Kemaman (Daerah)

Peta daerah Kemaman dengan pecahan mukim.

Kemaman merupakan salah sebuah daerah di Terengganu. Daerah ini diuruskan oleh Majlis Perbandaran Kemaman (MPK). Daerah ini merupakan daerah kedua yang dinaiktaraf majlis perbandaran daripada majlis daerah di Terengganu selepas Kuala Terengganu.

LAMBANG DAERAH

Bendera Kemaman menggunakan warna biru gelap yang melambangkan kekuatan pertumbuhan industri berkaitan industri carigali petroleum dan gas asli.

Bendera daerah Kemaman

SEJARAH

Tugu daerah Kemaman

Nama Kemaman dipercayai diberikan oleh pedagang Siam yang melintasi daerah berkenaan dan menjadikan Kuala Kemaman sebagai tempat untuk mendapatkan air bersih. Mereka mendapatkan bekalan air bersih daripada Telaga Simpul, di kaki Bukit Penjajat. Ketika mereka menerokai kawasan berkenaan dengan menyusur Sungai Kemaman, mereka terlihat monyet yang bermain di pokok di tebing sungai. Dalam pemerhatian mereka, monyet berkenaan mempunyai hujung ekor yang menyerupai Bunga Maman. Kemudiannya mereka menamakan tempat berkenaan sebagai Kera Maman. Setelah masa berlalu, sebutan berkenaan berubah menjadi Kemaman.

Kisah yang sama juga dikemukakan melalui cerita lisan, namun versi kedua menyatakan bahawa tokoh tempatan iaitu Lebai Saris (Lebai Saras) memberi gelaran berkenaan.

Kemaman muncul dalam sejarah apabila dinyatakan oleh Ptolemy dalam kurun kedua sebelum masihi. Beliau menandakan Kemaman sebagai Kole bersama-sama dengan Primula iaitu Kuala Terengganu kini.

Gerbang sempadan Terengganu di Kemaman pada tahun 1997

Petempatan Kemaman pada masa kini dirintis oleh bangsawan Pahang iaitu Che Wan Teh yang berhijrah dari Kuala Pahang berikutan huru-hara yang berlaku. Beliau membuka perkampungan di tepi pantai di Kampung Bukit Mengkuang sebelum berpindah ke Tanjung Geliga. Namun, akibat gangguan lanun, beliau berpindah dan membuka kawasan sekitar Cukai.

Pada awal abad ke 19, pembesar daripada Pattani iaitu Lebai Saris (Lebai Saras) tiba di Terengganu dan Sultan Terengganu memberi perkenan untuk beliau menetap di Kemaman. Namun, setelah beliau memperoleh sokongan daripada masyarakat tempatan, beliau melancarkan pemberontakan namun dapat dipatahkan oleh Sultan Terengganu.

Kemaman merupakan daerah yang berperanan dalam industri perlombongan dan pengangkuan Terengganu sejak dahulu lagi. Kemaman merupakan daerah persinggahan dalam kegiatan kapal penumpang di Tanah Melayu dan perlombongan bijih besi, timah, amang dan kanci merupakan kegiatan yang diusahakan sejak dahulu lagi.

Pelabuhan Tanjung Berhala, Kemaman pada tahun 1982

Fungsi Kemaman dalam sistem jaringan pengangkutan Terengganu juga adalah besar. Kemaman merupakan daerah gerbang utama ke Terengganu melalui Jalanraya Persekutuan 3 dan Jalanraya Persekutuan 14. Kemaman juga menempatkan pelabuhan bagi negeri Terengganu iaitu Pelabuhan Tanjung Berhala. Pelabuhan ini dibina bagi memenuhi keperluan industri petroleum dan gas dan dirasmikan oleh Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah pada Jun 1983.

Industri petroleum dan gas asli menyumbang kepada pembangunan Kemaman dengan kawasan antara Paka di Dungun dan Cukai di Kemaman dibangunkan kemudahan bagi menyelia, mengendali dan memproses hasil galian berkenaan.

Kemaman juga menempatkan 1 Parlimen (Parlimen Kemaman) dan 4 Dewan Undangan Negeri – DUN (DUN Cukai, DUN Air Putih, DUN Kemasik dan DUN Kijal).

MUKIM

Terdapat dua belas mukim di daerah ini iaitu:

  1. Hulu Jabor
  2. Cukai
  3. Teluk Kalung
  4. Kijal
  5. Kemasik
  6. Kerteh
  7. Hulu Cukai
  8. Banggul
  9. Binjai
  10. Pasir Semut
  11. Bandi
  12. Tebak

Rujukan:

  1. Muzium Negeri Terengganu
  2. Laman Rasmi Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman