Demam Emas Lubuk Mandi (Tragedi Lubuk Mandi)

Lubuk Mandi merupakan satu kawasan yang terkenal di Malaysia terutamanya dengan luruan emas yang melanda Malaysia pada akhir tahun 80-an. Kemahsyurannya sebagai lubuk emas menyebabkan manusia berpusu-pusu untuk mencuba nasib melombong galian berharga berkenaan. Dalam akhir dekad 80-an juga menyaksikan beberapa tragedi yang menyedihkan yang akhirnya mendorong kepada penutupan kawasan berkenaan.

 

LATAR BELAKANG KAWASAN

Kawasan Lubuk Mandi bukanlah kawasan yang baharu diteroka. Dengan beberapa penemuan artifak di kawasan berkenaan, nyatalah Lubuk Mandi mempunyai sejarah lampau yang perlu diteliti dan dicungkil. Penemuan beberapa artifak seperti loket, seterika dan keris yang berusia lebih dari satu abad memberi petunjuk bahawa kawasan berkenaan sudah mempunyai sejarahnya tersendiri dan bukanlah satu kawasan hutan yang tidak berpenghuni suatu ketika dahulu.

 

RENTETAN PERISTIWA

Pada Jun 1988, Mohamad Harun yang merupakan seorang pengusaha bengkel kenderaan telah mencuba mendulang tanah getah pusaka beliau di kawasan Lubuk Mandi setelah menurut pengamatan beliau, keadaan dan bentuk tanah di Lubuk Mandi adalah sama dengan tanah di kawasan Pelong, Setiu yang sebelum ini penah digegarkan dengan penemuan emas. Seterusnya, setelah ahli keluarga dan saudara-maranya mulai juga mendulang emas, beliau telah membawa emas berkenaan untuk diuji oleh Malaysia Mining Corporation (MMC) yang telah mengesahkan bahawa emas berkenaan bermutu tinggi.

Akhirnya, pada Ogos 1988 kegiatan mereka terbongkar oleh Pengarah Tanah dan Galian Negeri (PTG). PTG memberi amaran bahawa mendulang tanpa permit adalah dilarang, namun penduduk kampung sekitar mula menyertai kegiatan melombong emas berkenaan.

Orang ramai beratur untuk mendapatkan borang lesen mendulang di Pejabat Tanah Marang

Namun, pada 13 November 1988, berita mengenai Lubuk Mandi disiarkan di dalam Utusan Malaysia, seterusnya mencetuskan ‘demam emas’ di kalangan rakyat Malaysia. Ramailah orang berpusu-pusu untuk menyertai perlumbaan pencarian emas berkenaan sehinggakan Kerajaan Negeri Terengganu meminta kerjasama orang ramai supaya keluar serta-merta untuk membolehkan kerajaan memastikan kedudukan tanah kerjaan dan tanah persendirian. Tetapi, arahan berkenaan tidak dihiraukan.

Pada 1 Disember 1988, Kerajaan Negeri mewartakan kawasan Lubuk Mandi sebagai kawasan melombong secara mendulang kepada orang ramai. Kedai alatan mendulang dan gerai makan mulai dibuka di sekitar jalan masuk. Keadaan ini bertambah hangat dengan kenyataan Timbalan Menteri Perusahaan Utama, Dato’ Alias Ali yang menyatakan deposit simpanan emas kawasan berkenaan dianggarkan bernilai lebih RM10 juta. Bahkan beberapa kawasan di sekitar Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Dungun juga ditemui emas.

Salah satu kejadian pendulang tertimbus di kawasan Lubuk Mandi.

Pada 30 November 1988, beberapa pendulang dikatakan tertimbus, tetapi sempat diselamatkan kecuali seorang wanita yang meninggal dunia kerana tertimpa batang kayu. Musim tengkujuh tahun berkenaan juga menyebabkan 30 pendulang terkepung di kawasan tanah tinggi dan pulau jadian di Lubuk Mandi pada 2 Disember dan polis mengadakan satu usaha penyelamatan dengan bot ronda kerana kawasan berkenaan ditenggelami air antara 4 hingga 9 meter.

Pada 8 Disember pula, seorang pendulang Kemboja telah tertimbus tetapi dapat diselamatkan. Kemalangan seterusnya berlaku pada 26 Februari 1989 apabila 3 orang terkorban akibat tanah runtuh. Pada 28 April pula, 13 orang tertimbus, 6 daripadanya meninggal dunia. Ketika usaha pencarian dilakukan, 17 pasang kasut dijumpai, menimbulkan tanda tanya sama ada lebih ramai mangsa yang terlibat. Baki 3 daripada 6 mangsa hanya ditemui pada 1 Mei 1989. Akibat kejadian itu, kerajaan negeri mengarahkan lombong ditutup sementara.

Pada 18 Mei 1989, 1000 pendulang berhimpun dan menghantar memorandum meminta Menteri Besar membuka kembali kawasan lombong. Namun, kawasan hanya kembali dibuka pada 2 September.

Setelah dibuka, pada 3 Disember 1989, sekali lagi tanah runtuh berlaku, nyaris mengorbankan 6 orang ketika mereka menggali terowong antara 6 hingga 10 meter dalam.

Tahun 1990 menyaksikan Pejabat Tanah dan Daerah Marang menjadi pejabat daerah yang mendapat hasil paling tinggi di Malaysia dengan kutipan RM 1, 125 636 dalam tempoh setahun.

Seterusnya pada 26 Mac 1990, seorang pendulang maut dan empat lagi cedera akibat tanah runtuh. Akibat kejadian berkenaan, sekali lagi Lubuk Mandi ditutup dan hanya dibuka semula pada 1 Mei 1990. Akhirnya Lubuk Mandi ditutup terus oleh kerajaan negeri pada September 1990 walaupun masih ada kegiatan mendulang secara tidak sah selepas itu.


Rujukan

  1. Muzium Negeri Terengganu
  2. Tragedi Lubuk Mandi – Mohamed Jusoh