Itqan Al-Muluk Bi Ta’dil As-Suluk

Itqan Al-Muluk Bi Ta’dil As-Suluk (اتقان الملك بتعديل السلك) adalah Undang-undang Bagi Diri (undang-undang tubuh) Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman yang disusun dan diwujudkan semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III. Undang-undang ini diwujudkan untuk mengekang pengaruh British disamping suatu pengisytiharan bahawa Terengganu merupakan negeri Melayu Islam Merdeka dan Berkerajaan Sendiri.

Undang-undang ini mengandungi 53 fasal, satu pendahuluan (muqaddimah) dan satu penyudahan (khatimah). Undang-undang ini diisytiharkan pada 2 November 1911 bersamaan 11 Zulkaedah 1329 Hijrah. Undang-undang ini bertujuan untuk menguatkan kuasa kesultanan dan menghalang sebarang tindakan yang akan menyebabkan Terengganu dijajah.

Ini dapat dilihat pada sebahagian daripada Fasal 14: Tegahan Di Atas Raja yang menyatakan:

“Maka tiada lulus dan tiada sah sekali-kali raja membuat perjanjian atau akhtiar melepas atau menyerahkan negeri dan kerajaannya atau suatu bahagian daripada kuasa kerajaan atau hukuknya itu kepada mana-mana kerajaan atau kepada kuasa-kuasa bangsa Eropah itu atau lainnya.

Maka jikalau raja cuba lalai larangan dan tegahan ini nescara disifatkanlah akan dia memecahkan umanah yang diletakkan atasnya serta tiada sah, perbuatan yang demikian itu.

Maka tatkala itu tiadalah diwajibkan di atas Ahli-ahli Kerajaan dan segala rakyat bersetia lagi dengan dia haruslah diturunkan dia daripada takhta kerajaannya dan diangkatlah gantinya pula.”

Persetujuan dan kelulusan undang-undang ini disaksikan dan diturunkan tandatangan pengesahan yang kemudiannya dimaterikan dengan Mohor baginda Sultan Terengganu adalah:

  1. Yang Dipertuan Muda (Muhammad) Bin Zainal Abidin (Sultan Muhammad II) – Waris Ganti
  2. Tengku Muda Sulaiman Bin Zainal Abidin – Waris Pertama
  3. Tengku Ngah (Umar) Bin Abdul Rahim – Kerabat Ikrab, Wazir dan Menteri
  4. Tengku Embong (Musa) Bin Sulaiman – Kerabat Ikrab, Wazir dan Menteri
  5. Engku Syed (Syed Abdul Rahman Bin Muhammad Al-Idrus) – Syeikhul Ulama dan Ahli Mesyuarat
  6. Tuan Dalam (Syed Mustafa Bin Muhammad Al-Idrus) – Ulama dan Ahli Mesyuarat
  7. Tengku Khajaki (Khazaki) Bin Abu Bakar – Kerabat Yang Am, Wazir dan Menteri
  8. Tengku Chik Bin Hitam – Kerabat Yang Am, Pesuruhjaya Besar Besut
  9. Tengku Long Abdullah Bin Othman – Kerabat Am, Wazir dan Menteri
  10. Tengku Chik Abdul Rahman Bin Ishak – Kerabat Am, Wazir dan Menteri
  11. Tengku Chik Ahmad Bin Abdul Rahman – Kerabat Am, Wazir dan Menteri
  12. Dato’ Panglima Dalam (Wan Muhammad) Bin Ibrahim – Wazir dan Menteri
  13. Dato’ Nara Wangsa (Encik Muhammad Ali Bin Abdul Rahim) – Wazir dan Menteri
  14. Haji Wan Muhammad Salleh Bin Muhammad – Mufti dan Ahli Mesyuarat
  15. Haji Wan Mohd Salleh Bin Ismail – Hakim dan Ahli Mesyuarat
  16. Haji Wan Sulaiman Bin Daud – Hakim dan Ahli Mesyuarat
  17. Dato’ Panglima Perang (Encik Yusuf Bin Musa) – Pegawai dan Ahli Mesyuarat
  18. Dato’ Panglima Muda (Encik Othman Bin Idris) – Pegawai dan Ahli Mesyuarat
  19. Dato’ Sangsura Pahlawan (Wan Hamid Bin Said) – Pegawai dan Ahli Mesyuarat
  20. Haji Ngah Bin Muhammad Yusof – Ahli Mesyuarat, Wazir dan Menteri
  21. Encik Nik Muhammad Bin Hitam – Naib Hakim dan Ahli Mesyuarat
  22. Dato’ Syahbandar (Encik Embong bin Jaafar) – Pegawai dan Ahli Mesyuarat
  23. Encik Mat (Muhammad) Bin Abdul Rahim – Pegawai dan Ahli Mesyuarat


KAJIAN DAN TUMPUAN

Pada 6 dan 7 Januari 2012 (12 dan 13 Safar 1433) Parti Islam Semalaysia (PAS) Terengganu telah mengadakan majlis sambutan untuk memperingati sambutan ulangtahun 100 tahun penggubalan undang-undang ini. Sambutan ini dikenali sebagai Sambutan 100 Tahun Itqan Al-Muluk Bi Ta’dil As-Suluk diadakan di tanah lapang di tebing Sungai Terengganu di Kampung Gaung, Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Manakala, pada 16 dan 17 Jun 2013 (7 dan 8 Syaaban 1434), Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT), Kerajaan Negeri Terengganu di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah mengadakan seminar yang dinamakan sebagai Seminar Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu bertempat di Dewan Batu Bersurat, Kompleks Muzium Negeri Terengganu, Bukit Losong, Kuala Terengganu. Pembentang dari pelbagai universiti di Malaysia membentangkan hasil kajian dan sebanyak 18 kertas kerja dibentangkan.

 


Rujukan:

  1. Seminar Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu: 16 Jun 2013, Lembaga Muzium Negeri Terengganu
  2. Sejarah Darul Iman (MISBAHA)
  3. BuletinOnline.Net: Januari 2012
  4. Web Berita TeganuKita: Jun 2013