.


KAWASAN SEKITAR

Kawasan sekitar penjara berkenaan dinamakan Kampung Penjara Lama, yang dipercayai terletak di antara persimpangan Jalan Petani dan Jalan Sultan Zainal Abidin pada masa kini.


Rujukan:

  1. Sejarah Darul Iman (MISBAHA)