Bah Merah

Bah Merah merupakan banjir besar yang melanda negeri-negeri di Tanah Melayu, tidak terkecuali, negeri Terengganu ketika itu. Dikatakan banjir seburuk ini tidak pernah berlaku dalam sejarah Melayu mahupun sejarah Terengganu sendiri. Banjir ini berlaku pada tahun 1926.Banjir ini mendapat namanya kerana air banjir berkenaan berwarna merah, dipercayai daripada akar-akar kayu dan selut yang dihanyutkan dari hulu.


GELOMBANG BANJIR

Banjir ini berlaku dalam 2 gelombang yang berasingan. Gelombang pertama adalah pada 30 November 1926, dengan daerah Bukit Payong merupakan kawasan yang terburuk ditimpa bencana dengan air setinggi 0.6 meter.Gelombang kedua banjir bermula pada 22 Disember 1926 apabila angin kencang dan hujan lebat berlarutan. Pada 27 Disember 1926, Bukit Payong mula dinaiki air, dan pada 28 Disember 1926, Chabang Tiga dinaiki air. Pada 29 Disember 1926, air hulu mulai turun ke kuala, dan kawasan Kedai Binjai sehingga kawasan Pantai Teluk mula dinaiki air. Kedai Binjai mencatatkan kenaikan paras air sehingga 1 meter.

Menurut cerita lisan, kawasan ‘darat’ seperti Pasir Panjang sehingga ke Wakaf Mempelam dinaiki air selama seminggu. Penduduk sekitar berkenaan menyelamatkan diri dengan mendaki kawasan sekitar Bukit Bayas dan Bukit Depu serta Bukit Besar. Tanaman dan ternakan musnah, tidak dapat diselamatkan.Pada 1 Januari 1927, banjir mulai surut apabila paras air sungai turun hingga ke paras 2 meter. Pada 3 Januari 1927, air sungai mulai pulih dan jalan-jalan mulai dibuka.

Daerah Hulu Terengganu menerima kemusnahan yang paling teruk, manakala di Kemaman, dua jambatan baru di Kampung Limbong musnah. Di daerah Dungun pula, rumah-rumah banyak yang musnah dipukul ribut. Daerah Besut paling kurang terjejas oleh peristiwa banjir ini.


KESAN

Masyarakat tradisi Terengganu ada kalanya mengukur umur mereka melalui banjir ini. Contohnya: “Lahir 2 tahun sebelum Bah Merah” atau “Lahir setahun selepas Bah Merah”. Peristiwa ini dicatatkan dengan jelas oleh Tengku Dalam di Tawarikh Sultan Zainal Abidin III dalam bentuk syair.


GAMBAR

15270_120214_0335pm

Pemandangan Bah Merah di Pulau Kambing

 


 RUJUKAN:

  1. Sejarah Darul Iman, MISBAHA