Bukit Puteri

Bukit Puteri merupakan titik pusat Bandaraya Kuala Terengganu. Bukit ini merupakan tempat sejarah yang penting kepada pensejarahan Terengganu. Bukit ini juga merupakan tempat strategik dalam pertahanan Kuala Terengganu dan mempunyai peranan yang penting dalam kehidupan seharian masyarakat Terengganu dahulu. Bukit ini berkeluasan kira-kira 0.688 hektar dan mempunyai ketinggian kira-kira 200 meter dari paras laut.

 

ASAL USUL

Pemandangan Bukit Puteri dari Muara Sungai Terengganu pada tahun 2015.

Terdapat beberapa pendapat mengenai asal muasal nama Bukit Puteri:

  1. Pada kurun ke-17, Datuk Bendahara Padang Saujana Johor telah menghantar Megat Seri Rama untuk memerintah Terengganu. Menurut Megat Seri Rama, ketika tiba ke Terengganu, bukit ini telah dikenali sebagai Bukit Puteri.
  2. Kehadiran seorang tokoh yang bernama Tok Bukit Menteri daripada Johor datang membuka bukit ini. Pada mulanya bukit ini digelar Bukit Menteri, tetapi kelamaan kerana dialek tempatan, nama berkenaan bertukar menjadi Bukit Puteri.
  3. Bukit ini dipercayai didiami oleh puteri bunian. Dikatakan bahawa pada masa dahulu penduduk tempatan ingin meminjam pinggan mangkuk untuk membuat kenduri kendara daripada puteri di bukit ini. Namun, akibat daripada tindakan beberapa penduduk kampung sekitar yang tidak memulangkan pinggan mangkuk berkenaan dan yang pecah pula tidak diganti, menyebabkan puteri berkenaan merajuk dan berpindah ke Bukit Bintang di sempadan Setiu-Besut.
  4. Menurut penduduk tempatan yang bernama Puan Fatimah (40 tahun, 1994), nama bukit ini berasal daripada puteri tujuh beradik yang tinggal di puncak bukit ini. Dipercayai bahawa tujuh puteri berkenaan adalah penjaga bukit berkenaan dan ini dikuatkan dengan dakwaan beberapa penduduk yang sering tercium bau wangi apabila berada di kawasan bukit berkenaan. Bau itu dipercayai adalah bau puteri-puteri berkenaan. Beliau juga mendakwa bahawa penduduk tempatan mempercayai lagu “Ulek Mayang” juga berkaitan dengan ketujuh-tujuh puteri terbabit.

 

SEJARAH

Bukit ini menjadi tempat penting dalam Perang Saudara Terengganu yang tercetus di antara Baginda Umar dan Sultan Mansur II serta Sultan Muhammad I. Bukit ini menjadi rebutan kerana lokasinya yang strategik dan merupakan pusat pertahanan negeri.

Di bukit ini terdapat beberapa artifak dan binaan yang menarik, antaranya:

  1. Kubu.

    Pintu masuk ke kubu di puncak Bukit Puteri.

    Kubu ini dipercayai dibina oleh Baginda Umar untuk mempertahankan Kuala Terengganu pada perang saudara. Kubu ini dibina menggunakan kulit kerang, putih telur, batu bata dan madu.

  2. Tiang Bendera.
    Tiang bendera ini telah didirikan oleh Sultan Zainal Abidin III pada 12 Zulhijjah 1319 bersamaan 22 April 1899. Majlis menaikkan tiang bendera ini diajalankan dengan penuh adat istiadat diiringi oleh tembakan 16 das meriam. Tinggi tiang bendera ini adalah 18 meter dan ditanam sedalam 2 meter.
  3. Pentas.
    Di tengah kubu ini terdapat satu pentas batu dipercayai merupakan singgahsana oleh pemerintah Terengganu terdahulu.
  4. Kebuk Ubat Bedil
    Di belakang pentas terdapat satu lubang yang merupakan bilik untuk menyimpan senjata dan ubat bedil. Dipercayai juga dahulunya terdapat satu laluan rahsia keluar daripada kubu ke Istana Hijau (yang kini menempatkan Istana Maziah kini) sekiranya berlaku kecemasan.
  5. Makam Syed Yasin.
    Di puncak Bukit Puteri terletak Makam Syed Yasin bin Syed Akil, pembesar dan juga menantu kepada Sultan Zainal Abidin I. Beliau bersusur galur daripada Hadramaut, Yaman dan dilahirkan di Sumatera. Beliau mengahwini anak Sultan Zainal Abidin I yang bernama Che Siti. Beliau dan keluarga beliau dimakamkan di satu sudut di puncak bukit ini.
  6. Rumah Api
    Rumah api ini telah dibina untuk memandu pelaut untuk ke Kuala Terengganu. Rumah api ini mempunyai ketinggian 35 meter dan boleh dilihat sejauh 15 batu nautika. Rumah api ini juga digelar sebagai “Tanda Kuala Negeri”.
  7. Meriam
    Terdapat beberapa meriam di Bukit Puteri iaitu Seri Johor, Seri Bueh, Seri Jamlor dan Laila Majnun. Tetapi meriam yang paling menarik perhatian adalah meriam Seri Bueh yang lebih dikenali sebagai Meriam Beranak. Ini kerana meriam Seri Bueh terdiri daripada sepasang meriam besar dan kecil. Meriam besar dikenali sebagai meriam ibu dan meriam kecil dikenali sebagai meriam anak.
  8. Genta
    Genta di Bukit Puteri pada hari ini merupakan genta yang dibuat ketika pentadbiran Sultan Zainal Abdin III. Genta ini seberat 175 kilogram dengan lilitan 2.28 meter dan diperbuat daripada tembaga kuning oleh Wan Ali bin Wan Awang dan dibantu beberapa tukang lain di Kampung Tanjung, Kuala Terengganu. Genta ini dikenali sebagai ‘Negara’ dan dibina pada tahun 1326H bersamaan 1908M. Genta ini dibuat untuk menggantikan genta sebelumnya yang dibina oleh Baginda Umar pada Mei 1853. Genta ini digunakan untuk memberi amaran serangan musuh, menandakan bermula dan berakhirnya bulan Ramadan, untuk menandakan waktu dan juga untuk menandakan masuknya waktu berbuka puasa. Amalan ini diteruskan dan diganti dengan tembakan berbuka puasa yang kekal sehingga kini.

 

ANCAMAN

Semasa kependudukan Jepun di Tanah Melayu pada 1941 hingga 1945, kerajaan Jepun telah cuba untuk memindahkan meriam-meriam ini ke Siam sebagai harta rampasan perang. Namun usaha itu menemui kegagalan dan meriam-meriam ini terselamat daripada dirampas.

 

LAWATAN

Terdapat caj dikenakan untuk melawat bukit ini. Individu dewasa dicaj RM1.00 manakala kanak-kanak dicaj RM0.50.


Rujukan:

  1. Muzium Negeri Terengganu
  2. Bukit Puteri Sejarah Lambang Negeri, Syed Mohamad bin Syed Abdullah – Ms 24, Berita Darul Iman Edisi Mei/Jun 1994.

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/gombgnet/public_html/ganupedia.com/wp-includes/functions.php on line 5109