Besut (Daerah)

Peta daerah Besut dengan pecahan mukim.

Daerah Besut merupakan salah sebuah daerah di Terengganu. Daerah ini diuruskan oleh Majlis Daerah Besut (MDB).

LAMBANG DAERAH

Bendera daerah Besut menggunakan warna merah yang melambangkan keberanian dan kesungguhan bekerja di kalangan rakyatnya.

Bendera daerah Besut

SEJARAH

Replika Rebana Ubi sebagai identiti daerah Besut pada tahun 1997

Asal usul nama Besut diceritakan secara lisan melalui tradisi penceritaan. Terdapat dua versi yang menceritakan asal usul Besut. Pendapat pertama menyatakan bahawa perkataan Besut berasal daripada Bahasa Siam yang bermaksud daerah yang paling jauh. Ini dinyatakan kerana Besut dipercayai adalah wilayah paling hujung kerajaan Siam.

Pendapat kedua menyatakan bahawa dahulunya Besut diperintah oleh ketua lanun yang kejam bernama Raja Sang Nyanya. Ketika era beliau, tiada siapa yang berani menjadikan Besut sebagai tempat tinggal kerana takutkan beliau. Setelah kematian beliau, kawasan Besut mula didiami oleh kaum Pangan (Cerita Lisan: Pangan merujuk kepada golongan yang tidak berbangsa dan tidak beragama). yang diketuai oleh pemimpin yang bernama Besut.

Catatan daripada Munsyi Abdullah pula menyatakan bahawa Besut telah dibeli oleh Encik Latif, seorang saudagar dari Palembang, Indonesia yang berulang-alik ke Pattani, Thailand. Beliau telah membeli Hilir Besut dengan segantang mata kail daripada kaum Pangan dan mengasaskan Kampung Palembang di Besut.

Selepas zaman Encik Latif, pemimpin berikutnya iaitu Encik Namat telah menghadapi ancaman daripada lanun dan meminta kerajaan Terengganu untuk membantu beliau. Sultan Mansur I ketika itu menghantar anakanda baginda iaitu Tengku Kadir dan ancaman lanun berjaya ditumpaskan. Tengku Kadir juga menghalau lanun ke Pulau Perhentian. Baginda Sultan Terengganu melantik Tengku Kadir sebagai pemimpin Besut dengan dibantu oleh Encik Namat sebagai Orang Besar Besut dan menguasai Pulau Rhu. Tengku Kadir mendirikan beberapa benteng pertahanan di sepanjang Hilir Sungai Besut dan memindahkan kawasan pentadbiran dari Kampung Palembang ke Kampung Raja.

Pintu gerbang sempadan Terengganu di Besut

Setelah pentadbiran diwarisi oleh Tengku Ali, beliau cuba untuk membebaskan diri daripada naungan Terengganu dengan melancarkan pemberontakan yang dikenali sebagai Perperangan Besut namun gagal dan beliau melarikan diri ke Kelantan.

Besut merupakan pintu masuk ke Terengganu dari arah utara. Daerah ini juga menempatkan beberapa institusi pengajian antaranya Universiti Sultan Zainal Abidin Kampus Tembila (UniSZA).

Besut menempatkan 1 Parlimen (Parlimen Besut) dan 4 Dewan Undangan Negeri – DUN (DUN Kota Putera, DUN Kuala Besut, DUN Hulu Besut dan DUN Jertih) dengan sebahagian Parlimen Setiu merangkumi DUN Jabi.

MUKIM

Besut merangkumi enam belas mukim iaitu:

  1. Kuala Besut
  2. Pengkalan Nangka
  3. Kampung Raja
  4. Keluang
  5. Tembila
  6. Bukit Kenak
  7. Kubang Bemban
  8. Kerandang
  9. Jabi
  10. Pelagat
  11. Bukit Puteri
  12. Lubuk Kawah
  13. Pasir Akar
  14. Tenang
  15. Hulu Besut
  16. Pulau Perhentian

Rujukan:

  1. Muzium Negeri Terengganu
  2. Sejarah Darul Iman, MISBAHA
  3. Laman Rasmi Pejabat Daerah dan Tanah Besut