Dungun (Daerah)

Peta daerah Dungun dengan pecahan mukim.

Dungun merupakan salah sebuah daripada daerah di Terengganu. Daerah ini diuruskan oleh Majlis Perbandaran Dungun (MPD).

LAMBANG DAERAH

Bendera daerah Dungun menggunakan warna biru laut yang melambangkan hasil perikanan dan pelancongan terutamanyanya Penyu Belimbing.

Bendera daerah Dungun

SEJARAH

Bandar Lama Dungun

Dungun telah wujud sejak abad ke-14 sebagai satu entiti sendiri apabila menjadi wilayah Majapahit bersama-sama Terengganu. Nama Dungun diambil daripada sejenis pohon (Nama Saintifik: Heritiera littoralis Dryand). Dungun atau Kuala Dungun secara terperincinya telah dibuka oleh Panglima Hitam Tambun.

Ada pendapat mengatakan penduduk asal Dungun daripada Pagaruyung, Indonesia. Ini berdasarkan cerita lisan menyatakan mereka berlayar daripada Pagaruyung sebelum menetap di Dungun. Tambahan pula, beberapa nama kampung di Dungun berkongsi nama yang sama dengan nama kampung di wilayah Pagaruyung.

Dungun menjadi satu daerah yang penting setelah terlibat dengan Perang Saudara Terengganu apabila Sultan Muhammad I memohon bantuan daripada Tengku Hitam di Dungun untuk membantu baginda dalam mendapatkan semula takhta kerajaan daripada Baginda Umar.

Perumahan Gong Pasir, Dungun ketika baru dibina pada tahun 1992

Dungun juga menjadi tempat perlindungan Sultan Yahya Abdul Jalil Muzaffar Syah yang merupakan sultan Siak Sri Inderapura setelah diturunkan takhta dalam rampasan kuasa. Baginda mangkat dan dimakamkan di Kampung Che Lijah, Dungun dengan gelaran Marhum Mangkat di Dungun.

Ketika pemerintahan Sultan Zainal Abidin III, Dungun ditadbir secara terus daripada Terengganu apabila baginda menyerahkan pengurusan dan pentadbiran kepada Tengku Bukit, nenda saudara baginda.

Daerah Dungun menjadi masyhur setelah syarikat daripada Jepun iaitu Nippon Mining Company telah menemukan deposit simpanan bijih besi terbesar di dunia ketika itu. Rentetan daripada itu, Dungun berkembang dengan pembinaan landasan keretapi daripada Bukit Besi ke Kuala Dungun dan pembinaan Pelabuhan Dungun yang digunakan secara menyeluruh dalam perdagangan bijih besi.

Namun, pada tahun 1971, kegiatan perlombongan bijih besi telah ditutup dan Dungun mengalami kejatuhan ekonomi akibat ketiadaan kegiatan berkenaan. Dalam usaha untuk memulihkan daerah Dungun dan bandar Kuala Dungun, Kerajaan Negeri Terengganu telah membina kemudahan kampus Institut Teknologi Mara (kini UiTM Kampus Dungun) manakala Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) pula telah berusaha memulihkan Bandar Bukit Besi melalui pembinaan kemudahan pelancongan. KETENGAH juga membangunkan Kampung Durian Mas yang terletak di mukim Besul yang diberi nama Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) di bawah perkenan Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

Stesen Janaelektrik Sultan Ismail

Setelah penemuan deposit petroleum dan gas asli di Terengganu pada tahun 1978, pesisir pantai Dungun dan Kemaman dipilih sebagai pusat industri berkaitan petroleum dan gas asli.  Pada tahun 1987, Stesen Janaelektrik Sultan Ismail telah dibina di mukim Paka dan dirasmikan oleh Almarhum Sulan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Dengan jumlah janaan 1, 136MW tenaga elektrik, stesen janaelektrik ini merupakan stesen janaelektrik gas terbesar di Malaysia.

Daerah ini menempatkan 1 Parlimen (Parlimen Dungun) dan 4 Dewan Undangan Negeri – DUN (DUN Rantau Abang, DUN Bukit Besi, DUN Sura dan DUN Paka).

MUKIM

Terdapat sebelas mukim di dalam daerah ini iaitu:

  1. Kuala Abang
  2. Sura
  3. Kuala Dungun
  4. Paka
  5. Kumpal
  6. Rasau
  7. Hulu Paka
  8. Besul
  9. Jengai
  10. Pasir Raja
  11. Jerangau

Rujukan:

  1. Muzium Negeri Terengganu
  2. Laman Rasmi Pejabat Daerah dan Tanah Dungun
  3. Blog Peribadi @Dungun 河口の町 [Pautan]