Marang (Daerah)

Peta daerah Marang dengan pecahan mukim.

Marang merupakan salah sebuah daerah di Terengganu. Daerah ini diuruskan oleh Majlis Daerah Marang (MDM).

LAMBANG DAERAH

Bendera daerah Marang menggunakan warna ungu yang bermaksud pemulihan dan penyatuan rakyat.

Bendera Daerah Marang

SEJARAH

Fungsi Marang sebagai sebuah daerah dapat dijejaki seawal pemerintahan Baginda Omar apabila baginda melantik pembesar-pembesar untuk mentadbir lembangan sungai.

Semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III pula, Yang Di-Pertuan Muda Tengku Muhammad telah diberi kuasa untuk menjaga kawasan Sungai Marang. Kawasan Sungai Merchang pula diberi kepada Tengku Putra yang diwakili isterinya. Mereka betanggungjawab mentadbir dan mengutip hasil.

Pada tahun 1912, sistem pentadbiran berkenaan telah digantikan oleh Pegawai Daerah yang mana merangkumi kedua-dua lembangan Sungai Marang dan Sungai Merchang.

Bangunan Pejabat Daerah Marang yang pertama telah dibina pada tahun 1915 berasaskan model Pejabat Daerah Johor. Dalam tempoh berkenaan hingga kini, seramai 40 orang Pegawai Daerah telah memberikan khidmat mereka.
Pada tahun 1960, pejabat baharu dibina untuk menempatkan lebih ramai pegawai dan pekerja untuk memenuhi keperluan daerah yang semakin berkembang. Seterusnya pada tahun 1996, bangunan baharu siap dibina dan bangunan lama diserahkan kepada Majlis Daerah Marang (MDM).

Pada mulanya, daerah Marang merangkumi mukim Rusila, Pulau Kerengga, Jerung dan Mercang. Pada 1 Januari 1985, mukim Alor Limbat dan Bukit Payong diserahkan kepada daerah Marang yang sebelum ini ditadbir oleh Kuala Terengganu.

Daerah ini menempatkan 1 Parlimen (Parlimen Marang) dan 4 Dewan Undangan Negeri – DUN (DUN Rhu Rendang, DUN Pengkalan Berangan, DUN Bukit Payong dan DUN Alor Limbat).

MUKIM

Terdapat enam mukim di dalam daerah ini iaitu:

  1. Rusila
  2. Alor Limbat
  3. Bukit Payong
  4. Pulau Kerengga
  5. Mercang
  6. Jerung

Rujukan:

  1. Muzium Negeri Terengganu.
  2. Laman Rasmi Pejabat Daerah Dan Tanah Marang.